term

tahu tak bergosip adalah nama lain bagi mengumpat?
dush! dush! dush!

dan mungkinkah perkataan bergosip itu sedikit sopan hingga mampu mengaburi kejelikannya?

dalam bergosip ni ada dua je...
kalau kisah itu benar, ia mengaibkan...
dan kalau tidak benar, ia adalah fitnah.


it is just a matter of term?
heh. perumpamaan baru mungkin.


-hempuk kepala sediri-


sticky notes:
jaga kata-kata
jaga telinga
jaga hati.
perkuatkan diri melawan nafsu.

indeed

tadi lepas solat isya' buka tafsir.
random.
Dia tunjuk.
Allahurabbi...
Dia ajar macam mana nak jadi baik...
seorang yang baik itu merupakan seorang yang sabar...
yang suka akan kebaikan.
menolak kejahatan dengan kebaikan.
Allah...
jauh sangat lagi. tersangat.
dan yang paling penting.
baik itu tidak akan pernah terzahir hanya sekadar melalui appearance.
indeed.
ianya hadir dari dalam yang hanya akan appear bagi sesiapa yang bukan hipokrit.
yup.
kita mungkin boleh mengaburi mata manusia dengan pakaian tapi kita takkan pernah mampu menghijab keperibadian.

Ya Latif...
pinjamkan aku sekeping hati yang cukup kuat tatkala aku merelakan diri ini diperkotak-katik sesuka hati

saudaraku yang kasihku tertumpah kerana Dia...
hidup ini tidak semudah yang kita harapkan
yang kita sangka mampu kita lontarkan kesukaran ke pundak insan lain
tatkala kamu merasa sakitnya tidakkah terfikir olehmu insan itu juga bakal melalui pahit maungnya
kamu kejam terhadap aku yang pada zahirnya lemah
membiarkan diri terus dianiaya
menyatakan rela pada sesuatu yang tidak 
aku mengalah bukan kerana aku kalah
sekadar mengharap dengan penuh yakin.
dengan memujuk raga sendiri.
bahawa aku akan sentiasa ada Dia tempat bergantung harap.

Ya Rahman...
izinkan aku menangis untuk kesakitan ini.
bukan tidak redha tapi aku buntu waktu.
tidak lagi mampu bertahan dengan keperitan ini justeru itu aku fikir kanvas ini mampu bersuara mewakili aku
berbicara bisu melalui abjad
memuntahkan rasa agar beban ini berkurangan

Baru semalam kembali ke sini hati sudah mula merindui 
Rindu akan suasananya yang tenang
Rindu akan insan-insan tersayang

Nenek sudah menginjak usia emas lama dulu. 
Sudah semakin lemah. 
Dan setiap kali saya atau adik atau kakak ingin kembali ke tempat penghijrahan kami, dia akan bersedih hati. Hampir menitis air mata melihatkan keadaannya. 
Ayat sama yang diulang bersama mata yang berkaca-kaca setiap kali kaki ingin melangkah meninggalkan kampung halaman… dia akan ditinggalkan sendirian tanpa teman…
Oh nenek…
Jasadmu semakin dimamah usia. Kudratmu yang masih tersisa sedikit cuma. Namun kasih dan sayangmu tidak pernah usai.

Ibu ayah juga sama
Semakin hari  kudrat semakin merosot dihambat waktu 
namun kasih dan sayang yang terbias tidak pernah berkurangan. 
saya dapat lihat itu. 
dapat rasa. 
sungguh. 
kasih seorang ayah yang terlalu kasih.
hingga terkadang buatkan kami rimas.
rasa terkongkong.
hidup seakan diatur.
tapi...
bila saya renungi...
bermuhasabah. 
Allahurabbi...
takkan mungkin ada orang yang akan sayang saya sebagaimana dia.
mungkin tidak juga meski separuh saya.
kasih ibu membawa ke syurga kasih ayah takkan pernah pudar selamanya.
dan dalam kasih itulah saya lihat harapan.
harapan yang dibawa bersama masa.
dan harapan itulah yang cuba saya tunaikan.
dengan menafikan keinginan yang terpendam.
biarlah. moga dengan mencuba membahagiakan mereka saya akan rasai bahagia juga.
impian saya andai Dia izin, andai masih punya kesempatan lambat laun akan terlaksana juga
tidak terlalu cepat tidak juga terlambat tetapi pada ketika yang tepat
bilamana saya sudah siap.
dan Dia Yang Maha Mengetahui lebih tahu.

tidak terlontar hujah kasih yang tersisip
kerana sabdanya terlalu indah 
momennya teramat sepadan
bersatu mendakap waktu
berharap detik tidak pamit terburu-buru
kerana masih belum hilang hausnya
menghirup kasih seorang ayah
meneguk cinta seorang ibu



sticky note:
Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai usia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sesekali jangan engkau mengatakan kepada keduanya perkataan 'ah' dan janganlah engkau membentak mereka, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah : Wahai Tuhanku, sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidik daku pada waktu kecil.
[Al-Israa': 23-24]

tinggal beberapa bulan saja lagi kita akan lalui hari-hari sukar yang memenatkan
bulan yang tidak sampai dua belas bulan
dan pada waktu yang sama 
tanpa sedar
kurang setahun saja lagi kita berpeluang mencipta kenangan bersama
semoga untuk detik-detik yang bakal kita lalui nanti
terlakarnya kenangan yang manis-manis
biar kelat, pahit masam yang dominan asal ada sedikit manis yang terselit.
lepas ni masing-masing akan bawa haluan sendiri.
entah jumpa lagi entahkan tidak.
setiap kita akan punya jalan hidup sendiri.
empat tahun usia perkenalan mungkin belum cukup untuk kita saling mengenali 
namun cukuplah untuk mengisi penjuru kecil di pinggir hati 
oleh apa yang namanya ukhwah.
dan usia itu...
sudah cukup lama untuk mampu mencambah kasih seperti keluarga sendiri.
dan 'kedai-kedai' impian dan imaginasi tu...
yang seakan-akan hanyalah berfantasi di siang hari
namun tiada salah menganyam mimpi
kerana mimpi itulah yang kita bawa bersamanya harapan.
dan harapan yang sebenarnya tertimbus di sebalik alat
yang kita tuainya harapan
semoga alat itu menjadi asbab pada pertemuan yang mungkin terjadi.
hanya mungkin.
belum pasti.
dan kalau pun tidak.
kita pasti akan ketemu jua nanti.
pasti.
yang tempatnya bukan di sini.



.....................................................

           Seraut wajah itu menjelma lagi. Entah untuk kali yang kesejuta atau lebih. Bicara lembut ibu berdansa di minda. “Ibu ingat tahun ni nak buat umrah. Puasa dekat Mekah. Lepas tu kita sambut raya dekat Dublin...”
       Faris menala langit pekat. “Kenapa Dublin?” dia mengaju soalan ringkas pada ibu yang sedang menuang kopi ke dalam cawan.
      Ibu mengoyak senyum segaris. “Ada yang tertinggal di sana...” 
      Faris menoleh ke sisi merenung seraut wajah yang kian berubah bersama masa lantas menjongketkan kening tinggi bersama soalan. Apa?
        “Kenangan...”

^^ rindunya nak sambung ia yang tergantung di awang-awangan sekian lama...
.......................................................

dan mungkin ada antara kita nanti yang akan mengalami situasi yang hampir sama.
"saya teringin sangat nak pergi sana..."
"kenapa?"
"ada yang tertinggal di sana..."
"apa?"
"kenangan..."

aigoo... parah dah ni...

harapan itu


lagi sekali.
segalanya perlu dimulakan dari awal.
ya. yang kosong itu.
bilamana diri tidak mampu kuat untuk punya kesabaran yang ampuh
ada sesuatu yang rapuh
pabila diri mula gelisah oleh amarah yang tak terkawal
ada sesuatu yang tertinggal.
Rabb...
untuk sekali lagi.
perlu aku mulai.
kerana silap ini
silapku sendiri.
lagi sekali aku gagal.
untuk kali ini aku kalah lagi.
tak ada siapa yang mampuku sandarkan harapan untuk mengingatkan
kerana hakikatnya segalanya tercatat indah dalam Al-Quran.
Ya Fattah...
bantulah...
kuatkanlah...
Ya Rabbul Izzati...
pinjamkanlah aku sekeping hati yang punya naluri
punya jiwa yang mengerti hakikat kehambaan
Ya A'lim
lembutkanlah hati yang kian mengeras bersama masa
kembalikan sekeping hati yang pernah Kau pinjamkan dulu
hati yang pantas terusik oleh olahan tasbih
hati yang cepat terbuai oleh indahnya tahmid
hati yang bisa menangis 
merintih penuh pengharapan kerana kuatnya pergantungan
Allah...
aku rindu akan tangisan penuh keinsafan
Allah...
harapan ini.
harapan dari hati.
yang tak sanggup lagi terus menyepi
dan cinta itu
semakin menjauh
berlalu
membawa rajuk yang tidak terpujuk.


gerimis

JEMARI terus menari di atas papan kekunci mengikut rentak irama yang didendangkan akal. Kadang terhenti seketika sambil dahi berkerut-kerut memikir kewajaran unkapan bait ayat yang tercatat. Deru nafas tidak teratur kedengaran tatkala akal cuba merungkai olahan kekeliruan yang membusut. 
Masih berbaki kurang setengah jam saja lagi kelas Health Psychology akan bermula. Sufi masih lagi tekun menghadap komputer ribanya sambil hujung mata mengerling angka yang tertera di bahagian bawah di penjuru kanan skrin. 
Jemarinya semakin laju berlari meniti tiap abjad yang tertera pada papan kekunci. Mencuba mengejar masa yang semakin mampir. Untung saja andai tugasan Health Information System ini berjaya disiapkan pada pagi ini jadi malam nanti dia boleh luangkan masa untuk menelaah matapelajaran Advanced Laboratory Techniques untuk menghadapi ujian pada hari Selasa nanti. 
Untuk beberapa bulan saja lagi dia perlu bersabar menghadapi hari-hari sukar yang memenatkan sebagai seorang pelajar. Nanti apabila sudah tamat pengajian, pasti dia akan mula merindui lelah menelaah, penat menyiapkan assignment dan manis alam persahabatan tanpa kepentingan. 
Ayat terakhir mula dikarang mengekspresi ilham yang Dia curahkan. Noktah terakhir disusuli dengan helaan nafas deras. Bersama senyuman puas dia mengangkat wajah dari skrin dan pandangan lantas di bawa ke pintu masuk bilik perbincangan ini. 
Tap! Matanya tidak semena-mena bertembung pandang dengan sepasang mata lain yang tanpa sedar turut memandangkan. Mata di sebalik kaca mata itu turut membalas senyumannya. Sungguhlah senyuman itu umpama magnet yang pada hakikatnya suatu tarikan dan tarikannya… terlalu kuat hingga mampu menjejak hati!
Sufi mematikan senyuman dan terus mengalihkan pandangan. Segala alat tulis disumbat ke dalam beg galasnya dengan pantas. Seperti lipas kudung dia mengemas. Sesudah itu kaki dibawa melangkah laju meninggalkan bilik yang mulai terasa hangat meski suhu penyaman udaranya sudah mencecah lima darjah Celsius. 


SURAU di bahagian jemaah wanita agak lengang pada waktu Maghrib malam ini dan kebiasaannya juga. Bahagian jemaah lelaki saja yang boleh dikatakan penuh. Satu petanda baik sebenarnya. Ini menunjukkan yang pelajar lelaki masih mampu menyeimbangkan fardhu ain dan fardhu kifayah. Pada kebiasaannya kita dikhabarkan bahawa terlalu sukar untuk melihat lelaki yang menjejakkan kaki ke surau pada zaman sekarang tapi tidak di sini. 
“Sufi… assignment awak dah siap?” Zara yang berada di sebelahnya menyoal setelah mengaminkan doa yang dibacakan oleh imam.
“Alhamdulillah… siang tadi dah siap tapi belum recheck lagi. Kenapa?”
Zara menggeleng perlahan sambil tersenyum. 
“Awak?”
“Belum…” Zara menjawab sepatah sambil matanya memandang ke hadapan melihat seorang jemaah lelaki yang sedang bersiap-siap untuk memberi tazkirah.  
Sufi turut sama menumpukan perhatian apabila pemuda itu memberi salam sebagai mukaddimah. Merdu sungguh suaranya. Suara yang sekadar menghulurkan sebaris salam pun sudah mampu mengusik hati apatah lagi andai suara itu mengalunkan kalimah agung. Subhanallah…
Keningnya terjongket tinggi apabila terlihat empunya suara dan senyuman itu…
“Pada malam yang hening ini saya bukan nak bagi ceramah. Tak pandai pun. Sekadar ingin berkongsi ayat-ayat cinta.” Sufi tersentak dengan bait kata dari pemuda itu. Dia lantas mengalihkan pendangan. Menunduk menekur buku catatan yang hanya tertulis tarikh pada penjuru atas sebelah kanan muka surat. 
“Bukan nak jual minyak ye…” pemuda itu tergelak kecil dengan katanya sendiri. Hadirin turut sama tergelak.
“Sebenarnya pada malam ni sepatutnya Ustaz Nordin yang bagi ceramah tapi dia tidak dapat hadir atas sebab tertentu jadi daripada kita buang masa berbual kosong dengan rakan sebelah apa salahnya kita tambah ilmu dengan berkongsi ilmu.”
Zap. Berbual kosong dengan rakan sebelah…
“Ok saya nak tanya siapa boleh bagi tahu terjemahan surah Luqman ayat 22?”
Hadirin diam membisu. Seketika kemudian, seorang hadirin lelaki mengangkat tangan.
“Dan sesiapa yang berserah diri bulat-bulat kepada Allah (dengan ikhlas) sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali Agama) yang teguh dan (ingatlah) kepada Allah jualah kesudahan segala urusan.” Lelaki berbaju Melayu merah hati menyebut tenang.
Pemuda si pemberi tazkirah tersenyum sambil mengangguk perlahan. “Alhamdulillah…” 


SUASANA yang agak bising di dalam perpustakaan mengundang perasaan tidak puas hati Sufi. Orang sibuk nak study sebab minggu depan ada test lagi diorang sibuk bincang entah apa. Buat perpustakaan ini seperti nenek moyang diorang punya. Aduh! Adik-adik kalau pun nak siapkan assignment berkumpulan tapi tak boleh ke pergi bincang tempat lain yang tidak mengganggu orang sekeliling?
Sufi beristighfar di dalam hati. Sabar sajalah dengan budak-budak baru nak membesar ni. Tiba-tiba datang seorang budak perempuan duduk berhadapan dengannya. 
“Sini ada orang tak?”
“Tak.” Sufi menjawab ringkas sambil menghadiahkan seulas senyuman. Dia kembali menunduk menatap nota sambil tangannya berlari mencatat sesuatu di atas kertas A4.
Seketika kemudian datang beberapa orang pelajar lagi duduk di kerusi kosong di meja yang diduduki Sufi. Sufi mendongakkan wajah. Hurm… dah agak dah mesti bawa geng punya. Sufi sekadar membiarkan. Suka hatilah dik oi nak duduk sini ke apa asalkan jangan buat aku berasap kan tak pasal-pasal ada yang makan hati pula.
Tiga minit pertama suasana masih terkawal. Sekadar berbisik bertanya soalan yang berkisar subjek yang baru dipelajari. Namun masuk minit ke empat dan seterusnya suasana seakan mula berubah menjadi keadaan yang tidak selesa. Beberapa kali Sufi mendongak memandang mereka menyampaikan rasa kurang selesanya namun malang bila mereka sekadar memandang kosong. 
Sufi mengeluh perlahan untuk kesekian kalinya. Sungguh dia tidak boleh menumpukan perhatian. Memang korang nak tengok aku mengalah ke? “Can you please behave for at least respect others who want a peaceful air to study? Don’t be too selfish!” Sufi menghamburkan kata itu dengan nada perlahan yang sopan dalam tegas.
“Hah… do you think you’re good enough to educate us how to be altruistic?” Salah seorang daripada mereka menjawab tegas dan suaranya sengaja dikuatkan. Kawan-kawannya yang lain sekadar tersenyum sinis.
Semua mata tertumpu ke arah meja yang mereka duduki. Sufi beristighfar di dalam hati sementara tangannya saling bekerja mengemas buku-buku dan alat tulis yang bertaburan di atas meja. Tawar hati untuk terus bertapa di situ. Sebatang pensel mekanikal biru miliknya tiba-tiba terjatuh di atas lantai mungkin kerana tanpa disengajakan dia tertepisnya. Ada tangan yang menghulurkan pensel itu. 
“Terima kasih.” Sufi berkata perlahan seraya menundukkan sedikit kepala lantas berlalu meninggalkan perpustakaan.
“Err… kejap. Nota awak terjatuh tadi.” 
Sufi berpaling ke arah suara itu. Tap. Mata mereka bertembung lagi. Sufi cepat-cepat melarikan pandangan ke arah nota di tangan hamba Allah itu lalu mencapainya. 
“Terima kasih.”

NOTA Technology Entrepreneurship ditatap lagi. Masuk kali ini sudah berpuluh kali dia asyik menatap nota Bab 5 itu dan tatapannya sekadar menatap. 16:126. Angka yang tercatat di penjuru kanan sebelah atas nota itu amat menarik perhatiannya sejak awal membelek nota itu.
Siapa yang tulis? Setahunya dia tidak pernah mencatat angka-angka itu di mana-mana. Apa pula maksudnya dan yang paling penting itu bukan tulisannya. Angka 1 dan 2 itu bukan tulisannya dan bukan juga tulisan Zara rakan sebiliknya. 
Angka-angka itu ditatap lagi. Angka apakah ini? Nisbah untuk keuntungan jual belikah? Hah mengarut.
Hah… Sufi menekup mulut apabila teringatkan sesuatu. Dia… Tapi… apa pula yang dimaksudkannya? Sufi menggaru-garu dagu memikir. Zapp. Dia mendapat akal. 
Sufi lantas mendapatkan tafsir Al-Qurannya yang terletak di atas timbunan buku-buku lama. Surah ke 16 di buka dan kemudiannya dia mencari pula ayat ke 126. Surah An-Nahl ayat 126 ditatap dan di dalami maksudnya.
“Dan jika kamu membalas kejahatan (pihak lawan), maka hendaklah kamu membalas dengan kejahatan yang sama seperti yang telah ditimpakan kepada kamu, dan jika kamu bersabar, (maka) sesungguhnya yang demikian itu adalah lebih baik bagi orang-orang yang sabar.”
Tafsir itu di bawa ke dalam dakapan. Air matanya menitis perlahan melalui lekuk pipi. Allah… rasa apakah ini? Getaran apakah yang melanda hati?


SUFI duduk berhadapan dengan Ustazah Hafizah di dalam biliknya. Entah kenapa Ustazah memanggil Sufi berjumpanya pada hari ini. Rasanya dia tiada sebarang masalah disiplin dari segi moral mahupun akhlak.
Usatazah Hafizah tersenyum manis sebelum memulakan bicara. “Ada orang minta ustazah sampaikan hajat pada kamu.” dia berterus terang.
“Hajat apa ustazah?” Sufi bertanya kehairanan sambil merenug wajah bujur sirih Ustazah Hafizah.
“Nak jadikan kamu bidadari di dunia dan insya-Allah, ketua bidadarinya di Syurga.” Ustazah berkias sambil tersenyum.
Gulp. Sufi menelan liur kelat. “Kalau boleh saya tahu siapa dia?” Sufi menutur kata dengan nada yang terlalu perlahan namun masih mampu didengari dengan jelas oleh Ustazah Hafizah.
“Luqman Al-Hakim…”
Kening Sufi terjongket tinggi mendengarkan sebaris nama yang cukup indah itu. Luqman Al-Hakim… siapa tidak kenal akan pemuda itu. Pemuda yang akhlaknya lebih memikat hati dari paras wajahnya meski raut bening itu mampu menarik sepasang mata untuk terus menatapnya.
Dada Sufi berombak kencang. “Saya…” sungguh dia terkejut. Tidak menyangka. Tidak langsung terfikir dek akal waras.
“Tak apa bukan nak minta Sufi bagi jawapan sekarang. Dia cuma nak tahu jawapan istikharah Sufi saja.”
“Saya rasa… sangat tak layak. Untuk dia.”
Ustazah Hafizah sekadar tersenyum manis sambil tangannya menggenggam lembut jari-jemari Sufi seakan cuba memberikan sokongan moral. “Yang menentukan layak atau tidak itu bukan manusia…” dia bertutur perlahan penuh kelembutan dan kasih sayang bagai kasih seorang ibu.


AIR MATANYA menitis laju diselangi sendu yang berlagu pilu. Kekadang tangan kecilnya menyapu untaian mutiara jernih yang mengalir bagai tiada usai. Dia keliru. Bagaimana mungkin dia mengatakan tidak pada orang yang dia sudah lama suka. Sekadar memendam rasa yang pada hematnya hanyalah bertepuk sebelah tangan namun silap sungguh percaturannya. Dan bagaimana pula menyata sudi andai sedar diri tidak cukup baik untuk memiliki. 
Dia berhak dapat yang lagi baik. Apa jawapan yang tepat yang harus dia berikan kepada Ustazah nanti. Terlalu payah menguntai kata yang mampu mengoyak carikkan sekeping hati namun lagi sukar memberi jawapan yang mendera jiwa sendiri. 
“Sufi… awak kenapa?” Zara mengusap lembut bahu Sufi yang terhenjut-henjut larut dalam tangisan yang semakin menjadi-jadi.
“Saya rasa sedih…” dalam sedu Sufi berbicara. Suaranya tenggelam timbul bersama tangisan.
Zara masih setia menanti kata yang seterusnya. Sesiapa saja yang melihat pasti juga tahu yang Sufi dalam kesedihan namun sedihnya kerana apa itu yang ingin dicungkil Zara.
“Sufi… kalau awak rasa benda tu tidak tertanggung bebannya, ceritakan pada saya agar nanti awak akan rasa lebih ringan.”
“Saya sedih…” ayat itu lagi yang Sufi ulang berkali-kali.
“Sedih kenapa?” Zara bertanya lembut. Tidak betah rasanya melihat sahabat baiknya menangis tanpa tahu apa penyebabnya.
“Saya sedih sebab… saya tak mampu jadi baik untuk layak memilikinya…” Sufi tenggelam dalam pelukan Zara. Dia teresak-esak seperti anak kecil yang mengadu pada ibunya.
“Sufi… dengar sini.” Zara memegang bahu Sufi dan merenung jauh ke dalam anak mata hitam pekat itu. “Manusia bukan untuk dimiliki. Manusia hanyalah pinjaman untuk menemani dan bukan juga peneman hakiki. Kita usaha jadi baik bukan sebab nak rasa layak untuk sesiapa. Kita nak jadi baik sebab Dia!” tegas bicara Zara menyentap tangkai hati.


“SUFI!”
Sufi yang terkejut dengan panggilan nyaring itu lipat maut ke arah gerangan empunya suara. Dia merenung gadis berbaju kuning di hadapannya dengan pandangan pelik. Sudahlah datang lambat hampir satu jam dari masa yang dijanjikan untuk berbincang mengenai assignment Health Information System. 
“Kenapa Lin?” Sufi bertanya apabila melihat Linda masih tercungap-cungap menarik nafas. 
Pelajar lain yang turut berada di dalam bilik perbincangan itu sekadar memerhati mungkin juga musykil melihat seorang gadis yang muncul dengan tiba-tiba dengan gaya yang… pelik.
Tanpa sepatah kata tangan Sufi ditarik oleh Linda untuk mengikut langkahnya. Sufi sekadar mengikut dengan kepala yang masih berserat dengan pelbagai soalan. Dia dibawa masuk ke dalam sebuah kereta Produa Viva dan kereta kecil itu meluncur laju menuju ke destinasi yang tidak dia ketahui. 


TANGAN Sufi terketar-ketar menyambut bungkusan hadiah yang diberikan oleh kakak Zara. Sebungkus hadiah yang ditemui berada bersama Zara pada waktu kejadian. 
“Zara accident. Meninggal di tempat kejadian.” Kata-kata itu ibarat belati tajam yang menghunus dalam sekeping hatinya. Sufi jatuh terjelopok di atas lantai hospital sambil kepalanya menggeleng-geleng menafikan berita yang baru diterimanya. 
“Manusia bukan untuk dimiliki. Manusia hanyalah pinjaman untuk menemani dan bukan juga peneman hakiki…” suara halus Zara seakan-akan masih berbisik di telinganya.
Air mata yang mengalir laju dia seka. Ya Allah… aku tak kuat. Tak sekuat mana untuk menempuh hidup tanpa kehadiran dia.
“Sufi… sabar ek… Allah sayang dia…” Linda mengusap-usap bahu Sufi lembut. Cuba memberi semangat kepada seorang sahabat yang kehilangan sahabat yang begitu disayangi.
Zara kemalangan semasa keluar membeli hadiah dan kek sempena hari lahir Sufi. Kenyataan yang tidak mungkin dapat diterima. Mampukah dia hidup dengan membawa rasa bersalah ini untuk selamanya.
Air mata menitis lagi.


MALAM ini sepi tanpa kehadiran dia. Mata Sufi bengkak akibat terlalu banyak menangis. Dia memandang ke sisinya. Seorang gadis tersenyum manis ke arahnya. Dia membalas senyuman itu hambar. Matanya kembali pedih. Allah… kuatkan… 
“Pada malam ni kita akan buat majlis tahlih untuk sahabat kita yang baru saja kembali ke rahmatullah pada petang tadi iaitu Nur Zara Nasuha Binti Zainal…” suara itu bergema di corong pembesar suara. 
Air mata Sufi menitis lagi untuk kesekian kalinya. Zara… saya dah mula rindukan awak…
Jemaah di sebelah menghulurkan senaskhah Surah Yasin kepada Sufi. Sufi menyambutnya tenang sambil menyeka sisa air mata. Naskhah Surah Yasin dibuka dan ditatap lama. Lelaki yang mengimami bacaan Yasin berdehem beberapa kali sebelum memulakan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W sebelum memulai bacaan Yasin.
“Yasin…” Sufi tersekat pada kalimah itu. Air matanya menitis lagi. Semakin laju. Dia hanyut dalam esakan kecil yang semakin mendayu. Beberapa kali dia mencuba namun ternyata dia tidak mampu. Begitu besar ertimu dalam hidupku sahabat…
Insan pertama yang membawanya mengenal Allah di saat dia terlalu leka dengan dunia. Hanyut di bawa arus keindahan palsu. Insan yang tidak jemu mengajaknya berbakti kepada Pencipta melunaskan tanggungjawab sebagai hamba. Insan yang sentiasa ada di saat suka dan duka. 
"Kami (Allah) pasti akan menguji kamu dengan ketakutan, kelaparan, kekurangan hasil kekayaan, kehilangan jiwa (kematian) dan kekurangan makanan. Dan sampaikanlah khabar gembira pada orang-orang yang sabar. Surah Al-Baqarah ayat 155.” Suara itu bergema di pendengaran. 
Sufi mendongakkan kepala. Matanya menikam pandangan insan yang membaca tafsir Al-Quran itu usai majlis tahlil. Tidak lama, dia menekur lantai kembali. 
“Kadang-kadang, Allah hantar orang baik dekat kita, sebab kita tak cukup baik dan kadang-kadang Allah tarik balik mereka semua, sebab Allah nak tengok, kita jadi baik sebab Allah atau sebab manusia.” kata itu cukup terkesan di hati Sufi. 
“Kita usaha jadi baik bukan sebab nak rasa layak untuk sesiapa. Kita nak jadi baik sebab Dia!” Kata-kata tegas Zara kembali bermain di minda. Sungguh, kita jadi baik sebab siapa? Kalau jadi baik sebab manusia, baik itu tidak akan kekal kerana manusia juga tidak kekal tapi andai kita berusaha jadi baik sebab Dia, kita akan sentiasa rindu akan kebaikan sebab kita juga rindu akan Dia.

DAUN yang kemerah-merahan gugur mengenai kepala Sufi. Kak Wajiha, pelajar master juga sama seperti Sufi mengambil daun itu lalu dibuang ke tanah. 
“Sufi… akak nak tanya sikit boleh?” Kak Wajiha yang dikenali di bumi Dublin ini bertanya lembut. 
“Tanya banyak pun boleh kak.” Sufi sekadar berseloroh. Sudah hampir dua tahun dia mengenali Kak Wajiha dan selama itu juga tiada sebarang permohonan izin untuk bertanya. Main serbu saja dengan apa-apa soalan.
“Sufi… dah ada tunang ke? Kekasih? Suami? Atau sesiapa lah yang seumpamanya?”
Sufi melopong mendengar pertanyaan Kak Wajiha. Seketika kemudian dia ketawa geli hati.
Kak Wajiha buat muka tidak puas hati. “La orang tanya dia gelak pulak.” Kak Wajiha menampar lembut lengan Sufi.
Sufi masih dengan sisa tawanya. “Tak ada lah akak ni tetiba pulak tanya soalan sensitif tu.” dia memuncungkan mulut. 
“Apa pulak sensitif nya?” Kak Wajiha bernada geram. Penat melayan anak dara seorang ni.
“Sensitif la umur-umur macam Sufi ni tak ada orang nak!”
“Ke situ pulak dia. Baru dua puluh lima kan.”
Sufi masih dengan senyumannya. Itulah Sufi… dulu elok orang nak kau yang jual mahal. Kan dah melopong. Sufi berbicara bisu. “Ok akak nak jawapan jujur ke tak?” Sufi menaik-naikkan kening  beberapa kali.
Kak Wajiha menampar lengan Sufi agak kuat. Orang betul-betul dia main-main. Kan dah kena. Sufi mengaduh kesakitan.
“Akak ni ganas la. Anak-anak akak mesti lebam-lebam kena hempuk dengan akak ni kan?” Sufi masih tidak puas mengusik.
“Sufi…!”
“Ok… ok… Tunang tak ada, boyfriend tak ada… suami jauh sekali, yang ada hanyalah Kekasih…” Sufi menjawab yakin. Dan… pernah ada seorang sahabat baik. Dia menyambung di dalam hati. Allah… aku rindu dia… suara hati berbisik perlahan. 
Kak Wajiha mengerutkan kening. “Boyfriend dengan kekasih tak sama ke?”
“Mestilah tak!” Sufi membentak laju. “Ha lagi satu, jawapan jujur ni. Pernah admire seseorang. Masih lagi.” 
Kening Kak Wajiha terjongket tinggi. “Ada kekasih tapi masih admire orang yang pernah di admire? Sufi tak setia.” 
“Indeed. Payah kan nak setia pada Dia.” Sufi merenung jauh ke hadapan. Payah benar menyulam cinta pada Dia bila cinta manusia mula menggugat jiwa.
“Sufi… tak baiklah macam tu.” Kak Wajiha seperti tidak puas hati.
“Tahu… tapi… perasaan ni sesuatu yang sukar diramal la kak.”
“So… how about your kekasih?”
“He’s there. Dia yang terus tetap setia menemani mesti kekadang Sufi jauh tersasar dari jalan diredhai. Dia yang tak pernah meninggalkan Sufi mesti pelbagai ujian yang buatkan Sufi kalah dengan bicara takdir yang berbisik. Dia je yang boleh terima Sufi seadanya.”
Kak Wajiha terpaku memandang Sufi.
“Setiap muslim berkongsi Kekasih yang sama kak.”
Kak Wajiha masih membisu. “Dulu Sufi pernah admire seseorang tau. Budak satu universiti. Akhlak dia yang buat Sufi jatuh hati. Dia baik, suara dia syahdu sampai boleh buat Sufi menitiskan air mata masa dia imamkan Solat Tarawih. Tapi… by time… Sufi lebih kagum dengan orang lain. Selepas baca kisah tentang perjuagannya, keperibadian, akhlaknya dan cintanya buatkan Sufi bukan saja kagum malah jatuh cinta dengannya.” Seorang kekasih kepada Kekasih.
“Seseorang tu… masih di hati?”
Sufi sekadar merenung jauh ke arah sepasang kanak-kanak yang sedang berkejaran di padang yang kehijauan tanpa mengiakan tidak juga menafikan. Rasa di hati biarlah Dia saja yang mengetahui. 


“SUFI terima ke tak?”
Sufi masih membisu. 
“Akak tak memaksa. Akak cuma menyampaikan hajat si empunya saja. Dia yang bertanya samada Sufi dah ada yang punya ke belum. Sebab tu lah hari tu akak tanya seseorang tu… masih di hati ke?”
Macam mana kalau Sufi kata masih kak? Sufi berbisik di dasar hati. “Akak bagi Sufi masa…”
“Sufi ambillah sebanyak mana masa sekalipun. Tanya pada Kekasih Sufi. Kekasih kita…” Kak Wajiha cuba berdiplomasi. Bukan niatnya untuk mendesak. Dia faham akan situasi Sufi.
Sufi sekadar tersenyum hambar. “Kak… siapa dia?”
“Adik lelaki akak…”
Sufi tersenyum kecil.
“Kenapa?”  Kak Wajiha bertanya kehairanan.  
“Mestilah adik lelaki, takkan adik perempuan nak merisik Sufi pulak kan” Sufi tergelak lagi.
Kak Wajiha turut sama tersenyum. “Tak nak tengok gambar dia?” Kak Wajiha cuba memancing minat.
“Sufi nak tengok tuan punya gambar.”
Kak Wajiha sekadar tersenyum. “Ok… minggu depan akak bawa Sufi jumpa dia. Kalau boleh Sufi bawa bersama jawapannya. Sebelum tu, dia ada bagi ni untuk Sufi.” Sekeping kertas kecil berwarna ungu diletakkan di atas tapak tangan Sufi. 
“Terima kasih.”
Sufi membuka kertas kecil itu.
"Ya Allah, aku memohon petunjuk daripadaMu dengan ilmu-Mu dan aku memohon ketentuan daripada-Mu dengan kekuasaanMu dan aku memohon daripadaMu akan limpah kurniaan-Mu yang besar. Sesungguhnya Engkau Maha Berkuasa sedangkan aku tidak berkuasa dan Engkau Maha Mengetahui sedangkan aku tidak mengetahui dan Engkaulah Yang Maha Mengetahui segala perkara yang ghaib. Ya Allah, seandainya Engkau mengetahui bahawasanya urusan ini adalah baik bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, takdirkanlah ia bagiku dan permudahkanlah serta berkatlah bagiku padanya dan seandainya Engkau mengetahui bahawa urusan ini mendatangkan keburukan bagiku pada agamaku, kehidupanku dan kesudahan urusanku sama ada cepat atau lambat, maka jauhkanlah aku daripadanya dan takdirkanlah kebaikan untukku dalam sebarang keadaan sekalipun kemudian redhailah aku dengannya".
Tulisan ni… Sufi menutup kembali kertas itu. “Kak… siapa nama dia?” semasa Sufi mendongak, Kak Wajiha sudah tidak ada di situ. 


SUFI merenung potretnya bersama Zara lima tahun lalu. Potret yang sentiasa ada bersamanya. Zara begitu ayu dengan baju kurung biru dengan Sufi berada di sebelahnya tersenyum manis. 
Zara… terima kasih. Saya rasa bertuah sebab Dia bagi peluang kenal awak. Saya rindu sangat dengan awak Zara. Saya harap, saya layak jumpa awak di Syurga… air mata yang sudah lama kering kembali menitis.
“Kenapa ni?” Sufi menggeleng kepala berkali kali lantas menghadiahkan sebuah senyuman kepada insan yang baru saja melabuhkan punggung di sisinya di atas bangku kayu itu. 
“Dulu… kenapa awak tolak?” Luqman bertanya.
“Tak ada siapa boleh ganti tempat Zara…”
“Mana ada saya nak ganti tempat Zara… saya cuma nak awak rasa masih ada orang yang sayang awak selain dia.”
“Lepas Zara pergi… saya rasa kosong. Baru saya sedar yang saya lebih perlukan sahabat dari teman rapat. Saya lebih perlukan sahabat sejati. Zara… terlalu bermakna dalam hidup saya… dia yang kutip saya dari lorong jijik penuh maksiat bawa saya ke rumah Allah yang penuh berkat.”
“Tolak saya sebab dia?”
Sufi tersenyum kecil. “Awak hanya akan faham apabila awak rasa apa yang saya rasa.” Gambar kenangan itu ditatap lagi. “Kita usaha jadi baik bukan sebab nak rasa layak untuk sesiapa. Kita nak jadi baik sebab Dia!” dan kata itu masih segar di ingatan bersama tekad. Sufi nak jadi baik sebab Dia bukan sebab dia. 
“Istimewa betul dia pada awak.” Luqman membuang pandang ke arah tasik yang terbentang indah. 
Sufi berpaling ke sisi. “Sebagaimana awak istimewa dalam hati saya.” Senyuman terukir nipis. 
“Saya cukup terseksa tengok awak menangis tak berhenti pada malam tu. Awak hanya pandang Surah Yasin tu macam nak tembus sedangkan air mata awak menitis sampai lencun Surah Yasin tu. Saya cukup terdera tengok awak pergi kelas dengan jiwa yang kosong tanpa semangat. Awak ingat saya tak rasa apa yang awak rasa? Saya cuba tolong awak. Saya nak tengok awak kembali tersenyum tapi…”
“Saya rindu dia… Terlalu rindu…” Sufi memejamkan mata rapat. Ada air hangat yang mula bermukim di peluput mata.
“Allah penghubung rindu kita dengan hamba-Nya. Tahu tak, hadiah yang paling sweet adalah doa…” Luqman menggenggam jari jemari Sufi memberi semangat dalam erti kata lain, mungkin bukan sebagai pengganti Zara tapi seorang sahabat baru yang akan menjadi seseorang yang bermakna dalam hidup Sufi sebagaimana Zara. 
Hujan gerimis mula menyentuh bumi. “Sufi… dah hujan. Jom balik…” Luqman menarik tangan Sufi untuk berdiri namun Sufi masih kaku di tempatnya.
“Saya nak nikmati hujan rahmat ni…” Sufi mendongak memandang langit yang mendung dilitupi awan.
“Sufi… nanti deman…” Luqman memujuk lembut.
“Zara suka gerimis…” Sufi menengadah langit sambil telapak tangannya dibuka seolah-olah menyambut titisan air jernih itu.
Luqman terdiam seketika mendengar bicara Sufi. Lima tahun masih belum cukup untuk memulihkan semangatmu Sufi. “Tapi Zara mesti tak suka tengok awak sakit sebab gerimis…” Luqman masih tidak berputus asa memujuk. Semoga kehadiranku mampu mengukir tawa di bibir itu seperti suatu ketika dahulu. Hati kecil Luqman berbisik.
Sufi bangkit berdiri. Bibir melorek senyum nipis pada alam. “ Jom balik.” 


..................................................................................
rindu dengan bahasa.

"macam mana dr boleh minat research? kena cari, baca journal semua..."
seorang sahabat bertanya.

"entah. sebab ni je yang saya pandai buat..." pensyarah yang juga researcher itu menjawab ringkas.

mungkin benar. dia memang dilahirkan sebagai researcher.
yang tugasnya siapa tahu dapat menyumbang kepada Islam.
dan saya belajar sesuatu dari itu.
jangan sempitkan skop menyumbang kepada Islam.


dan mungkin benar juga manusia tidak boleh master dalam semua perkara kerana yang nyata kemampuan manusia itu terbatas.
hebat kita bukan terhebat.


satu benda yang saya perasaan.
dia tak suka kesilapan.
i mean a small mistake that should not be.
do our best. the best. 
minimize mistakes.
dan kalau boleh... avoid.