perjuangan tanggungjawab

Rindu untuk terus menulis. 
Melarikan jemari pada papan kekuci demi mengekspresikan imaginasi ke dalam sebuah bicara dari hati ke hati. 

‘Bicaralah dari hati. Nescaya ia akan jatuh ke hati’
[Quote]

Rindu untuk terus melakar kata yang bisa membelai jiwa yang ketandusan rasa. 
Namun kerinduan ini terpaksa dipendam dalam di dasar hati yang terpencil kerana sesungguhnya ada tanggungjawab yang menuntut perhatian. 
Sungguh, itu tanggungjawab yang hakiki. 
Pada diri pada Ilahi.
Pada dia dan dia juga. 
Pada mereka.
Untuk hanya beberapa bulan sahaja lagi. 
Bulan yang tidak sampai dua belas bulan yang perlu untukku bertahan. 
Melalui hari-hari sukar yang memenatkan. 
Semoga Dia redha.
Semoga Dia bersama.
semoga kepenatan ini juga dalam hitungan.
tatkala hati jiwa dan raga pasrah dan ikhlas.
Semoga hati ini terarah. 
Pada lorong yang benar. Pada jalan yang lurus. 

Kepada sahabat yang juga sedang berjuang sebagaimana diri ini. 
Semoga kita sama-sama tabah dalam meneruskan perjuangan. 
Semoga kita mampu sabar dengan apa jua dugaan.
Semoga perjuangan ini tidak menemui titik keputusasaan.  


Allah... Allah... Allah...
macam mana kita nak Allah tolong kita kalau orang minta tolong pun kita berkira-kira?
:(:(:(:(


Allah... Allah... Allah...
banyak betul khilaf dan silap...
mengabaikan yang berharap...


Allah...
rasa bersalah yang amat pada dia, dia dan mereka...
Allah...
alhamdulillah...
masih sudi rupanya Kau mengetuk hati yang tertutup
melembutkan hati yang keras


Allah...

-insaf-


lelah dengan segala helah. 
perih dengan segala pedih.
kekuatan dan semangat terbang bersama bayu kesayuan.
segala kerja yang tertangguh tidak bersentuh.
payah.
terlalu payah melakar senyum pada wajah yang terlukis kesah.
terlalu sukar mencari titik mula pada permulaan.
mencuba melupakan. 
namun tidak terdaya.
mencuba menafikan namun seolah-olah membohongi diri sendiri.
bagaimana mungkin memulai yang manis andai yang pahit tidak diakhiri.
mencari kekuatan untuk mengakhiri.
untuk seminggu ini.
bertahanlah duhai hati.
kalau pun tidak terdaya melakukan demi diri, lakukan ini demi Dia...
dan mereka.

Pak Cik Mood... tolonglah...
lelah di hari ini akan berbayar di hari muka.
usaha kita bukan terzahir oleh pointer semata.
tapi pada nilai segaris cahaya.
yang hanya bernilai dalam redha.

mencari damai


SOFIA mengecilkan mata sambil memerhatikan kawasan sekeliling yang lengang. Jantungnya berdegup kencang membayangkan pelbagai kemungkinan. Entah kenapa dia boleh sampai tertidur di surau berdekatan dengan makmal mikrobiologi dan tidak ada seorang pun yang menyedari akan keberadaannya.
            Jarum jam kian berdetik. Langit malam kian malap dalam pekat. Hatinya gusar, gundah dan tidak mampu bertenang. Handset di dalam poket beg galas merah kesayangannya dicapai. Niat di hati ingin menghubungi Ainin, roommatenya namun alangkah luluhnya hati apabila mendapati yang telefonnya mati kerana kehabisan bateri!
            Allahurabbi... hati kecilnya merintih sayu. Terasa ingin menitis air matanya yang sejak tadi menakung di empangan mata memikirkan bagaimana untuk dia pulang ke rumah sewanya sedangkan sekarang sudah hampir pukul sepuluh malam dan mana mungkin masih ada bas yang beroperasi untuk ke rumah sewanya pada waktu ini.
            Dia memberanikan diri dan menapak perlahan menghampiri bus stop namun langkahnya mati tiba-tiba seraya terdengar suara orang sedang bercakap-cakap. Dalam samar cahaya lampu jalan dia cuba mengamati susuk tubuh seorang lelaki bersama dengan seorang budak perempuan dalam lingkungan sepuluh tahun yang sedang berdiri betul-betul di hadapan sebuah kereta Myvi berwarna silver.
Berdasarkan pengamatannya, dia seakan mengenali sesusuk tubuh itu. Berbekalkan sedikit kekuatan yang tersisa dia berjalan menghampiri keduanya.
“Saiful!” Sofia menjerit kuat apabila yakin dengan apa yang dia lihat. Tidak dia sangka akan bertemu dengan course mate nya itu.
Saiful berpaling. “Sofia... Ya Allah... sejak tadi saya cari awak. Awak pergi mana?” Saiful meluahkan senafas. Gusar sungguh hatinya memikirkan nasib yang mungkin menimpa teman sepengajiannya itu.
“Oh... sebenarnya saya tertidur dekat surau tadi. Macam mana awak tahu saya di sini?”
“Tadi... Ainin call saya bagitahu yang awak tak balik lagi. Dia risau sangat. Itu yang saya tawarkan diri untuk cari awak dekat sini. Saya ajak adik saya ni temankan.”
Saiful mengalihkan pandangan ke arah adik perempuannya. “Maryam... ini Kak Sofia. Sofia, ini adik kesayangan saya Maryam.”
“Oh... Maryam. Cantik nama tu. Nama ibu Nabi Isa. Seorang wanita hebat dan mulia.” Sofia tersenyum sambil menghulurkan tangan sebagai tanda perkenalan. Maryam menyambutnya sambil tersipu-sipu malu.
“Dah lewat ni jom saya hantar awak balik.”
Sofia mengerling jam tangannya sekilas. Jarum sudah menunjukkan pukul sepuluh lima minit malam. Dia cepat-cepat masuk ke dalam kereta. Saiful menggamit adiknya duduk di kerusi hadapan bersebelah pemandu sementara Sofia duduk di kerusi belakang.
Saiful terpaksa memperlahankan kenderaannya kerana hujan tiba-tiba turun dengan lebatnya bersama angin kencang yang menggoyangkan pokok-pokok yang tinggi menjulang. Hatinya sedikit gusar melihatkan perubahan cuaca yang mendadak kerana tadi sewaktu dia bertolak ke mari keadaan masih tenang dan langit cerah berbintang. Ahh... lukisan alam siapa bisa menduga. Kun faya kun. Kalau Dia kata jadi maka akan jadilah. Tidak akan ada seorang pun manusia atau apa-apa yang mampu merubahnya kerana kuasa yang tertinggi terletak pada Yang Maha Agung bukannya manusia.
Sewaktu Saiful ingin membelok ke kiri di sebuah persimpangan berdekatan dengan sebuah rumah tinggal, tiba-tiba terdapat sebuah kereta Proton Wira berwarna hitam memotong keretanya dan menghalang laluannya yang menyebabkan dia terpaksa menekan brek mengejut sehingga menyebabkan dia dan Sofia terdorong ke depan. Adiknya, Maryam yang tadinya terlelap juga tersedar dan tersentap.
Sofia gelisah. “Saiful... nak pergi mana?” dia bertanya apabila melihat Saiful menanggalkan tali pinggang keselamatan dan ingin membuka pintu kereta. Namun soalannya tak berjawab.
“Tak payah lah. Saya tak sedap hati lah.” seakan mampu mengagak apa yang ingin dilakukan oleh Saiful.
“Habis tu takkan nak duduk dalam ni sampai esok pagi.” Tegas kedengaran.
“Sampai tahun depan pun saya sanggup kalau itu dapat menjamin keselamatan kita.” Juga dalam nada yang tegas membentak.
“Se...” belum pun sempat Saiful menghabiskan kata-kata, mereka diganggu oleh bunyi ketukan di tingkap bersebelahan dengan Saiful.
Saiful dan Sofia saling berpandangan. Sofia menggeleng perlahan sebagai isyarat. Demi memikirkan keselamatan Sofia dan Maryam, Saiful statik dan pada masa yang sama sedang memikirkan cara-cara untuk melepaskan diri. Akalnya ligat berfikir apa yang perlu dia lakukan.
Akhirnya dia mendapat idea yang sepatutnya sejak tadi dia lakukan tetapi disebabkan perasaaan panik dia tidak mampu berfikir dengan rasional. Tangannya rakus menyelongkar dashboard mencari telefon bimbit. Belum sempat telefon itu dicapai dia tersentak dengan jeritan Sofia. Rupa-rupanya mereka sudah berjaya membuka pintu kereta semasa dia sibuk menyelongkar dashboard tadi. Taktik percuri kereta yang biasa mereka praktikkan untuk membuka pintu kereta yang berkunci.
Dua orang lelaki berbadan tegap mengacukan pisau ke leher Sofia dan Saiful. Maryam yang masih terkejut hanya mampu menangis teresak-esak.
“Bagi dompet kau.” Arah seorang daripada lelaki itu yang berbaju putih.
Saiful menunjukkan ke arah dashboard. Lelaki tadi menyelongkar dan menjumpai dompet milik Saiful sementara yang berbaju hitam menyelongkar beg Sofia.
“Kau jaga budak dua ekor ni dulu.” Arah lelaki berbaju hitam kepada rakannya.
“Kau nak pergi mana?”
“Berseronok. Lepas ni giliran kau pulak.” Lelaki tadi bersuara sambil ketawa nakal.
Tak susah untuk Sofia faham akan maksud kata-kata itu. Dengan sepenuh kudrat yang ada dia cuba melepaskan diri namun keupayaannya nyata terbatas. Mendengarkan itu, Saiful cuba bergelut dengan lelaki yang berbaju putih. Dia mesti menyelamatkan maruah Sofia walau dengan apa cara sekalipun meski nyawanya terkorban.
Di satu sudut, seorang gadis suci berusaha dengan seluruh kekuatan yang tersisa untuk mempertahankan mahkotanya sementara di sudut lain seorang pemuda jatuh tersungkur namun diri digagahkan untuk berjuang dengan tekad melindungi maruah seorang gadis dari diragut.


SAIFUL mengerling Sofia di seat belakang. Jalan kian lengang kerana jam sudah pun menginjak ke pukul 12.06 minit malam.
“Sofia... awak janganlah macam ni. Kita pergi buat report ya. Lepas tu saya bawa awak jumpa doktor.” Saiful memujuk lembut. Tidak tahu bagaimana lagi untuk dia mendamaikan hati Sofia yang ternyata dalam keadaan yang sangat tertekan.
            Sofia masih teresak-esak. Tidak mampu dia untuk bersuara walau sepatah. Dia tidak tahu bagaimana untuk dia meneruskan hidup selepas ini. Adakah lagi lelaki yang sudi mengambilnya sebagai isteri setelah mengetahui yang dirinya sudah tidak suci lagi? Bagaimana kalau dia hamil? Allah... air matanya semakin laju menitis.
            Esakan kecil yang mendayu-dayu semakin meruntun qalbu Saiful. Terasa seperti disiat-siat. Dia gagal. Dia tak mampu mempertahankan Sofia. Semasa bergelut dengan penjahat tadi dia terjatuh lalu pengsan dan apabila tersedar, segalanya telah musnah. Dia tekad walau apa pun yang terjadi, penjahat tadi harus dijejaki dan diberikan hukuman yang setimpal atas perbuatan mereka. 
            Saiful memejamkan mata sejenak. Ada air hangat yang mengalir perlahan di tubir matanya.
            “Sofia... saya akan kahwin dengan awak dalam masa terdekat. Saya janji.”
            Kata-kata itu bukanlah pemujuk hatinya malahan serasa seakan semakin mendera jiwa gadisnya. Ini tidak adil untuk awak Saiful. Awak seorang lelaki yang sangat baik dan soleh. Tipulah andai saya katakan saya tidak pernah tertarik dengan perwatakan awak yang mampu memikat hati wanita. Kebaikan awak. Tapi... awak lebih berhak untuk perempuan yang baik dan solehah. Seorang perempuan yang rahimnya suci dari benih lelaki lain. Seorang yang masih perawan dan yang pasti perempuan itu bukan saya.
            “Sofia... tolonglah katakan sesuatu. Kalau awak nak kita kahwin malam ni pun saya sanggup Sofia.” Saiful masih tidak berputus asa memujuk.
            “Tak Saiful.” Tegas. Air matanya semakin laju mengalir. “Simpati awak semakin mendera hati saya Saiful.” Sofia bersuara lirih bersama sendu yang kejap memeluk hati.
            Saiful bungkam. Simpati. Oh tidak! Bukan simpati yang dia rasakan tapi tanggungjawab atau lebih dari itu rasa bersalah yang mencengkam sukma.
            “Abang...!” Maryam yang sejak tadi berdiam diri akibat terkejut atas apa yang berlaku tiba-tiba menjerit nyaring.
            “Allah!”


WAYAR yang melingkari sekujur jasad yang terbaring sejak dua hari lalu sedang dialihkan satu persatu. Dua hari doktor berjuang cuba menyelamatkannya namun yang pasti nyawa itu bukan milik manusia.
            Di tepi katil teresak-esak menangis seorang wanita lewat 40-an dan seorang gadis kecil sambil saling berpelukan. Di sudut tepi bilik seorang lelaki yang mungkin sebaya dengan wanita tadi bersandar ke dinding sambil menyeka air mata yang mengalir laju.
            “Saiful!”
            Sofia yang berkerusi roda menerpa ke arah katil. Dengan dada yang berombak kencang dia membuka sedikit kain yang menutupi wajah Saiful. Allah... rawan hatinya bagai dihempap beban yang tersangat berat untuk ditatang. Menatap sekujur tubuh lesu yang terbaring kaku itu mematah riukkan segenap tabah yang berbaki sekelumit cuma. Air mata tak semena-mena mengalir seperti tiada usai.
            ‘Kenapa dia Ya Allah? Kenapa bukan aku yang Kau ambil?’ hati kecilnya menjerit. Terseksa menanggung satu persatu ujian yang menerpa.
            “Jangan biarkan kesedihan menghayutkan jauh harapan. Usah biarkan kekecewaaan menenggelamkan jauh ke dasar keputusasaan. Masih punya jawapan yang kemas tersimpan, sekalung doa insan beriman.” Bisikan halus membelai telinga yang entah dari mana hadirnya mengalir terus ke dasar hati yang terpencil.


“ALONG nampak berisi sekarang. Kuat makan ya...” seloroh emak menyentak emosi Sofia.
            Dia sekadar tersenyum tawar. “Mak tak suka anak mak sihat?” sekadar berbas-basi sedangkan hatinya berdetap kencang. Kalau dihitung-hitung sudah sebulan lebih peristiwa hitam itu berlalu dan tak siapa yang tahu kecuali Dia juga pihak polis.
            Semenjak pulang ke kampung tempoh hari telinganya masih terngiang-ngiang teguran emak itu. Dia bimbang kalau-kalau benda yang paling dia takuti akan terjadi jua.
            “Ainin... saya nampak berisi ke?” Sofia menalakan pandangan ke arah Ainin yang sedang tekun menelaah pelajaran.
            Ainin mendongak sedikit merenung Sofia. “A’a... nampak berisi. Pipi pun dah tembam.” Dia tertawa kecil. “Tapi pelik... awak kan selalu tak sihat. Sakit-sakit kepala siap muntah-muntah lagi tapi makan lalu je. Hurm...” Dia mengetuk-ngetuk dagu perlahan dengan menggunakan pensel mekanikal seolah-olah sedang memikirkan masalah ekonomi negara yang kritikal. 
            Zap... kenyataan Ainin bagai menghunus ulu hatinya. ‘Ya Allah... jangan biarkan apa yang berada di dalam fikiranku sebagai satu realiti ya Allah...’ suara hatinya merintih.

           
“SOFIA! Apa ni?”
Tersentak Sofia yang ketika itu sedang khusyuk menghayati bait-bait indah ayat cinta-Nya. Dia terus memandang ke arah Ainin yang sedang memegang sesuatu di tangan kanannya. Keluhan kecil dilepaskan. Mata dipejam rapat mendamba secebis kekuatan. Allah... bila Kau nak tunjuk, walau macam mana pun aku tutup tetap kan terbuka hijab.
“Berapa bulan?” Soalan yang ringkas dan tegas.
“Enam minggu...” Sofia menjawab antara dengar dan tidak.
“Tak sangka awak yang saya hormati boleh buat kerja terkutuk macam ni. Selama ni awak bukan main sopan lagi. Dengan lelaki pun jarang bercakap apatah lagi bercinta tapi macam mana boleh jadi macam ni? Saya tak kenal yang namanya Sofia yang... Isy!” Ainin melepaskan geramnya dengan menumbuk meja belajar yang berada di sisinya tika itu. Bibirnya bergetar amarah. Nyata syaitan berjaya memperdaya seorang lagi umat Muhammad.
“Siapa bapak anak haram ni? Saiful? Hah eloklah tu. Patutlah malam tu accident lepas buat kerja terkutuk rupanya.”
Tap. Sofia menyisipkan tangan kanannya ke dada. Kejap menggenggami jari-jemari, saling mengalirkan kata-kata azimat tak terucap sambil mata dipejamkan serapat-rapatnya mengharapkan selingkar kesabaran dalam mempertahankan iman yang kian luntur dengan penghinaan demi penghinaan. Kejamnya bahasamu sahabatku...
Hati kecilnya bagai dilapah-lapah dengan belati tajam. Bagai disiat-siat, dicincang lumat menjadi cebisan kecil yang bertebaran. Pedih. Tersayat rasa.
“Saya tahu saya tak cukup baik tapi awak tak berhak menuduh orang sebaik Saiful. Dia dah tak ada. Tolonglah jangan mengaibkan dia dengan aib yang bukan perbuatannya. Kalau awak nak cari punca kesalahan, letakkan ke bahu saya.” Dengan berbekalkan sedikit kekuatan yang tertinggal dia melafazkan.
Lantas, Sofia berlalu keluar dari rumah dengan mata yang membengkak menakung air. Sudah tidak tegar rasanya diri menanggung semua ini. Dia tak sekuat mana. Bagaimana mungkin dia kuat bila sahabat yang paling rapat dengannya sendiri menuduhnya melakukan perkara sumbang dan yang paling mengusik hatinya apabila sahabat itu menuduh seseorang yang telah tiada lagi dan orang itu langsung tidak bersalah.
Saiful... kenapa cepat benar awak pergi... saya tak kisah kalau awak tak nak kahwin dengan saya tapi saya perlukan awak saat ni untuk saya kongsi kesedihan saya atas penghinaan ini sebab awak seorang saja yang tahu pasal ni. Awak saja saksi yang saya ada untuk saya mempertahankan maruah saya dari diinjak-injak sesuka hati. Kalaulah awak masih ada... mesti awak akan mempertahankan saya kan? Mesti awak akan membela saya bila semua orang mencemuh saya kan? Tapi... kenyataannya awak sudah tiada...
Dan tuturkanlah perkataan kamu dengan perlahan atau dengan nyaring, (sama sahaja keadaannya kepada Allah), kerana sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di dalam dada. Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui (segala-galanya)? Sedang Ia Maha Halus urusan PentadbiranNya, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya!”
Tafsir Al-Quran Surah Al-Mulk ayat 13-14 itu menyapa pendengarannya yang sedang bertenggek di tangga surau berdekatan dengan kawasan rumahnya. Hatinya disapa satu perasaan. Ya Allah... aku khilaf. Demi sesungguhnya Kau Maha Mengetahui segala sesuatu. Daku hilang upaya daku hilang daya. Seakan tak mampu lagi untuk mengorak langkah. Setiap derap tapak seakan sumbang. Tunjuki aku jalannya Ya Allah.


MALAM berlalu, siang menjengah. Hari berganti, minggu menyapa bertukar bulan. Sofia semakin sarat menanggung beban keseorangan. Ya keseorangan pada zahirnya namun sesungguhnya dia bukanlah sendirian kerana ketahuilah Dia tetap bersama menemani. Melalui hari-hari sukar menghadap kuliah saban hari dari pagi hingga ke senja. Bergelumang dengan assignment yang menuntut masa sedangkan dia semakin tidak berdaya.
            Masuk bulan ketujuh dan yang pasti sudah lebih lima bulan dia tidak menjenguk kampung halaman. Bukan niatnya ingin merahsiakan hal ini dari pengetahuan ibu abah tapi tidak sanggup rasanya untuk melihat air mata ibu gugur dan tidak betah rasanya ingin melihat wajah penuh kecewa seorang abah.
            Biarlah kisah sakit perit maung ini dia tanggung sendiri meski saban hari terpaksa menadah telinga mendengar perlian dan ejekan mereka yang tidak tahu akan kebenaran dan yang paling menghiris hati apabila nama insan itu juga dikaitkan sama. Sudah jenuh dia menafikan namun tak siapa yang percaya kerana dia tiada sesiapa untuknya campakkan kesalahan. Dia tak salah tapi dia silap. Silap kerana tertidur dekat surau pada petang tu. Ya silap itu datang dari dirinya sendiri lantas pada siapa harus dia menunding jari?
            Walau apa pun yang terjadi, kehidupan mesti diteruskan. Dia uji bersebab bukan saja-saja. Mungkin Dia nak hadiahkan pahala pada jiwa yang redha. Wahai Pemilik Hidupku, pimpin tangan ini saat aku tercari arah. Pegang tangan ini saat aku hampir rebah. Wahai Pemilik hatiku... sentuh hati ini tatkala aku rasai kekosongan. Pujuk hati ini bila aku kehilangan kekuatan. Aku mencari damai Ya Allah... damai buat sekeping hati yang redha pada setiap ketentuan. Damai sekeping hati yang bergantung pada Pencipta-Nya.
“Janganlah kamu bersikap lemah dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang-orang yang beriman.” [Surah Ali Imran : Ayat 139]
            Sofia tersenyum kecil apabila dengan sendirinya hatinya terpujuk dengan warkah cinta ini. Subhanallah... sesungguhnya Kau Maha Mendengar setiap rayuan dan pengaduan. Aku rasai tenang. Aku rasai damai.
            Dia bingkas bangun sambil membuka telekung untuk menyambung study. Dikerling sekilas ke arah Ainin yang sedang tekun melakar sesuatu dia atas kanvas putih. Kuntum senyuman terbit di pinggir bibir. Teringat kenangan pahit manis bersama selama hampir tiga tahun perkenalan. Namun masa telah menghakis manis dan meninggalkan pahit yang utuh terhampar di dinding hati.
Dia akui sesungguhnya sukar untuk melupai setiap kata penghinaan yang menyapa pendengaran. Lagi sukar menerima kenyataan yang kata-kata itu lahir dari seorang insan yang sangat dia sayang. Tapi hatinya tidaklah sekeras batu, tetap kemaafan memudarkan amarah dan kecewa. Ya, dia telah pun memaafkan Ainin lama dulu. Padanya tiada kata maaf yang perlu dari seorang sahabat kerana pada zahirnya terjalinnya ikatan sebagai tali untuk saling menarik menuju redha Ilahi.
Ukhwah fillah itu... tak kenal siapa dan di mana.


“AININ, kalau apa-apa terjadi pada saya... saya amanahkan anak ni pada awak. Kalau lelaki namakan dia Saifullah. Kalau perempuan namakan dia Sumayyah.” Sofia menuturkan tenang dalam kepayahan. Segaris senyuman terukir dihadiahkan kepada Ainin sebelum dia disorong masuk ke dalam bilik pembedahan.
            Ainin menyeka air mata di penjuru pipi. Teringat akan pesanan Sofia sebentar tadi. Pagi tadi, semasa dia bangun untuk solat Subuh dia ternampak Sofia terbaring di atas lantai bilik air. Saat itu hanya Tuhan saja yang tahu perasaannya. Cemas dan bimbang. Jujur, dia masih menyayangi Sofia dan akan terus menyayangi sahabatnya itu. Tak akan ada badai yang mampu menggongcang kasih utuhnya buat Sofia meski mulutnya lancar berbicara kata yang mengoyak carikkan sekeping hati. Tapi tetap tak mampu dia menipu diri sendiri. Dia sayangkan sahabatnya.
            “Sofia... saya minta maaf...” kata yang terungkap di dasar hati.
Dadanya penuh debar menantikan bicara seorang doktor wanita yang sedang berjalan menghampirinya. Mungkinkah saatnya telah tiba. Saat yang mana tidak akan tercepat walau sesaat dan tidak pula terlambat walau sesaat. Doktor itu berdiri betul-betul di hadapannya. Air muka doktor itu sudah menjelaskan segala-galanya tanpa perlu dituturkan dengan lisan.
Air matanya semakin laju mengalir bersama esakan kecil. Dikuatkan hati melihat seorang anak kecil sedang lena di dalam incubator. Pipinya kemerah-merahan. Bibirnya seolah-olah tersenyum. Ahh.. dia masih terlalu kecil untuk memahami erti kehilangan. Tangannya terketar-ketar menyeka air mata yang mengalir laju.
            “Saifullah... anak yang baik. Saif bertuah miliki seorang ibu yang kuat dan tabah. Saif juga harus kuat. Jadi anak yang soleh. Ibu akan menunggu Saif di syurga kelak.”




sticky note:
[3:139]
menggali kekuatan di sebalik timbunan kesakitan
menjunjung semangat tatkala maruah diinjak-injak


sudah saat untuk melepaskan
membiarkan secebis rasa itu terbang membawa haluan
pergi menjauh tanpa walau hanya berpaling menyapa

padamkan secalit kisah yang sempat terlorek di dinding hati
lakarkan ceritera baharu yang lebih indah untuk terus dipamerkan
nukilkan rangkapan puisi penglipur lara yang lebih mengusik lorekan tawa

-teruskan tersenyum meski tidak menggamit kerana hakikat senyuman adalah tarikan-