SEPOHON POKOK


Aku telah pun tiba di sebuah kediaman yang sederhana besar namun tersergam indah di tengah kota metropolitan ini. Aku melangkah perlahan memasuki perkarangan rumah yang kelihatannya sedang menyambut tetamu yang ramai bilangannya. Aku cuba mengawal kegusaran dan hiba yang bersarang.
            Selepas menerima panggilan dari Adi Mahfuz yang membawa perkhabaran yang menyentap kalbu tadi aku terus memandu menuju ke sini dan terpaksa meninggalkan kelas dalam keadaan yang tergesa-gesa.
            “Assalamu’alaikum...” salam ku hulur kepada gerangan yang berdiri di muka pintu dengan wajah yang jelas tergambar kesedihan yang tak tersingkapkan.
            “Wa’alaikumussalam... jemput masuk...” dia menjawab tenang dengan wajah yang sengaja dimaniskan dalam penuh kepayahan.
            Aku melangkah masuk perlahan sambil menghadiahkan satu senyuman yang aku sendiri dapat rasakan yang ianya tawar. Sekadar pengganti bicara yang tak mampu aku ungkapkan. Tak terluah kata-kata azimat pencetus semangat di bibirku. Aku sendiri terkejut dan cuba sedaya upaya menyedarkan diri akan kenyataan yang tak mungkin bisa disangkal.
            Sebaik menjejak ruang tamu aku terpandangkan seorang insan yang baru semalam petah berbicara soal impian dan harapan namun kini sedang tenggelam dalam bayangan kisah yang teramat memilukan. Aku menapak menghampirinya yang kelihatan seakan menggamitku melalui tatapan matanya yang berkaca-kaca.
            Aku duduk menghadapnya yang agak jauh dari kelompok saudara mara dan tetangga yang kian memenuhi ruang tamu. Lama aku memerhatikannya. Aku sedang berkira-kira mencipta ayat yang paling sesuai kala ini namun lidahku seakan tak mampu menterjemah apa yang diisyaratkan oleh akal.
            “Adi...” akhirnya terluah jua sepatah kata itu. Hanya itu yang mampu aku suarakan tika ini.
            Tak semena-mena dia memelukku erat. Aku tergamam. Terkejut sehingga aku sendiri tak pasti apa yang sepatutnya aku lakukan sekarang. Untukku menolaknya tak mungkin namun untuk membalas pelukannya juga agak mustahil lantas aku membiarkan saja. Apa pilihan yang aku ada? Dia dalam kesedihan yang teramat dan wajarlah andai dia sangat memerlukan seseorang untuk berkongsi perasaan.
Dari kejauhan aku terpandangkan renungan seseorang, lelaki yang menyambut kedatangan aku tadi. Aku sendiri terkeliru dalam mentafsir apakah yang sedang bermain di mindanya sekarang. Adakah dia marah? Itu aku tak pasti namun seandainya dia bisa mengerti yang aku kini dalam keadaan yang serba salah.
Seketika kemudian, aku meleraikan pelukan perlahan untuk tidak menyinggung perasaan anak muda berusia 15 tahun ini.
“Maafkan saya cikgu... saya tak sengaja...” Adi Mahfuz bersura perlahan.
Aku sekadar tersenyum hambar. “Kalau tangisan boleh kurangkan beban yang Adi tanggung sekarang, tak salah kalau Adi menangis...” aku bersuara lembut sekadar memujuk kerana aku lihat dia tidak menitiskan walau setitis air mata sedangkan dari seraut wajah anak muda ini aku dapat melihat betapa dalamnya dia menaggung luka.
Dia merenungku sejenak. “Saya dah menangis sebelum waktunya cikgu...” dia bersuara masih dalam nada yang perlahan.
Benar, dua minggu lalu, sehari selepas keberangkatan umi dan abahnya ke tanah suci untuk mengerjakan umrah aku terlihat dia yang baru keluar dari tandas sekolah seperti baru lepas menangis. Dia seakan berat untuk berpisah dengan umi dan abinya. Adi Mahfuz memang sangat rapat dengan umi dan abinya berbanding dengan adik-beradiknya yang lain. Mungkin dia dapat merasakannya... satu perasaan halus yang sukar untuk diterangkan.
“Adi kena banyakkan bersabar ya. Cikgu tahu Adi seorang yang kuat. Adi, sebagai abang kepada Aisyah dan Amir kena kuat sebab Adi kena jaga adik-adik. Adi tak boleh macam ni...” aku mencuba menyusun kata walau aku tahu yang menanggungnya bukan semudah mengungkapkannya...
“Abang Adi... umi dengan abi mana? Hari tu abang cakap umi abi balik hari ni kan... Erm... ni mesti umi singgah kedai beli teddy bear untuk adik sebab hari tu kan umi janji nak belikan adik teddy bear besar...” seorang budak lelaki tiba-tiba hadir di sisi Adi Mahfuz. Dia mendepangkan tangannya sebagai tanda betapa besarnya teddy bear yang akan dia terima.
Aku terkaku memerhatikan tingkah lakunya. Mungkin inilah adik bongsu Adi Mahfuz yang umi dia sering ceritakan. Aku bersahabat baik dengan umi Adi, Cikgu Sumayyah yang juga guru di sekolah tempat aku mengajar. Walau perkenalan kami sangat singkat tak sampai dua bulan namun aku senang bersahabat dengannya yang sangat peramah dan baik hati.
Amir, baru berusia tujuh tahun masih terlalu naif. Hatiku cukup tersentuh mendengar bicara jujur dari anak ini. Dia belum mampu mengerti hakikat hidup dan kehidupan...
“Eh, kakak ni siapa? Kawan abang ek?” dia bersuara sambil mengerdipkan matanya dan menjenguk wajahku yang ketika itu sedang tunduk menahan sebak. Dia tersenyum bila aku mengangkat wajah. Aku sekadar mengangguk perlahan sambil tersenyum dalam hiba yang kian menggila.
Belum sempat aku menyentuh bahu anak kecil itu seorang budak perempuan datang dan mematikan niatku. Dia memegang bahu Amir lalu merenung tepat ke mata Amir. Ini mungkin Aisyah, fikirku. Aku sekadar memerhati apa yang ingin dia lakukan.
“Adik, umi dengan abi dah mati. Umi takkan beli teddy bear, dia takkan balik lagi... dia...”
“Asya...” lelaki yang menyambut aku tadi yang entah bila menyertai kami tiba-tiba bersuara keras dan nyaring. Aku sendiri tersentak apatah lagi Aisyah dan Amir. Terhenjut sedikit bahu Aisyah dan mati terus kata-katanya yang kedengaran keras dan tegas. Amir sudah pun menangis teresak-esak dan pada masa yang sama aku melihat mata Aisyah sudah berair. Terkejut dijerkah begitu dan mungkin bercampur dengan sedih hiba yang tak tertanggung.
Memang benar kadangkala kejujuran akan menampakkan kita terlalu kejam dalam meluahkan kebenaran namun tak akan ada kenyataan yang mampu menyangkal sebuah hakikat yang sudah terungkap dengan jelas. Namun, seharusnya kita yang mengaku sudah dewasa mampu dengan bijak mengawal emosi yang dijentik kenyataan yang terlalu perit.
Lelaki itu yang aku agak adalah anak sulung Cikgu Sumayyah, Adwan Muqri sudah menunduk sambil meraih Amir ke dalam pelukannya. Aku sekadar menjadi pemerhati dan hatiku tersentuh melihat dan memikirkan bagaimana harus dia memikul tanggungjawab sebagai ibu dan ayah kepada adik-adiknya nanti. Pemergian umi dan abinya pasti akan meninggalkan kesan yang mendalam terhadap emosi anak-anak ini.
Aisyah berbalas pandang dengan Adwan Muqri. “Memang betul kan umi abah...” perlahan dia menuturkan.
“Cukup Asya...” sekali lagi kata-kata jujur Asya dipotong dengan keras.
Aisyah berlari masuk ke biliknya bersama tangisan mungkin berkecil hati kerana dimarahi. Baru berusia sepuluh tahun namun kelihatannya dia jauh lebih tabah dari abang-abangnya dalam mendepani ujian. Dia jauh lebih terbuka dalam menghadapi kenyataan. Dia jauh lebih tegar dalam menempuh dugaan.
Semasa dia memegang bahu Amir dan memandang jauh ke dalam mata adiknya itu tadi aku lihat ketenangan dalam sinaran matanya yang terpancar suram.
“Saya pergi jenguk Asya...” aku meminta izin Adwan Muqri dan dia mengangguk perlahan sebagai isyarat. Dia masih cuba meredakan tangisan Amir yang berlagu syahdu.
Bertuah Cikgu Sumayyah dan suaminya kerana menjadi antara insan pilihan Allah untuk bertemu-Nya di tanah suci dan kembali kepada-Nya juga di sana. Bersemadi di sana. Selepas majlis tahlil berakhir aku meminta izin untuk pulang selepas membantu serba sedikit.
“Adwan Muqri, saya minta maaf kalau awak rasa saya terlalu lancang berkata-kata tapi saya nampak kekalahan seorang lelaki berusia 26 tahun  kepada seorang budak perempuan berumur sepuluh tahun dalam mengawal emosi. Mungkin Asya kelihatan kejam kerana menuturkan kebenaran yang tersangat pahit tapi kita sebagai orang dewasa patut memberikan dia peluang untuk mengajar hakikat kebenaran melalui bahasa kanak-kanak yang mungkin lebih mudah untuk difahami oleh kanak-kanak juga seperi Amir. Kalau salah kita boleh betulkan tapi bukan dengan cara keras yang hanya akan menjadikan dia takut untuk menghadapi kenyataan... Jujur saya nampak Asya jauh lebih tabah...” aku meninggalkan kediaman itu dengan kata-kata terakhir untuk dia fikirkan.
........................................................
 Aku masih memikirkan tentang perbualan antara Mak Long dengan Adwan Muqri petang semalam semasa aku singgah selepas menghantar Adi Mahfuz pulang. Waktu itu mereka sedang berbual di dapur dan secara tak sengaja aku terdengar perbualan mereka ketika ingin meminta diri untuk pulang.
Sebenarnya aku agak keberatan untuk singgah namun selepas dipujuk oleh Mak Long tak sampai hati pulak ingin menolak sampaikan aku tidak sedar yang betapa lamanya aku di rumah mereka sehinggalah kemunculan Adwan Muqri yang baru pulang dari kerja. Lama sungguh aku berborak dengan Mak Long sambil melayan kerenah Amir dan menemani Aisyah menyiapkan kerja sekolah.
            Memandangkan aku melalui rumah mereka untuk berulang alik ke sekolah jadi atas dasar simpati dan tanggungjawab sesama manusia aku dengan senang hati menawarkan diri untuk menjemput dan menghantar Adi, Aisyah dan Amir ke sekolah pada setiap hari. Ini hanyalah sekelumit bantuan yang mampu aku hulurkan buat anak-anak yatim ini.
            “Wan... Mak Long bukannya tak nak tengok-tengokkan adik-adik kamu tapi kamu pun tahu kan Kak Mun kamu tu tengah sarat lagi pun si Maya dengan Mimi tu tak ada orang nak jaga. Kesian kalau Kak Mun kamu yang tengah sarat tu nak uruskan sorang-sorang. Ini pun Abang Man kamu ambik cuti seminggu jadi habis cuti ni Mak Long kenalah pergi sana. Mak Long harap kamu dapatlah cari seseorang untuk jaga adik-adik kamu tu ya...”
            “Saya faham Mak Long. Tak apalah, nanti saya carikan orang gaji untuk jaga diorang...”
            “Mak Long bukan apa, Aisyah tu satu-satunya adik perempuan kamu dan dia semakin meningkat remaja jadi Mak Long rasa dia memerlukan seorang perempuan juga untuk berkongsi masalah, bercerita. Ada benda yang orang lelaki tak tahu dan tak faham mengenai orang perempuan ni. Mungkin kamu boleh jaga keselamatan dia tapi kamu tak mampu nak didik dia sebagai perempuan. Entahlah, susah Mak Long nak terangkan tapi Mak Long rasa kamu faham kan apa yang Mak Long katakan...”
            Aku tersentak apabila telefon bimbitku tiba-tiba berdering. Habis melayang segala khayalanku sebentar tadi.
            “Assalamu’alaikum...” suara di hujung sana kedengaran.
            “Wa’alaikumussalam...” aku menjawab tenang walaupun hakikatnya aku kaget dengan panggilan yang tiba-tiba darinya pada hujung minggu macam ni.
            “Cikgu Ilya, boleh tak kita jumpa tengah hari nanti?”
            “Nak saya ke rumah awak ke?” aku bertanya walaupun sedikit keliru. Kenapa tiba-tiba nak jumpa ni. Ada masalah ke?
            “Tak, kita jumpa dekat luar...”
            “Ok...” aku memberi persetujuan dan mematikan talian setelah dia memberitahu lokasinya.
            Setelah hampir setengah jam baru aku sampai ke restoran yang dijanjikan. Aku pergi ditemani abangku, Ilyas Imani. Sememangnya aku tak akan keluar atau berjumpa dengan mana-mana lelaki berdua-duaan tanpa ditemani sesiapa kerana ayah aku tak izinkan. Walaupun berjauhan dengan keluarga namun setakat ini aku tak pernah mengingkari setiap pantang larangnya. Sejujurnya, aku memang rasa terkongkong kerana setiap tindakanku akan diawasi dan di sini, abang sebagai ‘pengawal peribadi’ dan penyampai berita.
            Namun secara rasionalnya, aku faham ini semua untuk kebaikanku jua. Apa pun setegas-tegas ayah dalam mendidik dan secerewet ibu dalam membimbing mereka tak selantang abang dalam menyuarakan teguran dan nasihat. Mereka lebih suka berkias tetapi abang seorang yang suka berterus terang dalam apa jua keadaaan.
            Aku masih ingat dulu semasa aku di tingkatan tiga dan abang tingkatan lima, aku ni seorang yang sangat terbuka dalam berkawan. Aku tak pernah memilih kawan. Sesiapa saja yang sudi akan menjadi kawan aku tak kira lelaki atau perempuan dan waktu itu aku ni masih terlalu mentah untuk memahami batas-batas pergaulan. Pada suatu hari abang ternampak akan kelakuanku yang kurang disenangi lantas dia terus memberi teguran terus, telus dan tulus.
            “Ilya Iftitah, adik abang, seorang gadis yang baik akan sentiasa menjaga maruah diri kerana itulah harta yang paling berharga buatnya. Maruah diri adalah maruah keluarga dan agamanya. Selagi Lily belum berkahwin, segala dosa atas perbuatan Lily yang bercanggah dengan syariat akan ditanggung oleh abah dan juga abang sebagai lelaki yang bertanggungjawab ke atas Lily dan yang berhak menjadi wali Lily suatu hari nanti. Lily tak kesian ke dengan kami? Sebelum Lily melakukan sesuatu, Lily ingatlah pada kami yang akan menanggung akibat dari perbutan Lily tu...”
            Panjang lebar nasihatnnya yang sehingga kini melekat di kepalaku. Aku sendiri tak pasti kenapa abang memanggilku dengan gelaran Lily sedangkan ibu dengan abah memanggilku Liya. Kawan-kawan pulak panggil aku macam-macam, ada yang panggil Liya, Illi, Ilya, Ifti dan tak ketinggalan gelaran Fifi yang entah dari mana munculnya.
            Sepuluh minit kemudian barulah Adwan Muqri muncul sendirian. Dari jauh dia tersenyum. Aku memperkenalkan abang kepadanya. Dia menolak untuk makan tengah hari bersama walaupun jam sudah menunjukkan pukul 2.30 petang sebaliknya dia hanya memesan segelas jus oren. Katanya dia tidak boleh lama kerana adik-adiknya tinggal di rumah.
            Dia mengetap bibir. Terpancar kegusaran di wajahnya. “Ilya Iftitah...” dia berhenti seketika dan kembali menggigit bibir bawahnya. Haish ni apasal semacam ni. Susah benar ke nak bercakap? Aku pun rasa macam cacing kepanasan ni.
            “Erm... abang pergi toilet kejap...” abang bersuara tiba-tiba seperti memberi peluang kepada Adwan Muqri untuk lebih tenang dalam mengungkap kata setelah melihat lelaki yang duduk di hadapannya ini kelihatan begitu payah untuk meluahkan.
            Pandangan mataku menyorot melihat langkah tenang abang ke tandas sebelum kembali menumpukan perhatian kepada perkara penting yang ingin dibincangkan oleh Adwan Muqri. Kami saling bertatatapan untuk seketika.
            “Kita nikah nak?” satu ayat spontan laju yang bagai halilintar merentas pendengaranku. Aku terpana seketika.
Aku tengah mamai ke atau masih sempat berangan teringatkan kisah Along dengan Ana yang aku baru habis khatam pagi tadi? Err... ini dikira lamaran ke? Huh... semudah tu? Tak ada ayat yang lagi best ke power ke yang macam dalam filem dan drama atau... novel? Tapi kenapa tiba-tiba? Kami baru sangat kenal dalam dua minggu lebih. Aku salah dengar tak...
Dia memandang aku yang masih menggelabah. Aku patut jawab apa-apa ke? Tadi tu dikira soalan ke atau ayat penyata? Alamak apasal la soalan mencurah-curah ke ladang gandum ni...
“Hai... korang ni tunggu abang ke. Punyalah lama masa abang bagi chance untuk berbicara seribu bahasa yang masih membisu dan terkaku ni kenapa?” Ha tengok abang aku lagi power ayat dia walaupun perumpamaan tak berapa nak betul. Orang diam seribu bahasa la bang...
“Tak nak ice breaking dulu ke?”
................................................................
Aku berbaring di atas tilam empuk lagi lembut. Sabar menanti panggilan dari ibu yang membawa perkhabaran dari kampung. Entah apalah keputusannya. Lepas ke tidak? Erm... aku ? Adakah aku berharap yang keputusannya memihak kepadaku sedangkan aku sendiri tak pasti keputusan yang macam mana yang aku harapkan. Entahlah... aku tak retilah kalau main dengan benda alah ni...
Selama seminggu Adwan Muqri membawa adik-adiknya mengunjungi ibu dengan abah di kampung. Hari ini dia kembali ke Kuala Lumpur dan sudah pun sampai petang tadi. Aku yang meminta dia pergi berjumpa mereka memohon restu. Kalau ibu dan abah setuju dan berkenan lampu hijau dari aku. Itu yang aku katakan kepadanya.
Namun, aku sendiri tak yakin yang dia akan melepasi sesi ‘uji bakat’ sebab yang menjadi jurinya Pak Imran dengan Mak Imah apatah lagi dia orang bandar. Dilahirkan dan dibesarkan di tengah-tengah kesibukan bandar jadi agak mustahil untuk dia memenuhi ciri-ciri menantu pilihan ibu dengan abah.
Ibu sendiri yang cakap bahawa dia akan menguji setiap yang berniat untuk menjadi menantunya tak kira lelaki atau perempuan. Tak sabar rasanya ingin mendengar keputusan temuduga ibu dengan abah. Mesti teruk budak Adwan Muqri tu kena.
Ibu cakap walaupun lelaki dia akan pastikan budak tu pandai memasak jadi tak adalah susah kalau aku sakit ke tengah sarat ke. Erm... jauh betul ibu aku fikir. Dengar cerita dari abang ternganga jugak la ibu bila tengok macam mana Adwan Muqri tu masak ala-ala chef siap dengan pencuci mulut lagi. Hish kalau macam ni aku yang tak lepas...
Itu tak lagi masuk bab abah aku. Aku ada jugak usha dari abang yang malam pertama diorang sampai dekat kampung pun abah dah uji Adwan Muqri, minta jadi imam solat Maghrib dan Isya’. Nasib baik lepas. Haish apasal la pulak aku ni yang terlebih excited? Ok itu satu hal.
Lagi, abah ajak budak bandar tu ikut dia pergi masuk ladang getah tolong dia kutip getah, ajar budak Adwan Muqri tu cara-cara nak menoreh. Haish abah ni, apa kes ni bah? Dia tu pensyarah fakulti sains kesihatan dan rasanya tak melibatkan procedure menoreh kot dan... memang tak ada kaitan dengan pokok getah langsung. Haish abah... abah... ada saja nak kenakan anak orang.
Satu yang paling aku tak tahan ada ke patut abah buli si Adwan Muqri suruh kasi berbintat kena gigit dengan nyamuk. Abah pasang ubat nyamuk dekat semua bilik adik-adik dia kecuali bilik Adwan Muqri tapi yang peliknya adik dia si Adi tu yang banyak berbintat sedangkan dia tak ada apa-apa pun. Hish nakal betul la ibu abah aku ni.
Tapi abah cakap dia buat semua tu bukannya nak tengok kemahiran atau bakat tersimpan Adwan Muqri semata-mata atau mendera, abah cuma ingin melihat reaksi dan bahasa badan anak bandar bila diajak melakukan benda-benda macam tu dan cara mereka membawa diri untuk melayan kerenahnya dan membiasakan diri dengan suasana kampung.
“Kalau lelaki pun takut pacat tak ada maknanya abah nak bagi kepercayaan dekat dia untuk jaga tuan puteri abah ni...” terngiang-ngiang suara abah yang berseloroh semasa aku memaklumkan akan hasrat kehadiran Adwan Muqri sekeluarga.
Tanpa sedar aku tertawa sendirian. Aku tersentak bila telefon bimbitku tiba-tiba berdering. Mati seketika senyuman yang terukir dibibir namun kembali melihat mekar nama yang tertera di skrin, Ibuabah...
“Assalamualaikum, anak ibu sihat?” kedengaran ceria suara ibu.
“Waalaikumussalam... sihat bu. Ibu sihat? Abah mana?” aku bersuara manja.
“Ada ni ha...” suara abah pula kedengaran. Erm... ini mesti buat loud speaker.
“Macam mana?” aku bersuara perlahan menyembunyikan perasaan ingin tahu yang membuak-buak.
Erm... so far so good...” ibu menjawab bersahaja. Amboi mak aku...
“Pass...” abah pula bersuara sepatah.
“Serius ibu... abah?” aku bertanya tidak percaya.
“Ya... setakat ni dia calon yang terbaik dan ibu dengan abah dah bincang dengan dia. Kami dah setuju yang majlis akad nikah akan diadakan sebelum cuti penggal berakhir jadinya sebulan lagi lah lebih kurang. Tak payah nak merisik, bertunang bagai nikah je terus.” Ibu bersuara lancar yang mengundang debaran di dada.
Huh... biar betul. Dahsyat betul ibu dengan abah aku ni. Tak pulak tanya aku setuju ke tak, terus saja buat keputusan. Lagipun diorang bukan tak tahu aku punya impian nak sambung belajar memandangkan tugas aku sebagai guru sandaran di sekolah itu pun sudah berakhir. Usiaku yang kini dua puluh empat tahun bukan dikira masih muda ke...
“Ya lah... bukan ke dia sorang je calonnya...” abah pula bersuara. Sempat lagi tu bergaduh.
“Eh, ada lah dua tiga orang ibu reservedkan. Markah diaorang kurang sikit dekat mata pelajaran sivik.” Ibu bersuara selamba. Hai ini betul ke aku tengah bercakap dengan ibu dan abah ni. Lain macam saja bunyinya ni...
            Haish Adwan Muqri dan bakal adik ipar aku ni ajar apa dekat ibu abah ni. Adeh... kalau ditolak, campur, kali, bahagi tak sampai sebulan lagi. Haish sempat ke nak buat persiapan. Ibu abah ni pun... tak menyempat...
            “Liya pelik apa yang buatkan ibu abah suka dengan dia?”
            “Dia tu budak baik...” abah menjawab ringkas. “Dia tu romantik...” ibu menyambung tenang. Ternganga aku mendengar jawapan ibu. Tang mana yang romantiknya budak Adwan Muqri tu pun aku tak tahu lah.
            “Hai bu... dia ada baca sajak bulan bintang ke yang ibu boleh cakap dia romantik ni...” Aku tertawa. Romantiklah sangat melamar pakai tiga patah perkataan...
            Tak sampai lima minit selepas talian dimatikan abang pula menelefon. “Lily, ibu cakap diorang dah berkenan lagi sebulan majlis betul ke?” Ha ini lagi dahsyat, aku tak sempat nak cakap hello dia dah sembur sedas.
            “Yup...” aku menjawab juga sambil menggeleng-gelengkan kepala.
            “Lily setuju? Eh, jangan main-main la dik. Hari tu Lily tak confident yang dia akan lepas ujian saringan ibu dengan abah yang mencabar tahap keimanan dan ketakwaan sebab tu Lily on je tapi sekarang macam mana. Ibu abah tu dah macam kempunan sangat nak bermenantukan budak tu. Dah lah Lily kenal dia tak sampai sebulan pun lagi.” Ada nada kerisauan kedengaran.
            “Entah... pada Lily usia perkenalan tak penting...” aku menjawab dari hati...
            “Tapi Lily rasa boleh ke terus hidup bersama dengan perasaan simpati dan kasihan semata-mata tanpa rasa cinta...” Erm... abang aku dah mula dah dengan dia punya ayat jiwang. Tak payah nak cintan cintun sangat lah bang...
            “Sebab Lily ada prinsip Lily sendiri berkaitan benda alah tu...”
            “Cinta itu umpama sepohon pokok...” abang bersuara sinis. Wajahku membahang. Alah... dia dah jumpa lah tu. Haish tak faham betul la dengan abang aku ni. Jumpa aja blog aku walaupun aku guna nama yang entah apa-apa.
            “Haish... buat part time nampak... berapa abah bagi komisyen?”
................................................................
Orang cakap tanda-tanda orang yang ‘jatuh’ tidur tak lena, mandi tak basah, makan tak kenyang tapi aku ni nak kata tidur tak lena pukul sebelas lebih dah terbongkang atas katil dan azan Subuh berkumandang baru bangun. Nak kata mandi tak basah, kalau dah lebih setengah jam duduk berendam dalam bilik air tu apa ke hal nya. Nak kata makan tak kenyang, kalau tak bertambah tak sah.
Erm... tapi semenjak dua menjak ni aku rasa macam ada clinical sign yang agak pelik la dengan aku punya perasaan dalaman. Aku jadi berdebar-debar bila bersua empat mata dengan dia walaupun kami sememangnya tak pernah keluar berdua. Lidah jadi kelu tak terkata tatkala dia telefon. Aku sendiri pelik apakah ‘penyakit’nya ni.
Aku berdiri agak lama di depan pagar rumah bercat krim ini. Hati berbelah bahagi. Berperang dengan emosi. Samada menyelami naluri yang kian aneh aku rasakan atau mengabaikannya dengan harapan aku tak akan berkesempatan merasa apa itu terluka. Namun semakin aku menafikan semakin aku rasa tertekan.
“Liya... sorang je? Kenapa tak panggil?” teguran seorang lelaki yang entah bila muncul di depanku mematikan terus lamunanku.
Aku tersenyum dan berlagak seperti biasa. “Saya ada hal nak bincang dengan awak...”
“Owh... sebenarnya saya sorang je ni. Adik-adik pergi rumah Mak Long, tengok baby... Erm... tak pe lah kita berbual dekat luar boleh?”
Aku mengangguk perlahan dan masih tersenyum cuba menyembunyikan perasaan. “Jom...” dia menggamitku ke arah kerusi yang terdapat berdekatan dengan kolam ikan.
“Duduk lah dulu saya ke dapur kejap...” dia bersuara lembut. Aku sekadar tersenyum tidak membantah.
Adwan Muqri datang dengan seteko air dan sepiring puding. Kemudian dia menuangkan air ke dalam cawan dan mempelawaku minum. Aku memerhatikan setiap gerak-gerinya dan tanpa aku sedari dia terperasan akan tingkah laku ku.
“Ada apa?” dia bertanya seraya melabuhkan punggung di hadapanku.
“Saya mintak maaf. Saya rasa... kita tak boleh teruskan pernikahan tu...” aku berterus terang akan tujuan kedatanganku. Walaupun hati aku seperti dihiris rasanya, aku suarakan juga.
Dia kelihatan terkejut dengan kenyataanku. “Kenapa?”
Aku menggigit bibir bawah. “Saya tak boleh nak teruskan hidup dengan orang yang tak cintakan saya. Saya baru sedar yang simpati dan kasihan semata-mata tak akan kekal...” aku berselindung di sebalik kenyataan sebenar.
Dia kelihatan serius. “Jadi... awak terima saya hanya sebab simpati? Tapi kenapa awak bagi saya harapan?” persoalan yang hanya aku tahu jawapannya namun tak mungkin aku akuinya.
“Saya dah lakukan kesilapan besar bila bersetuju...”
“Awak terima saya hanya sebab simpati?” dia seperti inginkan kepastian.
“Anggaplah yang kita memang tak ada jodoh. Saya yakin yang awak akan dapat wanita yang jauh lebih baik dari saya...”
            “Arwah umi selalu ceritakan pasal awak. Dia cakap awak baik, bertuah siapa yang dapat awak. Dia cakap kalaulah saya belum ada calon dia teringin sangat nak bermenantukan awak. Saya kenal awak sebelum berjumpa dan bila saya berhadapan dengan awak sendiri baru saya tahu yang segala yang umi katakan itu benar. Adik-adik saya semua sukakan awak. Tapi... mungkin betul apa yang awak cakap...” dia bersuara perlahan.
            “Saya minta diri dulu. Maaf, saya buat ni semua sebab saya... tak nak lukakan hati sesiapa. Saya pergi dulu. Assalamualaikum....” aku meninggalkannya setelah menutur apa yang sepatutnya.
            Setitis demi setitis air mataku gugur bercucuran di pipi. Apatah lagi sebentar tadi aku baru lepas dimarahi ibu dengan abah atas keputusanku ini. Aku tahu apa yang aku buat ini akan memalukan keluarga tapi apa pilihan yang aku ada?
Aku sedih sangat bila ibu cakap aku sengaja ingin mempermainkan perasaan Adwan Muqri namun tahukah ibu yang hati ini yang terasa pedihnya. Adwan Muqri terdesak untuk mempunyai isteri untuk menjaga adik-adiknya. Dia langsung tak punya apa-apa perasaan terhadapku kerana dia sudah punya orang lain sedangkan aku yang setiap saat perasaan padanya semakin bercambah.
................................................
Sudah lebih dua tahun peristiwa itu berlalu dan selama itu juga aku tak lagi berjumpa dengan Adwan Muqri kerana aku melanjutkan pelajaranku ke luar negara. Aku tak kuat untuk menempuhnya kerana itulah kali pertama aku mengalami apa yang orang kata patah hati.
Cinta itu umpama sepohon pokok...
Benih pokok perlu disemai barulah ia akan tumbuh. Apabila benih disemai, pokok akan tumbuh dan semakin membesar. Jika dibajai dan disirami pasti akan tumbuh rendang namun andai diracuni pasti akan layu dan akhirnya mati.
Begitulah juga cinta... ia perlu disemai. Bila disemai ia akan mekar. Akan bertambah mekar bila dibajai dengan kejujuran dan disirami dengan keikhlasan. Namun, akan layu dan akhirnya mati andai diracuni dengan pengkhianatan dan kepura-puraan.
            Satu falsafah cinta yang merupakan prinsip yang sekian lama aku pertahankan. Ada cerita di sebalik kisah pembatalan majlis pernikahan itu. Aku melakukan itu semua demi  untuk menjaga hati-hati orang yang aku sayangi.
            “Aku tak sangka dia sanggup buat aku macam ni. Dia dah janji dengan aku.” Zaleha menangis teresak-esak di sampingku selepas bertemu dengan kekasih hatinya petang itu.
            “Zal... kau sabar ek...” sejujurnya aku tak pandai memujuk.
           “Aku setia dengan dia tapi dia... Dia dah nak kahwin lagi dua minggu Ifti dan dia langsung tak bagi tahu aku. Ini pun aku pergi rumah dia tadi kalu tak sampai ke sudah aku tak tahu dan terus mengharap. Bodoh kan aku ni terhegeh-hegeh dekat dia...”
            “Zal... kau jangan cakap macam tu. Dia tu yang sebenarnya tak tahu menghargai kesetiaan kau atau mungkin juga dia terpaksa. Kita tak tahu mungkin dia ada masalah ke. Lagipun setahu aku dah lebih tujuh tahun kan kau dengan dia...” aku masih cuba memujuk.
            Dia seorang lelaki yang baik... kata Zaleha dulu dan dia juga pernah cakap yang kalau aku kenal dengan lelaki tu tak mustahil aku juga akan jatuh suka dekat dia tapi aku menyangkal keras. Walaupun aku dan Zaleha banyak persamaan namun tak mungkin dalam soal yang satu itu. Tetapi pernah aku suarakan kesanggupan aku untuk berkorban andai itu berlaku.
            “Aku sayang dia Ifti. Aku...” dia terhenti seketika. “Aku saja cakap yang aku balik tahun depan sebab aku ingat nak buat surprise tapi alih-alih aku yang tersurprise.” Zaleha masih dalam tangisan yang mendayu-dayu.
            Haish aku lemah lah bila tengok orang menangis ni. Tapi aku rasa ada yang tak kena lah sebab setahu aku lelaki tu sayang betul dengan Zaleha. Walau pun diorang tak bercinta macam orang lain tapi mereka teruskan atas dasar kesetiaan dan kejujuran pada janji yang pernah dipersetujui.
            Sejak belajar di universiti lagi saban hari Zaleha menjadi penglipur lara, bercerita mengenai lelaki yang telah berjanji untuk menjadikannya isteri selepas Zaleha yang dua tahun lebih muda darinya menamatkan pengajian. Walaupun mereka tak pernah bergayut sakan, bersms, berym, berchatting, berdating tapi yang aku tahu mereka masih mengharap antara satu sama lain. Isy tak faham lah. Rasanya ada yang tak kena ni.
            Aku memegang bahu Zaleha lembut. “Kalau boleh aku tahu, siapa dia?” sekadar bertanya soalan yang sama berulang kali aku suarakan tanpa jawapan dari Zaleha. Mungkin kali ini dia lebih terbuka untuk memberi jawapan.
            “Adwan Muqri...”
            Atas sebab itu lah aku mengambil keputusan drastik untuk menoktahkan terus segaris rasa yang masih di titik mula setelah menimbang tara dari banyak aspek dan pelbagai sudut. Biarlah, alasan masih belum bersedia yang aku katakan kepada ibu dan abah walaupun bagi mereka alasan itu langsung tak berasas.
            Setahun lalu, semasa aku masih di Jerman Zaleha mengkhabarkan kepadaku berita pernikahannya dengan jejaka idaman katanya dan aku sendiri dapat mengagak siapa yang dia maksudnya. Alhamdulillah... lidah ini tetap melafazkan itu sebagai tanda syukur walau hati seakan menangisi. Sekurang-kurangnya segala pengorbananku berbaloi. Walaupun aku tidak berkesempatan menghadirinya namun doaku akan sentiasa mengiringi di sepanjang perjalanan hidupnya sebagai sahabat baikku.
“Liya, kawan Liya datang tu.” Emak yang tiba-tiba muncul di muka pintu bilik mengejutkan aku.
Aku mengerutkan kening. “Siapa?”
“Pergilah tengok...” ibu memberi jawapan ringkas.
Aku menyarung tudung dan keluar ke ruang tamu. Terkejut melihat kehadiran Zaleha dan seorang lelaki yang tidak aku kenali sedang duduk di sofa. Air sudah pun terhidang di atas meja kopi. Mungkin ibu yang sediakan. Sudah lama lah kiranya dia sampai. Sibuk mengelamun sampai aku tak sedar.
“Zal...” aku bersuara teruja lantas memeluknya erat. Dia membalas pelukanku.
“Liya, kenalkan ini suami aku... Firdaus...” dia memperkenalkan lelaki disebelahnya setelah pelukan terlerai.
Aku mengerutkan kening. “Ilya Iftitah...” aku menjawab juga sambil tersenyum dan menunduk sedikit. Walaupun aku agak terkejut tapi sedaya upaya aku cuba kawal perasaan. Zaleha tak boleh tahu yang aku pernah mengenali Adwan Muqri jadi segala persoalan aku pendamkan saja.
“Dia ada kat luar...” Zaleha bersuara tiba-tiba. Semakin tersentak aku dibuatnya. “A’a... pergilah...” dia bersuara lagi sambil tersenyum penuh makna.
Aku melangkah turun ke halaman rumah dan ternyata benar. Dia sedang merenung sawah yang luas terbentang.
“Adik-adik tak datang sekali?” aku bertanya setelah menghampirinya dan berdiri di sisinya.
“Tu...” dia menunjuk ke arah sawah. Kelihatan Adi, Aisyah dan Amir sedang meniti batas bersama dengan abah. Aku termalu sendiri. Macam mana boleh tak perasan ni... kalau dah mata asyik nampak dia saja yang lain semua kabur.
“Abang Im dah ceritakan segalanya...” dia memulakan bicara.
Aku menelan liur. Segalanya... dalam maksudnya tu...  “Owh...” sepatah kata yang mampu aku ucapkan sebagai respon.
“Tapi saya rasa awak terlupa satu benda...” dia terhenti seketika sebelum menyambung. “Jodoh itu kan rahsia Allah dan mungkin awak perlukan seseorang untuk sentiasa mengingatkan awak,  prinsip awak tentang benda alah tu...” dari ekor mata aku lihat dia tersenyum kecil. Jantungku mula berdegup kencang. Benda alah...
“Tak salah belajar menerima seseorang walau tanpa cinta di hati sebab cinta itu kan umpama sepohon pokok...” Dia terus berlalu meniti batas menyertai adik-adiknya dan meninggalkan aku yang termangu sendirian.
Sepohon pokok=?
Ahh... aku menekup mulut. Terkenangkan blog yang sudah setahun tidak diziarah selepas berita pernikahan Zaleha aku terima. Patah hati. Tak ada sebab untuk aku terus meluahkan kata hati pada setiap luka dan kecewa di dada blog itu lagi kerana kisah itu sudah pun sampai ke penghujugnya.
 Tapi... macam mana Adwan Muqri boleh tahu pasal benda alah itu sedangkan mustahil kalau itu dari mulutku. Adakah ini maknanya... Hish abang ni tak boleh simpan rahsia betul lah. Sebuah diari kenangan... alamak malunya aku... rasa macam nak terjun tali air saja...



0 comments: