Aku
telah pun tiba di sebuah kediaman yang sederhana besar namun tersergam indah di
tengah kota metropolitan ini. Aku melangkah perlahan memasuki perkarangan rumah
yang kelihatannya sedang menyambut tetamu yang ramai bilangannya. Aku cuba
mengawal kegusaran dan hiba yang bersarang.
Selepas menerima panggilan dari Adi
Mahfuz yang membawa perkhabaran yang menyentap kalbu tadi aku terus memandu
menuju ke sini dan terpaksa meninggalkan kelas dalam keadaan yang tergesa-gesa.
“Assalamu’alaikum...”
salam ku hulur kepada gerangan yang berdiri di muka pintu dengan wajah yang
jelas tergambar kesedihan yang tak tersingkapkan.
“Wa’alaikumussalam... jemput masuk...”
dia menjawab tenang dengan wajah yang sengaja dimaniskan dalam penuh kepayahan.
Aku melangkah masuk perlahan sambil
menghadiahkan satu senyuman yang aku sendiri dapat rasakan yang ianya tawar.
Sekadar pengganti bicara yang tak mampu aku ungkapkan. Tak terluah kata-kata
azimat pencetus semangat di bibirku. Aku sendiri terkejut dan cuba sedaya upaya
menyedarkan diri akan kenyataan yang tak mungkin bisa disangkal.
Sebaik menjejak ruang tamu aku
terpandangkan seorang insan yang baru semalam petah berbicara soal impian dan
harapan namun kini sedang tenggelam dalam bayangan kisah yang teramat memilukan.
Aku menapak menghampirinya yang kelihatan seakan menggamitku melalui tatapan
matanya yang berkaca-kaca.
Aku duduk menghadapnya yang agak
jauh dari kelompok saudara mara dan tetangga yang kian memenuhi ruang tamu.
Lama aku memerhatikannya. Aku sedang berkira-kira mencipta ayat yang paling
sesuai kala ini namun lidahku seakan tak mampu menterjemah apa yang
diisyaratkan oleh akal.
“Adi...” akhirnya terluah jua
sepatah kata itu. Hanya itu yang mampu aku suarakan tika ini.
Tak semena-mena dia memelukku erat.
Aku tergamam. Terkejut sehingga aku sendiri tak pasti apa yang sepatutnya aku
lakukan sekarang. Untukku menolaknya tak mungkin namun untuk membalas
pelukannya juga agak mustahil lantas aku membiarkan saja. Apa pilihan yang aku
ada? Dia dalam kesedihan yang teramat dan wajarlah andai dia sangat memerlukan
seseorang untuk berkongsi perasaan.
Dari kejauhan aku terpandangkan renungan seseorang,
lelaki yang menyambut kedatangan aku tadi. Aku sendiri terkeliru dalam
mentafsir apakah yang sedang bermain di mindanya sekarang. Adakah dia marah?
Itu aku tak pasti namun seandainya dia bisa mengerti yang aku kini dalam
keadaan yang serba salah.
Seketika kemudian, aku meleraikan pelukan perlahan
untuk tidak menyinggung perasaan anak muda berusia 15 tahun ini.
“Maafkan saya cikgu... saya tak sengaja...” Adi
Mahfuz bersura perlahan.
Aku sekadar tersenyum hambar. “Kalau tangisan boleh
kurangkan beban yang Adi tanggung sekarang, tak salah kalau Adi menangis...”
aku bersuara lembut sekadar memujuk kerana aku lihat dia tidak menitiskan walau
setitis air mata sedangkan dari seraut wajah anak muda ini aku dapat melihat
betapa dalamnya dia menaggung luka.
Dia merenungku sejenak. “Saya dah menangis sebelum
waktunya cikgu...” dia bersuara masih dalam nada yang perlahan.
Benar, dua minggu lalu, sehari selepas keberangkatan
umi dan abahnya ke tanah suci untuk mengerjakan umrah aku terlihat dia yang
baru keluar dari tandas sekolah seperti baru lepas menangis. Dia seakan berat
untuk berpisah dengan umi dan abinya. Adi Mahfuz memang sangat rapat dengan umi
dan abinya berbanding dengan adik-beradiknya yang lain. Mungkin dia dapat
merasakannya... satu perasaan halus yang sukar untuk diterangkan.
“Adi kena banyakkan bersabar ya. Cikgu tahu Adi
seorang yang kuat. Adi, sebagai abang kepada Aisyah dan Amir kena kuat sebab
Adi kena jaga adik-adik. Adi tak boleh macam ni...” aku mencuba menyusun kata walau
aku tahu yang menanggungnya bukan semudah mengungkapkannya...
“Abang Adi... umi dengan abi mana? Hari tu abang
cakap umi abi balik hari ni kan... Erm... ni mesti umi singgah kedai beli teddy bear untuk adik sebab hari tu kan umi janji nak belikan adik teddy bear besar...” seorang budak lelaki tiba-tiba hadir di sisi Adi
Mahfuz. Dia mendepangkan tangannya sebagai tanda betapa besarnya teddy bear yang akan dia terima.
Aku terkaku memerhatikan tingkah lakunya. Mungkin inilah
adik bongsu Adi Mahfuz yang umi dia sering ceritakan. Aku bersahabat baik
dengan umi Adi, Cikgu Sumayyah yang juga guru di sekolah tempat aku mengajar.
Walau perkenalan kami sangat singkat tak sampai dua bulan namun aku senang
bersahabat dengannya yang sangat peramah dan baik hati.
Amir, baru berusia tujuh tahun masih terlalu naif.
Hatiku cukup tersentuh mendengar bicara jujur dari anak ini. Dia belum mampu
mengerti hakikat hidup dan kehidupan...
“Eh, kakak ni siapa? Kawan abang ek?” dia bersuara
sambil mengerdipkan matanya dan menjenguk wajahku yang ketika itu sedang tunduk
menahan sebak. Dia tersenyum bila aku mengangkat wajah. Aku sekadar mengangguk
perlahan sambil tersenyum dalam hiba yang kian menggila.
Belum sempat aku menyentuh bahu anak kecil itu
seorang budak perempuan datang dan mematikan niatku. Dia memegang bahu Amir
lalu merenung tepat ke mata Amir. Ini mungkin Aisyah, fikirku. Aku sekadar
memerhati apa yang ingin dia lakukan.
“Adik, umi dengan abi dah mati. Umi takkan beli teddy bear, dia takkan balik lagi... dia...”
“Asya...” lelaki yang menyambut aku tadi yang entah
bila menyertai kami tiba-tiba bersuara keras dan nyaring. Aku sendiri tersentak
apatah lagi Aisyah dan Amir. Terhenjut sedikit bahu Aisyah dan mati terus
kata-katanya yang kedengaran keras dan tegas. Amir sudah pun menangis
teresak-esak dan pada masa yang sama aku melihat mata Aisyah sudah berair.
Terkejut dijerkah begitu dan mungkin bercampur dengan sedih hiba yang tak
tertanggung.
Memang benar kadangkala kejujuran akan menampakkan
kita terlalu kejam dalam meluahkan kebenaran namun tak akan ada kenyataan yang
mampu menyangkal sebuah hakikat yang sudah terungkap dengan jelas. Namun,
seharusnya kita yang mengaku sudah dewasa mampu dengan bijak mengawal emosi
yang dijentik kenyataan yang terlalu perit.
Lelaki itu yang aku agak adalah anak sulung Cikgu
Sumayyah, Adwan Muqri sudah menunduk sambil meraih Amir ke dalam pelukannya. Aku
sekadar menjadi pemerhati dan hatiku tersentuh melihat dan memikirkan bagaimana
harus dia memikul tanggungjawab sebagai ibu dan ayah kepada adik-adiknya nanti.
Pemergian umi dan abinya pasti akan meninggalkan kesan yang mendalam terhadap
emosi anak-anak ini.
Aisyah berbalas pandang dengan Adwan Muqri. “Memang
betul kan umi abah...” perlahan dia menuturkan.
“Cukup Asya...” sekali lagi kata-kata jujur Asya
dipotong dengan keras.
Aisyah berlari masuk ke biliknya bersama tangisan
mungkin berkecil hati kerana dimarahi. Baru berusia sepuluh tahun namun
kelihatannya dia jauh lebih tabah dari abang-abangnya dalam mendepani ujian.
Dia jauh lebih terbuka dalam menghadapi kenyataan. Dia jauh lebih tegar dalam menempuh
dugaan.
Semasa dia memegang bahu Amir dan memandang jauh ke
dalam mata adiknya itu tadi aku lihat ketenangan dalam sinaran matanya yang
terpancar suram.
“Saya pergi jenguk Asya...” aku meminta izin Adwan
Muqri dan dia mengangguk perlahan sebagai isyarat. Dia masih cuba meredakan
tangisan Amir yang berlagu syahdu.
Bertuah Cikgu Sumayyah dan suaminya kerana menjadi
antara insan pilihan Allah untuk bertemu-Nya di tanah suci dan kembali
kepada-Nya juga di sana. Bersemadi di sana. Selepas majlis tahlil berakhir aku
meminta izin untuk pulang selepas membantu serba sedikit.
“Adwan Muqri, saya minta maaf kalau awak rasa saya
terlalu lancang berkata-kata tapi saya nampak kekalahan seorang lelaki berusia
26 tahun kepada seorang budak perempuan
berumur sepuluh tahun dalam mengawal emosi. Mungkin Asya kelihatan kejam kerana
menuturkan kebenaran yang tersangat pahit tapi kita sebagai orang dewasa patut
memberikan dia peluang untuk mengajar hakikat kebenaran melalui bahasa
kanak-kanak yang mungkin lebih mudah untuk difahami oleh kanak-kanak juga
seperi Amir. Kalau salah kita boleh betulkan tapi bukan dengan cara keras yang
hanya akan menjadikan dia takut untuk menghadapi kenyataan... Jujur saya nampak
Asya jauh lebih tabah...” aku meninggalkan kediaman itu dengan kata-kata terakhir
untuk dia fikirkan.
........................................................
Aku masih memikirkan tentang perbualan antara
Mak Long dengan Adwan Muqri petang semalam semasa aku singgah selepas
menghantar Adi Mahfuz pulang. Waktu itu mereka sedang berbual di dapur dan
secara tak sengaja aku terdengar perbualan mereka ketika ingin meminta diri
untuk pulang.
Sebenarnya aku agak keberatan untuk singgah namun
selepas dipujuk oleh Mak Long tak sampai hati pulak ingin menolak sampaikan aku
tidak sedar yang betapa lamanya aku di rumah mereka sehinggalah kemunculan
Adwan Muqri yang baru pulang dari kerja. Lama sungguh aku berborak dengan Mak
Long sambil melayan kerenah Amir dan menemani Aisyah menyiapkan kerja sekolah.
Memandangkan aku melalui rumah
mereka untuk berulang alik ke sekolah jadi atas dasar simpati dan tanggungjawab
sesama manusia aku dengan senang hati menawarkan diri untuk menjemput dan
menghantar Adi, Aisyah dan Amir ke sekolah pada setiap hari. Ini hanyalah
sekelumit bantuan yang mampu aku hulurkan buat anak-anak yatim ini.
“Wan... Mak Long bukannya tak nak
tengok-tengokkan adik-adik kamu tapi kamu pun tahu kan Kak Mun kamu tu tengah
sarat lagi pun si Maya dengan Mimi tu tak ada orang nak jaga. Kesian kalau Kak
Mun kamu yang tengah sarat tu nak uruskan sorang-sorang. Ini pun Abang Man kamu
ambik cuti seminggu jadi habis cuti ni Mak Long kenalah pergi sana. Mak Long
harap kamu dapatlah cari seseorang untuk jaga adik-adik kamu tu ya...”
“Saya faham Mak Long. Tak apalah, nanti
saya carikan orang gaji untuk jaga diorang...”
“Mak Long bukan apa, Aisyah tu
satu-satunya adik perempuan kamu dan dia semakin meningkat remaja jadi Mak Long
rasa dia memerlukan seorang perempuan juga untuk berkongsi masalah, bercerita.
Ada benda yang orang lelaki tak tahu dan tak faham mengenai orang perempuan ni.
Mungkin kamu boleh jaga keselamatan dia tapi kamu tak mampu nak didik dia
sebagai perempuan. Entahlah, susah Mak Long nak terangkan tapi Mak Long rasa
kamu faham kan apa yang Mak Long katakan...”
Aku tersentak apabila telefon
bimbitku tiba-tiba berdering. Habis melayang segala khayalanku sebentar tadi.
“Assalamu’alaikum...” suara di
hujung sana kedengaran.
“Wa’alaikumussalam...” aku menjawab
tenang walaupun hakikatnya aku kaget dengan panggilan yang tiba-tiba darinya
pada hujung minggu macam ni.
“Cikgu Ilya, boleh tak kita jumpa
tengah hari nanti?”
“Nak saya ke rumah awak ke?” aku
bertanya walaupun sedikit keliru. Kenapa tiba-tiba nak jumpa ni. Ada masalah
ke?
“Tak, kita jumpa dekat luar...”
“Ok...” aku memberi persetujuan dan
mematikan talian setelah dia memberitahu lokasinya.
Setelah hampir setengah jam baru aku
sampai ke restoran yang dijanjikan. Aku pergi ditemani abangku, Ilyas Imani.
Sememangnya aku tak akan keluar atau berjumpa dengan mana-mana lelaki
berdua-duaan tanpa ditemani sesiapa kerana ayah aku tak izinkan. Walaupun
berjauhan dengan keluarga namun setakat ini aku tak pernah mengingkari setiap
pantang larangnya. Sejujurnya, aku memang rasa terkongkong kerana setiap
tindakanku akan diawasi dan di sini, abang sebagai ‘pengawal peribadi’ dan
penyampai berita.
Namun secara rasionalnya, aku faham
ini semua untuk kebaikanku jua. Apa pun setegas-tegas ayah dalam mendidik dan
secerewet ibu dalam membimbing mereka tak selantang abang dalam menyuarakan
teguran dan nasihat. Mereka lebih suka berkias tetapi abang seorang yang suka
berterus terang dalam apa jua keadaaan.
Aku masih ingat dulu semasa aku di
tingkatan tiga dan abang tingkatan lima, aku ni seorang yang sangat terbuka
dalam berkawan. Aku tak pernah memilih kawan. Sesiapa saja yang sudi akan
menjadi kawan aku tak kira lelaki atau perempuan dan waktu itu aku ni masih
terlalu mentah untuk memahami batas-batas pergaulan. Pada suatu hari abang
ternampak akan kelakuanku yang kurang disenangi lantas dia terus memberi
teguran terus, telus dan tulus.
“Ilya Iftitah, adik abang, seorang
gadis yang baik akan sentiasa menjaga maruah diri kerana itulah harta yang
paling berharga buatnya. Maruah diri adalah maruah keluarga dan agamanya.
Selagi Lily belum berkahwin, segala dosa atas perbuatan Lily yang bercanggah
dengan syariat akan ditanggung oleh abah dan juga abang sebagai lelaki yang
bertanggungjawab ke atas Lily dan yang berhak menjadi wali Lily suatu hari
nanti. Lily tak kesian ke dengan kami? Sebelum Lily melakukan sesuatu, Lily
ingatlah pada kami yang akan menanggung akibat dari perbutan Lily tu...”
Panjang lebar nasihatnnya yang
sehingga kini melekat di kepalaku. Aku sendiri tak pasti kenapa abang
memanggilku dengan gelaran Lily sedangkan ibu dengan abah memanggilku Liya.
Kawan-kawan pulak panggil aku macam-macam, ada yang panggil Liya, Illi, Ilya,
Ifti dan tak ketinggalan gelaran Fifi yang entah dari mana munculnya.
Sepuluh minit kemudian barulah Adwan
Muqri muncul sendirian. Dari jauh dia tersenyum. Aku memperkenalkan abang
kepadanya. Dia menolak untuk makan tengah hari bersama walaupun jam sudah
menunjukkan pukul 2.30 petang sebaliknya dia hanya memesan segelas jus oren.
Katanya dia tidak boleh lama kerana adik-adiknya tinggal di rumah.
Dia mengetap bibir. Terpancar
kegusaran di wajahnya. “Ilya Iftitah...” dia berhenti seketika dan kembali
menggigit bibir bawahnya. Haish ni apasal semacam ni. Susah benar ke nak
bercakap? Aku pun rasa macam cacing kepanasan ni.
“Erm... abang pergi toilet kejap...”
abang bersuara tiba-tiba seperti memberi peluang kepada Adwan Muqri untuk lebih
tenang dalam mengungkap kata setelah melihat lelaki yang duduk di hadapannya
ini kelihatan begitu payah untuk meluahkan.
Pandangan mataku menyorot melihat
langkah tenang abang ke tandas sebelum kembali menumpukan perhatian kepada
perkara penting yang ingin dibincangkan oleh Adwan Muqri. Kami saling
bertatatapan untuk seketika.
“Kita nikah nak?” satu ayat spontan
laju yang bagai halilintar merentas pendengaranku. Aku terpana seketika.
Aku tengah mamai ke atau masih sempat berangan
teringatkan kisah Along dengan Ana yang aku baru habis khatam pagi tadi? Err...
ini dikira lamaran ke? Huh... semudah tu? Tak ada ayat yang lagi best ke power ke yang macam dalam filem dan drama atau... novel? Tapi
kenapa tiba-tiba? Kami baru sangat kenal dalam dua minggu lebih. Aku salah
dengar tak...
Dia memandang aku yang masih menggelabah. Aku patut
jawab apa-apa ke? Tadi tu dikira soalan ke atau ayat penyata? Alamak apasal la
soalan mencurah-curah ke ladang gandum ni...
“Hai... korang ni tunggu abang ke. Punyalah lama
masa abang bagi chance untuk
berbicara seribu bahasa yang masih membisu dan terkaku ni kenapa?” Ha tengok
abang aku lagi power ayat dia
walaupun perumpamaan tak berapa nak betul. Orang diam seribu bahasa la bang...
“Tak nak ice
breaking dulu ke?”
................................................................
Aku
berbaring di atas tilam empuk lagi lembut. Sabar menanti panggilan dari ibu
yang membawa perkhabaran dari kampung. Entah apalah keputusannya. Lepas ke
tidak? Erm... aku ? Adakah aku berharap yang keputusannya memihak kepadaku
sedangkan aku sendiri tak pasti keputusan yang macam mana yang aku harapkan.
Entahlah... aku tak retilah kalau main dengan benda alah ni...
Selama seminggu Adwan Muqri membawa adik-adiknya
mengunjungi ibu dengan abah di kampung. Hari ini dia kembali ke Kuala Lumpur
dan sudah pun sampai petang tadi. Aku yang meminta dia pergi berjumpa mereka
memohon restu. Kalau ibu dan abah setuju dan berkenan lampu hijau dari aku. Itu
yang aku katakan kepadanya.
Namun, aku sendiri tak yakin yang dia akan melepasi
sesi ‘uji bakat’ sebab yang menjadi jurinya Pak Imran dengan Mak Imah apatah
lagi dia orang bandar. Dilahirkan dan dibesarkan di tengah-tengah kesibukan
bandar jadi agak mustahil untuk dia memenuhi ciri-ciri menantu pilihan ibu
dengan abah.
Ibu sendiri yang cakap bahawa dia akan menguji
setiap yang berniat untuk menjadi menantunya tak kira lelaki atau perempuan.
Tak sabar rasanya ingin mendengar keputusan temuduga ibu dengan abah. Mesti
teruk budak Adwan Muqri tu kena.
Ibu cakap walaupun lelaki dia akan pastikan budak tu
pandai memasak jadi tak adalah susah kalau aku sakit ke tengah sarat ke. Erm...
jauh betul ibu aku fikir. Dengar cerita dari abang ternganga jugak la ibu bila
tengok macam mana Adwan Muqri tu masak ala-ala chef siap dengan pencuci mulut
lagi. Hish kalau macam ni aku yang tak lepas...
Itu tak lagi masuk bab abah aku. Aku ada jugak usha
dari abang yang malam pertama diorang sampai dekat kampung pun abah dah uji
Adwan Muqri, minta jadi imam solat Maghrib dan Isya’. Nasib baik lepas. Haish
apasal la pulak aku ni yang terlebih excited?
Ok itu satu hal.
Lagi, abah ajak budak bandar tu ikut dia pergi masuk
ladang getah tolong dia kutip getah, ajar budak Adwan Muqri tu cara-cara nak
menoreh. Haish abah ni, apa kes ni bah? Dia tu pensyarah fakulti sains
kesihatan dan rasanya tak melibatkan procedure
menoreh kot dan... memang tak ada kaitan dengan pokok getah langsung. Haish
abah... abah... ada saja nak kenakan anak orang.
Satu yang paling aku tak tahan ada ke patut abah
buli si Adwan Muqri suruh kasi berbintat kena gigit dengan nyamuk. Abah pasang
ubat nyamuk dekat semua bilik adik-adik dia kecuali bilik Adwan Muqri tapi yang
peliknya adik dia si Adi tu yang banyak berbintat sedangkan dia tak ada apa-apa
pun. Hish nakal betul la ibu abah aku ni.
Tapi abah cakap dia buat semua tu bukannya nak
tengok kemahiran atau bakat tersimpan Adwan Muqri semata-mata atau mendera,
abah cuma ingin melihat reaksi dan bahasa badan anak bandar bila diajak
melakukan benda-benda macam tu dan cara mereka membawa diri untuk melayan
kerenahnya dan membiasakan diri dengan suasana kampung.
“Kalau lelaki pun takut pacat tak ada maknanya abah
nak bagi kepercayaan dekat dia untuk jaga tuan puteri abah ni...” terngiang-ngiang
suara abah yang berseloroh semasa aku memaklumkan akan hasrat kehadiran Adwan
Muqri sekeluarga.
Tanpa sedar aku tertawa sendirian. Aku tersentak
bila telefon bimbitku tiba-tiba berdering. Mati seketika senyuman yang terukir
dibibir namun kembali melihat mekar nama yang tertera di skrin, Ibuabah...
“Assalamualaikum, anak ibu sihat?” kedengaran ceria
suara ibu.
“Waalaikumussalam... sihat bu. Ibu sihat? Abah mana?”
aku bersuara manja.
“Ada ni ha...” suara abah pula kedengaran. Erm...
ini mesti buat loud speaker.
“Macam mana?”
aku bersuara perlahan menyembunyikan perasaan ingin tahu yang membuak-buak.
“Erm...
so far so good...” ibu menjawab
bersahaja. Amboi mak aku...
“Pass...” abah pula bersuara sepatah.
“Serius ibu... abah?” aku bertanya tidak percaya.
“Ya... setakat ni dia calon yang terbaik dan ibu
dengan abah dah bincang dengan dia. Kami dah setuju yang majlis akad nikah akan
diadakan sebelum cuti penggal berakhir jadinya sebulan lagi lah lebih kurang.
Tak payah nak merisik, bertunang bagai nikah je terus.” Ibu bersuara lancar
yang mengundang debaran di dada.
Huh... biar betul. Dahsyat betul ibu dengan abah aku
ni. Tak pulak tanya aku setuju ke tak, terus saja buat keputusan. Lagipun
diorang bukan tak tahu aku punya impian nak sambung belajar memandangkan tugas
aku sebagai guru sandaran di sekolah itu pun sudah berakhir. Usiaku yang kini
dua puluh empat tahun bukan dikira masih muda ke...
“Ya lah... bukan ke dia sorang je calonnya...” abah
pula bersuara. Sempat lagi tu bergaduh.
“Eh, ada lah dua tiga orang ibu reservedkan.
Markah diaorang kurang sikit dekat mata pelajaran sivik.” Ibu bersuara selamba.
Hai ini betul ke aku tengah bercakap dengan ibu dan abah ni. Lain macam saja
bunyinya ni...
Haish Adwan Muqri dan bakal adik ipar
aku ni ajar apa dekat ibu abah ni. Adeh... kalau ditolak, campur, kali, bahagi
tak sampai sebulan lagi. Haish sempat ke nak buat persiapan. Ibu abah ni pun...
tak menyempat...
“Liya pelik apa yang buatkan ibu
abah suka dengan dia?”
“Dia tu budak baik...” abah menjawab
ringkas. “Dia tu romantik...” ibu menyambung tenang. Ternganga aku mendengar
jawapan ibu. Tang mana yang romantiknya budak Adwan Muqri tu pun aku tak tahu
lah.
“Hai bu... dia ada baca sajak bulan
bintang ke yang ibu boleh cakap dia romantik ni...” Aku tertawa. Romantiklah
sangat melamar pakai tiga patah perkataan...
Tak sampai lima minit selepas talian
dimatikan abang pula menelefon. “Lily, ibu cakap diorang dah berkenan lagi
sebulan majlis betul ke?” Ha ini lagi dahsyat, aku tak sempat nak cakap hello dia dah sembur sedas.
“Yup...” aku menjawab juga sambil
menggeleng-gelengkan kepala.
“Lily setuju? Eh, jangan main-main
la dik. Hari tu Lily tak confident
yang dia akan lepas ujian saringan ibu dengan abah yang mencabar tahap keimanan
dan ketakwaan sebab tu Lily on je
tapi sekarang macam mana. Ibu abah tu dah macam kempunan sangat nak
bermenantukan budak tu. Dah lah Lily kenal dia tak sampai sebulan pun lagi.” Ada
nada kerisauan kedengaran.
“Entah... pada Lily usia perkenalan
tak penting...” aku menjawab dari hati...
“Tapi Lily rasa boleh ke terus hidup
bersama dengan perasaan simpati dan kasihan semata-mata tanpa rasa cinta...”
Erm... abang aku dah mula dah dengan dia punya ayat jiwang. Tak payah nak
cintan cintun sangat lah bang...
“Sebab Lily ada prinsip Lily sendiri
berkaitan benda alah tu...”
“Cinta itu umpama sepohon pokok...”
abang bersuara sinis. Wajahku membahang. Alah... dia dah jumpa lah tu. Haish
tak faham betul la dengan abang aku ni. Jumpa aja blog aku walaupun aku guna
nama yang entah apa-apa.
“Haish... buat part time nampak...
berapa abah bagi komisyen?”
................................................................
Orang
cakap tanda-tanda orang yang ‘jatuh’ tidur tak lena, mandi tak basah, makan tak
kenyang tapi aku ni nak kata tidur tak lena pukul sebelas lebih dah terbongkang
atas katil dan azan Subuh berkumandang baru bangun. Nak kata mandi tak basah,
kalau dah lebih setengah jam duduk berendam dalam bilik air tu apa ke hal nya.
Nak kata makan tak kenyang, kalau tak bertambah tak sah.
Erm... tapi semenjak dua menjak ni aku rasa macam
ada clinical sign yang agak pelik la
dengan aku punya perasaan dalaman. Aku jadi berdebar-debar bila bersua empat
mata dengan dia walaupun kami sememangnya tak pernah keluar berdua. Lidah jadi
kelu tak terkata tatkala dia telefon. Aku sendiri pelik apakah ‘penyakit’nya
ni.
Aku berdiri agak lama di depan pagar rumah bercat
krim ini. Hati berbelah bahagi. Berperang dengan emosi. Samada menyelami naluri
yang kian aneh aku rasakan atau mengabaikannya dengan harapan aku tak akan
berkesempatan merasa apa itu terluka. Namun semakin aku menafikan semakin aku
rasa tertekan.
“Liya... sorang je? Kenapa tak panggil?” teguran
seorang lelaki yang entah bila muncul di depanku mematikan terus lamunanku.
Aku tersenyum dan berlagak seperti biasa. “Saya ada
hal nak bincang dengan awak...”
“Owh... sebenarnya saya sorang je ni. Adik-adik
pergi rumah Mak Long, tengok baby...
Erm... tak pe lah kita berbual dekat luar boleh?”
Aku mengangguk perlahan dan masih tersenyum cuba
menyembunyikan perasaan. “Jom...” dia menggamitku ke arah kerusi yang terdapat
berdekatan dengan kolam ikan.
“Duduk lah dulu saya ke dapur kejap...” dia bersuara
lembut. Aku sekadar tersenyum tidak membantah.
Adwan Muqri datang dengan seteko air dan sepiring
puding. Kemudian dia menuangkan air ke dalam cawan dan mempelawaku minum. Aku
memerhatikan setiap gerak-gerinya dan tanpa aku sedari dia terperasan akan
tingkah laku ku.
“Ada apa?” dia bertanya seraya melabuhkan punggung
di hadapanku.
“Saya mintak maaf. Saya rasa... kita tak boleh
teruskan pernikahan tu...” aku berterus terang akan tujuan kedatanganku.
Walaupun hati aku seperti dihiris rasanya, aku suarakan juga.
Dia kelihatan terkejut dengan kenyataanku. “Kenapa?”
Aku menggigit bibir bawah. “Saya tak boleh nak
teruskan hidup dengan orang yang tak cintakan saya. Saya baru sedar yang
simpati dan kasihan semata-mata tak akan kekal...” aku berselindung di sebalik
kenyataan sebenar.
Dia kelihatan serius. “Jadi... awak terima saya
hanya sebab simpati? Tapi kenapa awak bagi saya harapan?” persoalan yang hanya
aku tahu jawapannya namun tak mungkin aku akuinya.
“Saya dah lakukan kesilapan besar bila bersetuju...”
“Awak terima saya hanya sebab simpati?” dia seperti
inginkan kepastian.
“Anggaplah yang kita memang tak ada jodoh. Saya
yakin yang awak akan dapat wanita yang jauh lebih baik dari saya...”
“Arwah umi selalu ceritakan pasal
awak. Dia cakap awak baik, bertuah siapa yang dapat awak. Dia cakap kalaulah
saya belum ada calon dia teringin sangat nak bermenantukan awak. Saya kenal
awak sebelum berjumpa dan bila saya berhadapan dengan awak sendiri baru saya
tahu yang segala yang umi katakan itu benar. Adik-adik saya semua sukakan awak.
Tapi... mungkin betul apa yang awak cakap...” dia bersuara perlahan.
“Saya minta diri dulu. Maaf, saya
buat ni semua sebab saya... tak nak lukakan hati sesiapa. Saya pergi dulu.
Assalamualaikum....” aku meninggalkannya setelah menutur apa yang sepatutnya.
Setitis demi setitis air mataku
gugur bercucuran di pipi. Apatah lagi sebentar tadi aku baru lepas dimarahi ibu
dengan abah atas keputusanku ini. Aku tahu apa yang aku buat ini akan memalukan
keluarga tapi apa pilihan yang aku ada?
Aku sedih sangat bila ibu cakap aku sengaja ingin
mempermainkan perasaan Adwan Muqri namun tahukah ibu yang hati ini yang terasa
pedihnya. Adwan Muqri terdesak untuk mempunyai isteri untuk menjaga
adik-adiknya. Dia langsung tak punya apa-apa perasaan terhadapku kerana dia
sudah punya orang lain sedangkan aku yang setiap saat perasaan padanya semakin
bercambah.
................................................
Sudah
lebih dua tahun peristiwa itu berlalu dan selama itu juga aku tak lagi berjumpa
dengan Adwan Muqri kerana aku melanjutkan pelajaranku ke luar negara. Aku tak
kuat untuk menempuhnya kerana itulah kali pertama aku mengalami apa yang orang
kata patah hati.
Cinta itu umpama sepohon pokok...
Benih pokok perlu disemai barulah ia akan tumbuh.
Apabila benih disemai, pokok akan tumbuh dan semakin membesar. Jika dibajai dan
disirami pasti akan tumbuh rendang namun andai diracuni pasti akan layu dan
akhirnya mati.
Begitulah juga cinta... ia perlu disemai. Bila
disemai ia akan mekar. Akan bertambah mekar bila dibajai dengan kejujuran dan
disirami dengan keikhlasan. Namun, akan layu dan akhirnya mati andai diracuni
dengan pengkhianatan dan kepura-puraan.
Satu
falsafah cinta yang merupakan prinsip yang sekian lama aku pertahankan. Ada cerita
di sebalik kisah pembatalan majlis pernikahan itu. Aku melakukan itu semua
demi untuk menjaga hati-hati orang yang
aku sayangi.
“Aku tak sangka dia sanggup buat aku
macam ni. Dia dah janji dengan aku.” Zaleha menangis teresak-esak di sampingku
selepas bertemu dengan kekasih hatinya petang itu.
“Zal... kau sabar ek...” sejujurnya
aku tak pandai memujuk.
“Aku setia dengan dia tapi dia... Dia
dah nak kahwin lagi dua minggu Ifti dan dia langsung tak bagi tahu aku. Ini pun
aku pergi rumah dia tadi kalu tak sampai ke sudah aku tak tahu dan terus
mengharap. Bodoh kan aku ni terhegeh-hegeh dekat dia...”
“Zal... kau jangan cakap macam tu. Dia
tu yang sebenarnya tak tahu menghargai kesetiaan kau atau mungkin juga dia
terpaksa. Kita tak tahu mungkin dia ada masalah ke. Lagipun setahu aku dah
lebih tujuh tahun kan kau dengan dia...” aku masih cuba memujuk.
Dia seorang lelaki yang baik... kata
Zaleha dulu dan dia juga pernah cakap yang kalau aku kenal dengan lelaki tu tak
mustahil aku juga akan jatuh suka dekat dia tapi aku menyangkal keras. Walaupun
aku dan Zaleha banyak persamaan namun tak mungkin dalam soal yang satu itu.
Tetapi pernah aku suarakan kesanggupan aku untuk berkorban andai itu berlaku.
“Aku sayang dia Ifti. Aku...” dia
terhenti seketika. “Aku saja cakap yang aku balik tahun depan sebab aku ingat
nak buat surprise tapi alih-alih aku
yang tersurprise.” Zaleha masih dalam
tangisan yang mendayu-dayu.
Haish aku lemah lah bila tengok
orang menangis ni. Tapi aku rasa ada yang tak kena lah sebab setahu aku lelaki
tu sayang betul dengan Zaleha. Walau pun diorang tak bercinta macam orang lain
tapi mereka teruskan atas dasar kesetiaan dan kejujuran pada janji yang pernah
dipersetujui.
Sejak belajar di universiti lagi
saban hari Zaleha menjadi penglipur lara, bercerita mengenai lelaki yang telah
berjanji untuk menjadikannya isteri selepas Zaleha yang dua tahun lebih muda
darinya menamatkan pengajian. Walaupun mereka tak pernah bergayut sakan, bersms,
berym, berchatting, berdating tapi yang aku tahu mereka masih mengharap antara
satu sama lain. Isy tak faham lah. Rasanya ada yang tak kena ni.
Aku memegang bahu Zaleha lembut. “Kalau
boleh aku tahu, siapa dia?” sekadar bertanya soalan yang sama berulang kali aku
suarakan tanpa jawapan dari Zaleha. Mungkin kali ini dia lebih terbuka untuk
memberi jawapan.
“Adwan Muqri...”
Atas sebab itu lah aku mengambil
keputusan drastik untuk menoktahkan terus segaris rasa yang masih di titik mula
setelah menimbang tara dari banyak aspek dan pelbagai sudut. Biarlah, alasan
masih belum bersedia yang aku katakan kepada ibu dan abah walaupun bagi mereka
alasan itu langsung tak berasas.
Setahun lalu, semasa aku masih di
Jerman Zaleha mengkhabarkan kepadaku berita pernikahannya dengan jejaka idaman
katanya dan aku sendiri dapat mengagak siapa yang dia maksudnya.
Alhamdulillah... lidah ini tetap melafazkan itu sebagai tanda syukur walau hati
seakan menangisi. Sekurang-kurangnya segala pengorbananku berbaloi. Walaupun
aku tidak berkesempatan menghadirinya namun doaku akan sentiasa mengiringi di
sepanjang perjalanan hidupnya sebagai sahabat baikku.
“Liya, kawan Liya datang tu.” Emak yang tiba-tiba
muncul di muka pintu bilik mengejutkan aku.
Aku mengerutkan kening. “Siapa?”
“Pergilah tengok...” ibu memberi jawapan ringkas.
Aku menyarung tudung dan keluar ke ruang tamu.
Terkejut melihat kehadiran Zaleha dan seorang lelaki yang tidak aku kenali
sedang duduk di sofa. Air sudah pun terhidang di atas meja kopi. Mungkin ibu
yang sediakan. Sudah lama lah kiranya dia sampai. Sibuk mengelamun sampai aku
tak sedar.
“Zal...” aku bersuara teruja lantas memeluknya erat.
Dia membalas pelukanku.
“Liya, kenalkan ini suami aku... Firdaus...” dia
memperkenalkan lelaki disebelahnya setelah pelukan terlerai.
Aku mengerutkan kening. “Ilya Iftitah...” aku
menjawab juga sambil tersenyum dan menunduk sedikit. Walaupun aku agak terkejut
tapi sedaya upaya aku cuba kawal perasaan. Zaleha tak boleh tahu yang aku
pernah mengenali Adwan Muqri jadi segala persoalan aku pendamkan saja.
“Dia ada kat luar...” Zaleha bersuara tiba-tiba.
Semakin tersentak aku dibuatnya. “A’a... pergilah...” dia bersuara lagi sambil
tersenyum penuh makna.
Aku melangkah turun ke halaman rumah dan ternyata
benar. Dia sedang merenung sawah yang luas terbentang.
“Adik-adik tak datang sekali?” aku bertanya setelah
menghampirinya dan berdiri di sisinya.
“Tu...” dia menunjuk ke arah sawah. Kelihatan Adi,
Aisyah dan Amir sedang meniti batas bersama dengan abah. Aku termalu sendiri.
Macam mana boleh tak perasan ni... kalau dah mata asyik nampak dia saja yang
lain semua kabur.
“Abang Im dah ceritakan segalanya...” dia memulakan
bicara.
Aku menelan liur. Segalanya... dalam maksudnya
tu... “Owh...” sepatah kata yang mampu
aku ucapkan sebagai respon.
“Tapi saya rasa awak terlupa satu benda...” dia terhenti
seketika sebelum menyambung. “Jodoh itu kan rahsia Allah dan mungkin awak
perlukan seseorang untuk sentiasa mengingatkan awak, prinsip awak tentang benda alah tu...” dari
ekor mata aku lihat dia tersenyum kecil. Jantungku mula berdegup kencang. Benda
alah...
“Tak salah belajar menerima seseorang walau tanpa
cinta di hati sebab cinta itu kan umpama sepohon pokok...” Dia terus berlalu
meniti batas menyertai adik-adiknya dan meninggalkan aku yang termangu
sendirian.
Sepohon pokok=?
Ahh... aku menekup mulut. Terkenangkan blog yang
sudah setahun tidak diziarah selepas berita pernikahan Zaleha aku terima. Patah
hati. Tak ada sebab untuk aku terus meluahkan kata hati pada setiap luka dan
kecewa di dada blog itu lagi kerana kisah itu sudah pun sampai ke penghujugnya.
Tapi... macam
mana Adwan Muqri boleh tahu pasal benda alah itu sedangkan mustahil kalau itu dari
mulutku. Adakah ini maknanya... Hish abang ni tak boleh simpan rahsia betul
lah. Sebuah diari kenangan... alamak malunya aku... rasa macam nak terjun tali
air saja...