SOFIA
mengecilkan mata sambil memerhatikan kawasan sekeliling yang lengang.
Jantungnya berdegup kencang membayangkan pelbagai kemungkinan. Entah kenapa dia
boleh sampai tertidur di surau berdekatan dengan makmal mikrobiologi dan tidak
ada seorang pun yang menyedari akan keberadaannya.
Jarum jam kian berdetik. Langit
malam kian malap dalam pekat. Hatinya gusar, gundah dan tidak mampu bertenang. Handset di dalam poket beg galas merah
kesayangannya dicapai. Niat di hati ingin menghubungi Ainin, roommatenya
namun alangkah luluhnya hati apabila mendapati yang telefonnya mati kerana
kehabisan bateri!
Allahurabbi... hati kecilnya
merintih sayu. Terasa ingin menitis air matanya yang sejak tadi menakung di
empangan mata memikirkan bagaimana untuk dia pulang ke rumah sewanya sedangkan
sekarang sudah hampir pukul sepuluh malam dan mana mungkin masih ada bas yang
beroperasi untuk ke rumah sewanya pada waktu ini.
Dia memberanikan diri dan menapak
perlahan menghampiri bus stop namun
langkahnya mati tiba-tiba seraya terdengar suara orang sedang bercakap-cakap.
Dalam samar cahaya lampu jalan dia cuba mengamati susuk tubuh seorang lelaki bersama
dengan seorang budak perempuan dalam lingkungan sepuluh tahun yang sedang
berdiri betul-betul di hadapan sebuah kereta Myvi berwarna silver.
Berdasarkan
pengamatannya, dia seakan mengenali sesusuk tubuh itu. Berbekalkan sedikit
kekuatan yang tersisa dia berjalan menghampiri keduanya.
“Saiful!”
Sofia menjerit kuat apabila yakin dengan apa yang dia lihat. Tidak dia sangka
akan bertemu dengan course mate nya itu.
Saiful
berpaling. “Sofia... Ya Allah... sejak tadi saya cari awak. Awak pergi mana?”
Saiful meluahkan senafas. Gusar sungguh hatinya memikirkan nasib yang mungkin
menimpa teman sepengajiannya itu.
“Oh...
sebenarnya saya tertidur dekat surau tadi. Macam mana awak tahu saya di sini?”
“Tadi...
Ainin call saya bagitahu yang awak
tak balik lagi. Dia risau sangat. Itu yang saya tawarkan diri untuk cari awak
dekat sini. Saya ajak adik saya ni temankan.”
Saiful
mengalihkan pandangan ke arah adik perempuannya. “Maryam... ini Kak Sofia.
Sofia, ini adik kesayangan saya Maryam.”
“Oh...
Maryam. Cantik nama tu. Nama ibu Nabi Isa. Seorang wanita hebat dan mulia.”
Sofia tersenyum sambil menghulurkan tangan sebagai tanda perkenalan. Maryam
menyambutnya sambil tersipu-sipu malu.
“Dah
lewat ni jom saya hantar awak balik.”
Sofia
mengerling jam tangannya sekilas. Jarum sudah menunjukkan pukul sepuluh lima
minit malam. Dia cepat-cepat masuk ke dalam kereta. Saiful menggamit adiknya
duduk di kerusi hadapan bersebelah pemandu sementara Sofia duduk di kerusi
belakang.
Saiful terpaksa
memperlahankan kenderaannya kerana hujan tiba-tiba turun dengan lebatnya
bersama angin kencang yang menggoyangkan pokok-pokok yang tinggi menjulang.
Hatinya sedikit gusar melihatkan perubahan cuaca yang mendadak kerana tadi
sewaktu dia bertolak ke mari keadaan masih tenang dan langit cerah berbintang.
Ahh... lukisan alam siapa bisa menduga. Kun
faya kun. Kalau Dia kata jadi maka akan jadilah. Tidak akan ada seorang pun
manusia atau apa-apa yang mampu merubahnya kerana kuasa yang tertinggi terletak
pada Yang Maha Agung bukannya manusia.
Sewaktu
Saiful ingin membelok ke kiri di sebuah persimpangan berdekatan dengan sebuah
rumah tinggal, tiba-tiba terdapat sebuah kereta Proton Wira berwarna hitam
memotong keretanya dan menghalang laluannya yang menyebabkan dia terpaksa
menekan brek mengejut sehingga menyebabkan dia dan Sofia terdorong ke depan.
Adiknya, Maryam yang tadinya terlelap juga tersedar dan tersentap.
Sofia
gelisah. “Saiful... nak pergi mana?” dia bertanya apabila melihat Saiful
menanggalkan tali pinggang keselamatan dan ingin membuka pintu kereta. Namun
soalannya tak berjawab.
“Tak payah
lah. Saya tak sedap hati lah.” seakan mampu mengagak apa yang ingin dilakukan
oleh Saiful.
“Habis
tu takkan nak duduk dalam ni sampai esok pagi.” Tegas kedengaran.
“Sampai
tahun depan pun saya sanggup kalau itu dapat menjamin keselamatan kita.” Juga
dalam nada yang tegas membentak.
“Se...”
belum pun sempat Saiful menghabiskan kata-kata, mereka diganggu oleh bunyi
ketukan di tingkap bersebelahan dengan Saiful.
Saiful
dan Sofia saling berpandangan. Sofia menggeleng perlahan sebagai isyarat. Demi
memikirkan keselamatan Sofia dan Maryam, Saiful statik dan pada masa yang sama
sedang memikirkan cara-cara untuk melepaskan diri. Akalnya ligat berfikir apa
yang perlu dia lakukan.
Akhirnya
dia mendapat idea yang sepatutnya sejak tadi dia lakukan tetapi disebabkan
perasaaan panik dia tidak mampu berfikir dengan rasional. Tangannya rakus
menyelongkar dashboard mencari
telefon bimbit. Belum sempat telefon itu dicapai dia tersentak dengan jeritan
Sofia. Rupa-rupanya mereka sudah berjaya membuka pintu kereta semasa dia sibuk
menyelongkar dashboard tadi. Taktik
percuri kereta yang biasa mereka praktikkan untuk membuka pintu kereta yang
berkunci.
Dua
orang lelaki berbadan tegap mengacukan pisau ke leher Sofia dan Saiful. Maryam
yang masih terkejut hanya mampu menangis teresak-esak.
“Bagi
dompet kau.” Arah seorang daripada lelaki itu yang berbaju putih.
Saiful
menunjukkan ke arah dashboard. Lelaki
tadi menyelongkar dan menjumpai dompet milik Saiful sementara yang berbaju
hitam menyelongkar beg Sofia.
“Kau
jaga budak dua ekor ni dulu.” Arah lelaki berbaju hitam kepada rakannya.
“Kau nak
pergi mana?”
“Berseronok.
Lepas ni giliran kau pulak.” Lelaki tadi bersuara sambil ketawa nakal.
Tak susah
untuk Sofia faham akan maksud kata-kata itu. Dengan sepenuh kudrat yang ada dia
cuba melepaskan diri namun keupayaannya nyata terbatas. Mendengarkan itu,
Saiful cuba bergelut dengan lelaki yang berbaju putih. Dia mesti menyelamatkan
maruah Sofia walau dengan apa cara sekalipun meski nyawanya terkorban.
Di satu
sudut, seorang gadis suci berusaha dengan seluruh kekuatan yang tersisa untuk
mempertahankan mahkotanya sementara di sudut lain seorang pemuda jatuh
tersungkur namun diri digagahkan untuk berjuang dengan tekad melindungi maruah
seorang gadis dari diragut.
SAIFUL
mengerling Sofia di seat belakang. Jalan
kian lengang kerana jam sudah pun menginjak ke pukul 12.06 minit malam.
“Sofia...
awak janganlah macam ni. Kita pergi buat report
ya. Lepas tu saya bawa awak jumpa doktor.” Saiful memujuk lembut. Tidak tahu
bagaimana lagi untuk dia mendamaikan hati Sofia yang ternyata dalam keadaan
yang sangat tertekan.
Sofia masih teresak-esak. Tidak
mampu dia untuk bersuara walau sepatah. Dia tidak tahu bagaimana untuk dia meneruskan
hidup selepas ini. Adakah lagi lelaki yang sudi mengambilnya sebagai isteri
setelah mengetahui yang dirinya sudah tidak suci lagi? Bagaimana kalau dia
hamil? Allah... air matanya semakin laju menitis.
Esakan kecil yang mendayu-dayu
semakin meruntun qalbu Saiful. Terasa seperti disiat-siat. Dia gagal. Dia tak
mampu mempertahankan Sofia. Semasa bergelut dengan penjahat tadi dia terjatuh
lalu pengsan dan apabila tersedar, segalanya telah musnah. Dia tekad walau apa
pun yang terjadi, penjahat tadi harus dijejaki dan diberikan hukuman yang
setimpal atas perbuatan mereka.
Saiful memejamkan mata sejenak. Ada
air hangat yang mengalir perlahan di tubir matanya.
“Sofia... saya akan kahwin dengan
awak dalam masa terdekat. Saya janji.”
Kata-kata itu bukanlah pemujuk
hatinya malahan serasa seakan semakin mendera jiwa gadisnya. Ini tidak adil
untuk awak Saiful. Awak seorang lelaki yang sangat baik dan soleh. Tipulah
andai saya katakan saya tidak pernah tertarik dengan perwatakan awak yang mampu
memikat hati wanita. Kebaikan awak. Tapi... awak lebih berhak untuk perempuan
yang baik dan solehah. Seorang perempuan yang rahimnya suci dari benih lelaki
lain. Seorang yang masih perawan dan yang pasti perempuan itu bukan saya.
“Sofia... tolonglah katakan sesuatu.
Kalau awak nak kita kahwin malam ni pun saya sanggup Sofia.” Saiful masih tidak
berputus asa memujuk.
“Tak Saiful.” Tegas. Air matanya
semakin laju mengalir. “Simpati awak semakin mendera hati saya Saiful.” Sofia
bersuara lirih bersama sendu yang kejap memeluk hati.
Saiful bungkam. Simpati. Oh tidak! Bukan
simpati yang dia rasakan tapi tanggungjawab atau lebih dari itu rasa bersalah
yang mencengkam sukma.
“Abang...!” Maryam yang sejak tadi
berdiam diri akibat terkejut atas apa yang berlaku tiba-tiba menjerit nyaring.
“Allah!”
WAYAR yang
melingkari sekujur jasad yang terbaring sejak dua hari lalu sedang dialihkan
satu persatu. Dua hari doktor berjuang cuba menyelamatkannya namun yang pasti
nyawa itu bukan milik manusia.
Di tepi katil teresak-esak menangis
seorang wanita lewat 40-an dan seorang gadis kecil sambil saling berpelukan. Di
sudut tepi bilik seorang lelaki yang mungkin sebaya dengan wanita tadi
bersandar ke dinding sambil menyeka air mata yang mengalir laju.
“Saiful!”
Sofia yang berkerusi roda menerpa ke
arah katil. Dengan dada yang berombak kencang dia membuka sedikit kain yang
menutupi wajah Saiful. Allah... rawan hatinya bagai dihempap beban yang
tersangat berat untuk ditatang. Menatap sekujur tubuh lesu yang terbaring kaku
itu mematah riukkan segenap tabah yang berbaki sekelumit cuma. Air mata tak
semena-mena mengalir seperti tiada usai.
‘Kenapa dia Ya Allah? Kenapa bukan
aku yang Kau ambil?’ hati kecilnya menjerit. Terseksa menanggung satu persatu
ujian yang menerpa.
“Jangan biarkan kesedihan menghayutkan
jauh harapan. Usah biarkan kekecewaaan menenggelamkan jauh ke dasar
keputusasaan. Masih punya jawapan yang kemas tersimpan, sekalung doa insan
beriman.” Bisikan halus membelai telinga yang entah dari mana hadirnya mengalir
terus ke dasar hati yang terpencil.
“ALONG nampak
berisi sekarang. Kuat makan ya...” seloroh emak menyentak emosi Sofia.
Dia sekadar tersenyum tawar. “Mak
tak suka anak mak sihat?” sekadar berbas-basi sedangkan hatinya berdetap
kencang. Kalau dihitung-hitung sudah sebulan lebih peristiwa hitam itu berlalu
dan tak siapa yang tahu kecuali Dia juga pihak polis.
Semenjak pulang ke kampung tempoh
hari telinganya masih terngiang-ngiang teguran emak itu. Dia bimbang
kalau-kalau benda yang paling dia takuti akan terjadi jua.
“Ainin... saya nampak berisi ke?”
Sofia menalakan pandangan ke arah Ainin yang sedang tekun menelaah pelajaran.
Ainin mendongak sedikit merenung
Sofia. “A’a... nampak berisi. Pipi pun dah tembam.” Dia tertawa kecil. “Tapi
pelik... awak kan selalu tak sihat. Sakit-sakit kepala siap muntah-muntah lagi
tapi makan lalu je. Hurm...” Dia mengetuk-ngetuk dagu perlahan dengan
menggunakan pensel mekanikal seolah-olah sedang memikirkan masalah ekonomi negara
yang kritikal.
Zap... kenyataan Ainin bagai menghunus
ulu hatinya. ‘Ya Allah... jangan biarkan apa yang berada di dalam fikiranku
sebagai satu realiti ya Allah...’ suara hatinya merintih.
“SOFIA! Apa ni?”
Tersentak
Sofia yang ketika itu sedang khusyuk menghayati bait-bait indah ayat cinta-Nya.
Dia terus memandang ke arah Ainin yang sedang memegang sesuatu di tangan
kanannya. Keluhan kecil dilepaskan. Mata dipejam rapat mendamba secebis
kekuatan. Allah... bila Kau nak tunjuk, walau macam mana pun aku tutup tetap
kan terbuka hijab.
“Berapa
bulan?” Soalan yang ringkas dan tegas.
“Enam
minggu...” Sofia menjawab antara dengar dan tidak.
“Tak
sangka awak yang saya hormati boleh buat kerja terkutuk macam ni. Selama ni
awak bukan main sopan lagi. Dengan lelaki pun jarang bercakap apatah lagi
bercinta tapi macam mana boleh jadi macam ni? Saya tak kenal yang namanya Sofia
yang... Isy!” Ainin melepaskan geramnya dengan menumbuk meja belajar yang
berada di sisinya tika itu. Bibirnya bergetar amarah. Nyata syaitan berjaya
memperdaya seorang lagi umat Muhammad.
“Siapa
bapak anak haram ni? Saiful? Hah eloklah tu. Patutlah malam tu accident lepas buat kerja terkutuk
rupanya.”
Tap.
Sofia menyisipkan tangan kanannya ke dada. Kejap menggenggami jari-jemari,
saling mengalirkan kata-kata azimat tak terucap sambil mata dipejamkan
serapat-rapatnya mengharapkan selingkar kesabaran dalam mempertahankan iman
yang kian luntur dengan penghinaan demi penghinaan. Kejamnya bahasamu
sahabatku...
Hati
kecilnya bagai dilapah-lapah dengan belati tajam. Bagai disiat-siat, dicincang
lumat menjadi cebisan kecil yang bertebaran. Pedih. Tersayat rasa.
“Saya
tahu saya tak cukup baik tapi awak tak berhak menuduh orang sebaik Saiful. Dia
dah tak ada. Tolonglah jangan mengaibkan dia dengan aib yang bukan
perbuatannya. Kalau awak nak cari punca kesalahan, letakkan ke bahu saya.” Dengan
berbekalkan sedikit kekuatan yang tertinggal dia melafazkan.
Lantas, Sofia
berlalu keluar dari rumah dengan mata yang membengkak menakung air. Sudah tidak
tegar rasanya diri menanggung semua ini. Dia tak sekuat mana. Bagaimana mungkin
dia kuat bila sahabat yang paling rapat dengannya sendiri menuduhnya melakukan
perkara sumbang dan yang paling mengusik hatinya apabila sahabat itu menuduh
seseorang yang telah tiada lagi dan orang itu langsung tidak bersalah.
Saiful...
kenapa cepat benar awak pergi... saya tak kisah kalau awak tak nak kahwin
dengan saya tapi saya perlukan awak saat ni untuk saya kongsi kesedihan saya
atas penghinaan ini sebab awak seorang saja yang tahu pasal ni. Awak saja saksi
yang saya ada untuk saya mempertahankan maruah saya dari diinjak-injak sesuka
hati. Kalaulah awak masih ada... mesti awak akan mempertahankan saya kan? Mesti
awak akan membela saya bila semua orang mencemuh saya kan? Tapi... kenyataannya
awak sudah tiada...
“Dan tuturkanlah perkataan kamu dengan
perlahan atau dengan nyaring, (sama sahaja keadaannya kepada Allah), kerana
sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan segala (isi hati) yang terkandung di
dalam dada. Tidakkah Allah yang menciptakan sekalian makhluk itu mengetahui
(segala-galanya)? Sedang Ia Maha Halus urusan PentadbiranNya, lagi Maha
Mendalam PengetahuanNya!”
Tafsir
Al-Quran Surah Al-Mulk ayat 13-14 itu menyapa pendengarannya yang sedang
bertenggek di tangga surau berdekatan dengan kawasan rumahnya. Hatinya disapa
satu perasaan. Ya Allah... aku khilaf. Demi sesungguhnya Kau Maha Mengetahui segala
sesuatu. Daku hilang upaya daku hilang daya. Seakan tak mampu lagi untuk
mengorak langkah. Setiap derap tapak seakan sumbang. Tunjuki aku jalannya Ya
Allah.
MALAM berlalu,
siang menjengah. Hari berganti, minggu menyapa bertukar bulan. Sofia semakin
sarat menanggung beban keseorangan. Ya keseorangan pada zahirnya namun
sesungguhnya dia bukanlah sendirian kerana ketahuilah Dia tetap bersama
menemani. Melalui hari-hari sukar menghadap kuliah saban hari dari pagi hingga
ke senja. Bergelumang dengan assignment yang menuntut masa sedangkan dia
semakin tidak berdaya.
Masuk bulan ketujuh dan yang pasti
sudah lebih lima bulan dia tidak menjenguk kampung halaman. Bukan niatnya ingin
merahsiakan hal ini dari pengetahuan ibu abah tapi tidak sanggup rasanya untuk
melihat air mata ibu gugur dan tidak betah rasanya ingin melihat wajah penuh
kecewa seorang abah.
Biarlah kisah sakit perit maung ini
dia tanggung sendiri meski saban hari terpaksa menadah telinga mendengar
perlian dan ejekan mereka yang tidak tahu akan kebenaran dan yang paling
menghiris hati apabila nama insan itu juga dikaitkan sama. Sudah jenuh dia
menafikan namun tak siapa yang percaya kerana dia tiada sesiapa untuknya
campakkan kesalahan. Dia tak salah tapi dia silap. Silap kerana tertidur dekat
surau pada petang tu. Ya silap itu datang dari dirinya sendiri lantas pada
siapa harus dia menunding jari?
Walau apa pun yang terjadi,
kehidupan mesti diteruskan. Dia uji bersebab bukan saja-saja. Mungkin Dia nak
hadiahkan pahala pada jiwa yang redha. Wahai Pemilik Hidupku, pimpin tangan ini
saat aku tercari arah. Pegang tangan ini saat aku hampir rebah. Wahai Pemilik
hatiku... sentuh hati ini tatkala aku rasai kekosongan. Pujuk hati ini bila aku
kehilangan kekuatan. Aku mencari damai Ya Allah... damai buat sekeping hati
yang redha pada setiap ketentuan. Damai sekeping hati yang bergantung pada
Pencipta-Nya.
“Janganlah
kamu bersikap lemah dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah
orang-orang yang paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang-orang yang beriman.”
[Surah Ali Imran : Ayat 139]
Sofia
tersenyum kecil apabila dengan sendirinya hatinya terpujuk dengan warkah cinta
ini. Subhanallah... sesungguhnya Kau Maha Mendengar setiap rayuan dan
pengaduan. Aku rasai tenang. Aku rasai damai.
Dia bingkas bangun sambil membuka
telekung untuk menyambung study.
Dikerling sekilas ke arah Ainin yang sedang tekun melakar sesuatu dia atas
kanvas putih. Kuntum senyuman terbit di pinggir bibir. Teringat kenangan pahit
manis bersama selama hampir tiga tahun perkenalan. Namun masa telah menghakis
manis dan meninggalkan pahit yang utuh terhampar di dinding hati.
Dia akui
sesungguhnya sukar untuk melupai setiap kata penghinaan yang menyapa
pendengaran. Lagi sukar menerima kenyataan yang kata-kata itu lahir dari
seorang insan yang sangat dia sayang. Tapi hatinya tidaklah sekeras batu, tetap
kemaafan memudarkan amarah dan kecewa. Ya, dia telah pun memaafkan Ainin lama
dulu. Padanya tiada kata maaf yang perlu dari seorang sahabat kerana pada
zahirnya terjalinnya ikatan sebagai tali untuk saling menarik menuju redha
Ilahi.
Ukhwah
fillah itu... tak kenal siapa dan di mana.
“AININ, kalau
apa-apa terjadi pada saya... saya amanahkan anak ni pada awak. Kalau lelaki
namakan dia Saifullah. Kalau perempuan namakan dia Sumayyah.” Sofia menuturkan
tenang dalam kepayahan. Segaris senyuman terukir dihadiahkan kepada Ainin
sebelum dia disorong masuk ke dalam bilik pembedahan.
Ainin menyeka air mata di penjuru
pipi. Teringat akan pesanan Sofia sebentar tadi. Pagi tadi, semasa dia bangun
untuk solat Subuh dia ternampak Sofia terbaring di atas lantai bilik air. Saat
itu hanya Tuhan saja yang tahu perasaannya. Cemas dan bimbang. Jujur, dia masih
menyayangi Sofia dan akan terus menyayangi sahabatnya itu. Tak akan ada badai
yang mampu menggongcang kasih utuhnya buat Sofia meski mulutnya lancar
berbicara kata yang mengoyak carikkan sekeping hati. Tapi tetap tak mampu dia
menipu diri sendiri. Dia sayangkan sahabatnya.
“Sofia... saya minta maaf...” kata
yang terungkap di dasar hati.
Dadanya
penuh debar menantikan bicara seorang doktor wanita yang sedang berjalan
menghampirinya. Mungkinkah saatnya telah tiba. Saat yang mana tidak akan
tercepat walau sesaat dan tidak pula terlambat walau sesaat. Doktor itu berdiri
betul-betul di hadapannya. Air muka doktor itu sudah menjelaskan segala-galanya
tanpa perlu dituturkan dengan lisan.
Air matanya
semakin laju mengalir bersama esakan kecil. Dikuatkan hati melihat seorang anak
kecil sedang lena di dalam incubator.
Pipinya kemerah-merahan. Bibirnya seolah-olah tersenyum. Ahh.. dia masih
terlalu kecil untuk memahami erti kehilangan. Tangannya terketar-ketar menyeka
air mata yang mengalir laju.
“Saifullah... anak yang baik. Saif
bertuah miliki seorang ibu yang kuat dan tabah. Saif juga harus kuat. Jadi anak
yang soleh. Ibu akan menunggu Saif di syurga kelak.”
sticky note:
[3:139]
menggali kekuatan di sebalik timbunan kesakitan
menjunjung semangat tatkala maruah diinjak-injak
0 comments:
Post a Comment