Showing posts with label Cerpen- Ceritera Kehidupan. Show all posts
Showing posts with label Cerpen- Ceritera Kehidupan. Show all posts

Terhenti di Sini



AMINAH mendengus keras. Geram dengan sikap abangnya yang degil. Sampai bila hendak setia sedangkan hati sendiri yang terluka? Dia memaut jari jemari untuk menghilangkan rasa amarah yang memuncak.
            “Berapa kali Along nak kena cakap perkara yang sama?” soal Hud mendatar. Dia letih. Terlalu letih untuk mengulang ayat yang sama berkali-kali. Hati Along sudah diberikan dengan rela kepada Hanim. Tak mungkin diminta kembali.
            Aminah mengangkat wajah menentang pandangan mata coklat cair di hadapannya. “Dan berapa kali perlu Min ulang perkara yang serupa?” soalnya berani. Dia tidak pernah setegas ini dengan Along. Dia sentiasa ingin menjaga hati Along. Dia sayangkan Along. Terlalu sayang. Dia juga seperti Angah dan mak, mahu melihat Along bahagia tetapi kali ini dia sudah tidak betah lagi menadah telingan mendengar adu resah seorang ibu. Tidak sanggup!
            “Dahlah Min, Along penat dengan semua ini,” keluh Hud lemah. Cadangnya pulang ke kampung mahu berjumpa dengan mak dan tenangkan jiwa tetapi semakin sesak pula jadinya. Kalau tahu begini, dia sudah terbang ke India, destinasi percutian yang belum sempat dia jejaki.
            Sejak peristiwa hampir lebih tujuh tahun yang lalu, dia mencuba menyibukkan diri dengan kerja. Boleh dikatakan dia bercinta dengan kerja. Hanya sesekali dia bercuti, itu pun untuk mengelilingi dunia. Mempelajari erti hidup yang sebenar yang mungkin masih belum dia temui. Andai ditanya, sudahkah dia temui pengganti, jawapannya ya – kerja.
            “Min pun penat Long…” rintih Aminah perlahan. Penat dengan keluh kesah emak yang semakin menginjak usia yang tidak henti mengadu akan kerisauannya terhadap Along. Mengadunya pula bukan sekadar mengadu tetapi diadun emosi. Dia sebagai anak yang paling rapat dengan mak begitu terkesan dengan duka seorang ibu.
Angah pula pihak berkecuali. Tidak mahu masuk campur urusan orang katanya. Alah Angah tu bukannya apa, dia pun lebih kurang Along juga kisahnya. Kalau dia lagilah sadis. Rasa yang dipendam tidak timbul-timbul. Orang suruh luahkan tak nak. Sudahnya, selamat tinggal kasih… Dia tergeleng kecil. Apalah sudah jadi dengan lelaki-lelaki di dalam rumah ini.
            “Mak bukan apa, mak cuma nak lihat anak-anak mak bahagia dengan hidup masing-masing.” Kata-kata mak itu begitu mengusik sanubari.
            “Mungkin, Along bahagia dengan hidupnya sekarang mak. Dia bahagia dengan caranya sendiri.”
            “Achik lihat ke dalam matanya. Adakah Achik nampak sinar kebahagiaan?”
            Waktu itu, terdiam dia seribu bahasa. Terpaksa diiyakan tanpa rela kerana itulah kenyataannya. Dia hanya melihat mata yang kosong tanpa rasa. Kesibukan Along hanya buat menimbus rasa duka di dalam jiwa agar tidak menyelinap menguasai diri sehingga tidak mampu dikawal. Sekadar selingan. Sekadar ‘painkiller’ yang semakin sebati di dalam diri yang tidak lagi mampu mengurangkan kesakitan apatah lagi merawat. Sebaliknya hanyalah distraction dari realiti yang terlalu pedih untuk ditanggung.
            “Kalau macam tu, berhenti.” Suara Along menyentak lamunan Aminah. “Berhenti paksa Along buat apa yang Along tak nak.” Dia tidak pernah pinta rasa ini namun dia tidak pernah harap ia dibawa pergi.
Lirih suara Hud begitu mengusik jiwa wanitanya. “Min, mak dan Angah cuma nak yang terbaik untuk Along. Sebab kami sayangkan Along. Kami nak tengok Along bahagia.” Sepasang mata di hadapannya itu sekali lagi direnung dalam.
            Hud terkalah dengan renungan penuh harapan dari sang adik. Dia memejamkan mata sejenak. Terpenjara dalam ulit rasa yang tidak mampu dia loloskan diri daripadanya. Terbeban dengan pinta harap yang tidak mampu dia tunaikan dengan rela jiwa.
Hud membuka mata merenung wajah adiknya. “Okey.” Dia menarik nafas dalam. Tidak semena-mena pandangannya jatuh pada buku yang terdampar di hadapan Aminah. “Min cari dia ni. Along takkan terima orang lain.” Dia mengangkat sebuah buku yang berada di hadapan mereka itu. “Boleh?” Dia angkat kening, mencabar. Seakan diluar rasional di meminta.
            Aminah merenung buku setebal hampir seinci di atas meja dapur itu. Dia menarik nafas dalam. “Baik! Min akan cari.” Tegas dia bersuara. “Kalau jumpa, Along kena tunaikan janji.”



FUAD menepuk-nepuk pipi yang sengaja dicembungkan.  Kakinya melunjur ke hadapan dengan badan disandarkan pada sofa. Fokusnya tidak lagi pada filem The Maze Runner. Mendengarkan kata-kata Aminah tadi seperti mendengar orang menyuruhnya mencari mutiara di dasar Laut China Selatan.
            “Nak cari dekat mana Min?” soalnya kusut. Satu hal pula dia dengan Aminah terpaksa menjadi penyiasat persendirian demi untuk mencari maklumat tentang seorang penulis yang entah siapa.
            Aminah angkat bahu. “Tak tahu…” Dia sudah menayangkan wajah sememeh mohon simpati. Sudah jenuh dia bertanya di sana sini dan sudah lenguh juga tangannya menggodek-godek laman sesawang. Katakan apa lagi yang belum dia lewati; blogspot, tumblr, instagram, twitter… Pendek kata hampir kesemua. Namun tetap tiada satu pun pembayang yang dia perolehi.
Itulah siapa suruh letak buku itu di atas meja tu. Elok saja terdampar di atas meja di hadapan Along. Along pula bukannya tak tahu, penulis itu begitu perahsia. Dia juga yang selalu berceloteh dengan Along tentang buku-buku yang dia suka termasuklah buku tulisan penulis tersebut. Memang inilah yang dikata orang; Tak ada penyakit, cari penyakit. Aduh!
            “Macam mana kalau…” Fuad tidak menghabiskan ayat. Dia renung sisi wajah Aminah sebelum wanita itu turut berpaling memandangnya.
            “Kalau apa?” tanya Aminah ingin tahu. Keningnya sudah terangkat tinggi.
            “Kalau…” sambungnya beralun dengan mata yang tidak lepas dari wajah Aminah.
            “Kalau apa?” desak Aminah tidak sabar. Boleh pula dia buat saspens dalam keadaan genting macam ni. Nak cari orang yang entah siapa dan di mana ni kalau tidak kena gaya mahu makan tahun jadinya. Along pun bukannya muda remaja lagi. Sudah tiga puluh tiga. Lagi tujuh tahun selamat ulang tahun ke empat puluhlah jadinya.
            “Kalau Anemone ini seorang lelaki?” Fuad mengangkat kening dengan wajah yang cuba dimaniskan tetapi tidak mampu.
            Aminah menelan liur, kesat. Wajahnya semakin keruh. Itu lagi satu masalah. Tak siapa tahu jantina penulis itu. Masing-masing sekadar membuat andaian berdasarkan gaya penulisannya saja. Ramai yang berpendapat bahawa dia seorang wanita dan tidak kurang juga yang berfikiran sebaliknya. Ada juga yang menelah berdasarkan namanya, Anemone Putih – sejenis bunga. Namun tidak mustahil juga seorang penulis lelaki sengaja menggunakan nama itu untuk tidak dikenali dan tidak mampu dijejaki.
            Argh! Kusut.
            “Kalau dia dah berpunya?”
            Satu lagi soalan mencelah di sebalik kusut fikiran Aminah. Aduh! Itu satu lagi masalah. Macam mana kalau Anemone ini isteri orang?
            “Min…” panggil Fuad lembut. “Awak perasan tak?”
            “Perasan apa?” Lebat kerutan di kening Aminah. Semakin berdebar pula dia jadinya. Suaminya ini suka sangat berikan spekulasi di luar jangkaan. Kreatif sangat buat kesimpulan.
            “Along sengaja cakap macam tu sebab dia tahu seakan mustahil untuk kita cari Anemone ni,” luah Fuad mengikut logik.
            “Dan Min akan buktikan, tiada yang mustahil dengan izin Allah.” Aminah bersuara tegas.
            Fuad sekadar tersenyum manis – kelat. Seperti seuncang Teh Boh Kaw yang dibancuh di dalam secawan air dengan sesenduk gula.
            Yalah, tak ada yang mustahil. Sudah berminggu-minggu dia dan Aminah menjadi penyiasat persendirian. Sudah diminta bantuan Pak Google, Mak Cik Facebook, Kak Twitter dan sebagainya namun hampa. Yang ada pun akaun rasmi Facebook bernama Anemone Putih, sekadar itu. Tiada detail maklumat peribadi. Akaun twitter dan Instagram pula sekadar akaun peminat sahaja. Tiada yang rasmi.
            Seriously, it nearly impossible.


BEEP. BEEP.
            Notifikasi pada telefon bimbitnya menunjukkan ada e-mel yang baru masuk.
            Anemone Putih.
            Dia tunjuk pada Fuad dengan wajah cuak.
            “Bukalah…” arah Fuad tidak sabar.
            From: Anemone Putih
            To: Nur Aminah Zulkarnain
            Wassalam, Cik Aminah. Pertama sekali saya memohon maaf atas kelewatan membalas e-mel cik. Kedua, saya memohon maaf kerana tidak dapat memenuhi permintaan cik untuk bertemu empat mata. Beginilah cik, apa kata, cik e-mel saya secara personal mengenai perkara yang cik ingin tanyakan. Kalau saya mampu bantu Insya-Allah saya akan cuba membantu.
            Aminah berkalih ke sisi menatap wajah lelaki di sebelahnya. Mereka berbalas pandang buat seketika.
            “Nak cerita semua sekali ke?” soal Aminah.
            Fuad mengangguk perlahan. “Kecuali yang pasal Along hanya akan terima dia sebagai pengganti.” Dia terhenti seketika. “Takut dia terus tak balas langsung saja nanti.” Mahu terkejut menikus budak tu nanti. Kenal tidak apa tidak terus hendak dijadikan galang ganti. Kalau dia sendiri pun mahu lari bersembunyi terus tidak muncul-mucul walau sekadar buku.
            Aminah mengerutkan kening. “Habis tu nak cakap kita bercerita ini atas dasar apa?” Takkan saja-saja nak bercerita. Macamlah tiada orang lain yang boleh diceritakan masalah. Macam mencari orang yang salah pun iya juga. Sepatutnya andai masalah sebegini wujud, kaunselor yang selayakkan dirujuki bukannya penulis yang masih banyak lagi kerja yang perlu diberesi daripada memikirkan soal masalah orang yang tiada kena mengena dengan hidupnya.
            “Ingin meminta pandangan ketiga?” Fuad mengutarakan pendapat dalam bentuk soalan. “Atau pun untuk minta tolong dia nasihatkan dalam bahasa yang halus yang dapat menyentuh hati Along sebagaimana kata-kata di dalam novelnya yang mampu menyentuh hati awak tu.” Dia sudah tersenyum nakal, mengusik. Apa tidaknya, dua hari dua malam juga Aminah berendam air mata dek terkesan dengan jalan cerita di dalam novel itu, juga kata-katanya yang menyentuh qalbu.
            “Elok bagi saja Along baca novel tu,” ujar Aminah. “Biar rumah Along pun kehabisan tisu juga.”
            Fuad sekadar tergelak.


AMINAH merenung tubuh abangnya yang berselimut. Telapak tangan dibawa mendarat di dahi Hud. Panas. Menurut kata emak, sudah masuk hari ketiga Along demam. Entah angin apa yang mengusik abangnya sehingga antibodinya boleh menjadi selemah ini. Menurut kata emak lagi, pada petang tiga hari sebelumnya, Along ada pergi ke rumah Amin. Lama tidak menjenguk sawah katanya. Balik-balik saja terus demam, selsema, batuk dan muntah-muntah sehingga lembik jadinya tubuh gagah perkasa Along.
Aminah meninggalkan abangnya dan berlalu ke dapur. Biarlah Along berehat. Kasihan Along. Dia ingat hendak masakkan Along sup ayam. Dia capai bekas bawang lalu dibawa ke meja makan. Dia duduk di situ. Tiga ulas bawang merah dikupas kulitnya diikuti dengan dua ulas bawang putih sebelum dihiris nipis lalu diletakkan di dalam mangkuk kecil. Seinci halia dibuang kulit pula dihiris nipis-nipis. Tangan bekerja namun akalnya rancak juga bertugas. Cuba menelah apa sebenarnya yang terjadi.
“Tahu tak kenapa Along boleh demam sampai macam tu?” Fuad yang masuk dari pintu dapur terus duduk di kerusi berhadapan dengan Aminah.
Aminah mengangkat wajah dan memandang wajah Fuad dengan raut tanpa perasaan. “Tak tahan panaslah tu. Along tu kalau ke rumah Amin musim-musim macam ni, galaklah dia memancing ikan puyu.” Melepas gian hingga tidak kenal panas dan mendung. Orang memancing pada waktu pagi atau petang baru teduh berawan. Ini tidak, waktu matahari ceracak di atas kepala pun dibantainya juga. Haih, Along… Along…
“Bukanlah…” pintas Fuad. Itu tidak lain hendak melalut tidak tentu pasallah tu. Along tu bukannya budak kecil yang tidak tahu beza waktu yang sesuai untuk buat aktiviti kegemarannya itu.
“Habis tu kenapa?” soal Aminah ingin tahu. Angah terjatuh ke dalam tali air dekat depan rumah Amin ke?
“Dia terjumpa dengan Hanim...”
“Dekat rumah Amin?” soal Aminah terkejut. Kenapa nak kena terjumpa di saat-saat begini? Di kala dia baru hendak carikan Along pengganti.
“…dan Firdaus…” sambung Fuad tanpa menghiraukan pertanyaan Aminah. Wajahnya masih jua tunak merenung wajah Aminah yang turut memandangnya.
“Hanim dengan Amin tu sedara ke?” tanya Aminah lagi. Ini kemusykilan yang begitu besar. Sejak bila pula Amin, sepupunya itu ada saudara mara bernama Hanim. Eh, kalau saudara mara Amin, bukan ke bererti saudaranya juga? Argh! Pening.
“…bersama-sama anak mereka…” tambah Fuad lagi seakan tidak langsung mendengar soalan Aminah.
Aminah sudah ternganga dengan mata yang membulat. Cantiknya pemandangan…
“…sedang bermain layang-layang sambil berkejar kejaran…”
Aminah menelan liur kesat. Wajahnya sudah seperti tertelan biji durian yang hendak ditelan tersekat hendak diluah tidak dapat. Along…
“…di tengah sawah yang menghijau…”
Pisau di tangan diletak terus di atas meja. Dipandang wajah Fuad dengan mata yang sudah berkaca. Dia lihat Fuad geleng seperti mampu membaca hatinya. Dia menyesal. Sunguh-sungguh menyesal dengan sikapnya. Menyesal kerana tidak cukup mencuba untuk memahami derita jiwa Along.
Terimbau-imbau perbualannya dengan Along empat hari lepas.
“Along cakap cari dia bukan cari e-mel dia. Setakat e-mel, dalam novel yang dia tulis tu pun ada kan? Dekat muka surat belakang sekali.”
            “Min dah cuba cari tapi dia ni misteri sangatlah. Entah dekat ceruk dunia mana dia duduk.”
            “Tak jumpa tak payahlah. Nak susah-susah buat apa?” Waktu itu Hud membalas acuh tak acuh.
            “Betul cakap Fuad,” luah Aminah dengan perasaan berbuku. “Along memang sengaja buat permintaan yang Along sendiri tahu mustahil untuk Min tunaikan. Along bukan saja kejam pada diri sendiri malah pada Min juga.” Dia bernada rajuk.
            “Rupa-rupanya, Firdaus tu sepupu belah mak Amin.”
            Suara Fuad mengembalikan Aminah ke dapur rumah kampung itu. “Sepupu Amin? Jadi… sepupu Min jugalah?” soal Aminah keliru. Macam mana boleh tak kenal sepupu sepapat sendiri ni?
            “Bukanlah…” bantah Fuad. “Sepupu belah mak dia. Min kan sepupu belah abah dia. Pelik kan, selama ini tak pernah terjumpa pun.” Tidaklah pelik juga pun sebenarnya kerana rumah mak dan Amin bukanlah dekat sangat. Adalah dalam satu jam perjalanan juga kalau memandu kereta.
            Kecilnya alahai dunia…
            “Kesian Along…” Dia melepas nafas payah. “Menyesal pula Min paksa-paksa dia. Tak sangka macam ini sekali terderanya perasaan Along.” Along bukan saja-saja hendak merelakan jiwa dirobek hiba. Along bukan saja-saja ingin biarkan diri sendiri terseksa tapi Along tak mampu. Belum mampu.
            Dan dia sebagai adik, tak cukup mencuba untuk memahami.



FROM: Anemone Putih
To: Muhammad H. Zulkarnain
Salam, Muhammad H. Apa khabar?
Hud angkat kening. Siapa pula ni? Pelik saja namanya tapi macam pernah nampak. Roti dicicah ke dalam cawan yang berisi milo panas. Kepingan yang sudah lembik itu dimasukkan ke dalam mulut dan dikunyah perlahan-lahan. Dahinya berkerut-kerut memikir. Siapa yang tiba-tiba bertanya khabar ni?
Anemone Putih… Anemone Putih… Anemone Putih…
Aminah Putih…
Eh, Min!
Jarinya pantas menekan butang reply dan menaip ayat balasan.
From: Muhammad H. Zulkarnain
To: Anemone Putih
            Wassalam. Alhamdulillah, masih hidup. Tak payahlah Cik Anemone susah-susah nak tolong saya. Cik memang takkan mampu tolong pun.
            Dia membaca kembali ayat-ayat yang dihantar. Satu keluhan kecil dilepaskan. Kenapa kasar sangat ayat kau ni Hud? Separuh lagi roti ditangan dimasukkan ke dalam mulut tanpa mencecah air.
From: Anemone Putih
To: Muhammad H. Zulkarnain
Awak sebenarnya bukan tak boleh lupa tapi awak yang tak nak lupa. Bahagia itu pilihan. Bukan hak mana-mana manusia. Kalau kita ada banyak benda yang menggembirakan untuk kita lakukan kenapa memilih momen yang sedih?
Hud menarik senyum sinis. Cakap senanglah. Macam Min juga. Tak habis-habis suruh dia lupa. Yang menanggung seksanya dia. Yang menahan sakitnya dia. Sakit yang bukan sakit fizikal. Sakit yang tiada mampu didiagnosis oleh mana-mana doktor. Sakit yang tiada preskripsi yang tepat untuk diberi.
From: Muhammad H. Zulkarnain
To: Anemone Putih
            Macamlah awak pernah lalui apa yang saya lalui.
            Balasnya bosan.
From: Anemone Putih
To: Muhammad H. Zulkarnain
Saya tak lalui tapi saya pernah rasai. Kalau pun awak tak mampu lupa, belajar terima hakikat yang awak dengan dia tidak ditakdirkan bersama atau paling tidak jangan pula awak yang menjadi penyebab luka pada insan lain. Jangan pula awak yang melukakan hati keluarga awak dalam tak sedar.
From: Muhammad H. Zulkarnain
To: Anemone Putih
            Siapa awak nak cakap saya telah lukakan hati kerluarga saya?
            Hud mendengus geram. Suka-suka hati dia saja membuat spekulasi.
From: Anemone Putih
To: Muhammad H. Zulkarnain
Terpulanglah pada awak. Awak sudah cukup dewasa untuk memahami erti Qada’ dan Qadar. Pilihan di tangan awak. Setialah Muhammad H. Setialah. Setialah sehingga awak terluka sekali lagi. Terluka kerana hilang kesempatan untuk membahagiakan orang-orang yang masih ada bersama awak terutama sekali mak awak.
From: Muhammad H. Zulkarnain
To: Anemone Putih
            Kalau saya memilih untuk tidak lagi setia, hanyalah jasad. Bukan hati dan jiwa.
            Tiada balasan. Hud tetap menanti. Akhirnya dia meletak telefon bimbit itu di sisi dan matanya dipejamkan rapat menjemput lena.
From: Anemone Putih
To: Muhammad H. Zulkarnain
Ada begitu banyak benda dalam dunia ini kita tak ada jawapan dan ada begitu banyak benda dalam dunia ini kita tak mampu tentukan. Rasa itu anugerah. Indah andai dipegang, sakit untuk dilepaskan. Namun untuk apa mempertahankan tangan yang meronta mahu dilepaskan?
Hidup ini bukan hanya tentang kita.
            Setelah sepuluh minit, baru peti e-melnya punya tamu. Dibaca sepintas lalu sebelum menutup terus telefon bimbitnya dan menyambung tidurnya yang terganggu.


HARI-HARINYA tetap sama. Tiada apa yang berubah. Dia pergi kerja – balik kerja – keluar kawasan – pergi kerja. Aminah pun sudah tidak lagi membangkitkan isu-isu sensitif malahan tiada langsung bertanyakan soal penulis itu. Entah, mungkin inilah yang dinamakan hikmah. Hikmah demamnya tempoh hari. Sejak peristiwa itu, tiada sesiapa pun lagi yang berani bertanya termasuklah mak dan abah. Biarlah, mungkin lebih baik begini.
Berbicara soal penulis pula, Anemone Putih itu pun seakan sudah hilang dibawa taufan sehingga ke pergunungan sehingga tidak terjejak.
Hipokrit. Bukan tidak terjejak, kau yang tidak pernah menjejaki!
Untuk apa?
Dia menyandarkan kepala pada kerusi bas. Mahu pergi ke Pulau Pinang. Ada urusan kerja yang harus diselesaikan. Malas hendak memandu sendiri. Kalau naik bas, boleh melihat pemandangan dan yang paling utama bolehlah juga dibawa berehat barang seketika. Kadangkala terkesan juga dengan kepenatan tapi dia buntu jalan. Dia tidak boleh duduk diam. Dia jadi terkenang-kenang.
Dia mencapai telefon bimbitnya apabila terfikirkan sesuatu.
From: Muhammad H. Zulkarnain
To: Anemone Putih
            Boleh jumpa? Ada benda nak bincang.
            Dia menunggu reaksi balas. Seminit, dua minit, tiga minit... Dia melepaskan keluhan berat. Lamanya… Amboi… kau ingat dia tak ada kerja lain selain dari memeriksa peti e-mel saja? Baru saja dia hendak memasukkan telefon Samsung itu ke dalam kocek seluar, ada bunyi menghantar impulse ke otak. Dia buka notifikasi itu.
 From: Anemone Putih
To: Muhammad H. Zulkarnain
Maaf, saya terpaksa menolak.
Eh? Dia mengerutkan kening. Sibuk sangat ke sampai menolak terus tanpa bertanya bila dan dimana?
From: Muhammad H. Zulkarnain
To: Anemone Putih
            Sebab?
            Dia pun bukannya lapang selalu tapi memang betul ada perkara yang mahu dibincangkan. Penting. Okey, penting bagi pihaknya tapi kalau diikutkan ada manfaat juga di pihak sebelah sana.
From: Anemone Putih
To: Muhammad H. Zulkarnain
Saya perlu adil terhadap semua pembaca. Saya memilih untuk tidak dikenali. Saya minta maaf.
            Hud angkat kening tinggi. Aku tak baca pun buku kau! Okey, pembaca e-mel? Dia menjulingkan mata ke siling dengan gelengan kecil tatkala mendengar suara minda. Itu pun nak kira ke…
            Dia lantas menutup telefon, memasukkannya ke dalam poket seluar lalu menjemput lena hadir menjelma.


SELESAI bermesyuarat dengan klien di pejabat mereka, Hud terus pulang ke hotel. Badannya dihempaskan ke katil sambil memeriksa telefon. Ada beberapa mesej whatsapp dan e-mel yang masuk. Matanya lebih tertarik untuk melihat satu e-mel yang baru masuk. Peti masuk dibuka.
From: Anemone Putih
To: Muhammad H. Zulkarnain
Hujung minggu ni pesta buku di PWTC. Saya ada di sana pada hari Ahad. Dari pagi sampai petang. Pusing booth dan Insya-Allah akan singgah di booth yang jual buku-buku tulisan saya. Mungkin boleh berjumpa di sana. Kalau ada rezeki kita akan terjumpa tapi kalau tak, mungkin kita hanya ditakdirkan untuk saling mengenali bukan bertemu.
Orang di pesta buku tu beribu kot. Dahlah dia tu bukannya dinding duduk statik saja. Siap cakap lagi akan pusing booth lain juga jadi macam mana nak tahu yang mana satu? Perkataan terjumpa tu yang tak beragak tu. Hud mengeluh panjang lebar di dalam hati.
Tak kisahlah. Bukannya aku nak sangat pun jumpa dia.
Namun, hujung minggu itu, entah apa yang telah membawanya ke ruangan penuh sesak dengan umat manusia itu. Nasib baik juga dia datang dengan menaiki LRT kalau tidak mahu pening pusing mencari tempat parkir dengan manusia seramai itu.
Hud tercegat di penjuru booth. Mana dia ni? Yang mana satu? Sudah tiga jam dia duduk melangut di tepi rak buku itu. Sudah berpuluh kali juga orang tersilap ingatkan dia tukang jaga booth.
            Kau nak main-mainkan aku ke?
            Matanya terperasan akan kelibat seorang perempuan yang sedang berdiri di hadapan rak buku sambil memlilih buku. Macam kenal. Macam mana tak kenal, sejak dari mula dia sampai lagi gadis itu dilihatnya memilih buku bagai tidak sudah. Rambang mata agaknya. Tidak tahu hendak dibeli yang mana satu kerana harga yang ditawarkan begitu murah bak kata orang harga runtuh.
            Eh, tapi ni betul macam kenal. “Muna?” tegurnya. “Munawwarah?” Dahinya berkerut sedikit. Macam ya tapi macam bukan. Munawwarah yang dia kenal bukan macam ni. Munawwarah yang dia kenal tidak bertudung dan terlalu jarang berbaju kurung apatah lagi berjubah. Dia tercengang terasa seperti melihat anak kucing memakai kasut. Eh? Apa yang kau merepek ni Hud?
            Gadis itu berpaling. Matanya membulat. Macam kenal tapi takkanlah…     
“Hud?” Seperti soalan pula dia menyebut nama sendiri. “Saya Hudlah. Takkan kawan sekelas pun tak kenal.” Orang lain yang dinanti, orang lain pula yang dia temui.
            Munawwarah tersenyum nipis. Memang kenal. “Err… buat apa dekat sini?”
            “Tunggu seseorang,”
            “Ohh.. .” Dia angguk. Macam dapat agak siapa yang ditunggu. Hanimlah tu, siapa lagi. Buah hati pengarang jantungnya.
            “Seorang?”
            Dia angguk. Wajahnya ditahan agar tidak bertukar riak. Kenapa mesti terjumpa di sini? Kenapa? Nanti sekejap lagi mesti orang yang ditunggu akan muncul. Tak kuat rasanya hendak bertemu mata dengan gadis itu setelah bertahun dia berjuang membuang rasa.
Kenapa mesti jumpa dia? Kenapa setelah bertahun dan kenapa setelah dia sudah buang nama lelaki itu dari hidupnya? Sungguh. Dia telah buang segalanya tentang lelaki yang telah melukakan hatinya itu. Tiada yang tersimpan walau sebaris nama. Dan kini, wajahnya kembali menghias layar mata. Segalanya tentang masa lalu harus diusir pergi sebelum ia kembali menghantui.
            “Saya minta diri dulu.” Dia berlalu tanpa menunggu leabih lama. Biarlah, mungkin bukan rezekinya hendak bertemu dengan Muhammad H. Walau pun sejak pagi dia menanti tanpa pergi ke mana-mana. Meski didesak keinginan untuk melihat-lihat buku di booth lain, dia tahan diri kerana hendak menunggu Muhammad H tapi untuk kali ini; Maaf Muhammad H, aku tak kuat. Sebab aku juga punya cerita.
            Hud sekadar memandang gadis itu yang telah berlalu demi menunggu orang yang masih belum memunculkan diri.
            Setelah hampir melepasi waktu Asar, dia berlalu pulang dengan hampa. Ini memang betul dia dipermainkan atau takdir yang tidak mengizinkan? Habis masanya dibuang begitu saja semata-mata untuk mencari sesuatu yang tak pasti.
From: Muhammad H. Zulkarnain
To: Anemone Putih
            Awak datang ke tak tadi?Kenapa tak jumpa pun?
From: Anemone Putih
To: Muhammad H. Zulkarnain
Saya datang. Tak ada jodoh mungkin. Nak bincang pasal apa?
Ayat-ayat itu begitu mudah dicerna namun terlalu sukar diterima. Itu saja? Tak ada jodoh? Dia ramas rambut menahan geram.
From: Muhammad H. Zulkarnain
To: Anemone Putih
            Nak minta tolong awak tuliskan kisah saya. Untuk saya jadikan kenangan.
            Supaya awak boleh terus setia? Mahu saja ditaip begitu tetapi dia tidak ingin menimbulkan perbalahan yang berlanjutan. Hormatkan saja permintaannya.
From: Anemone Putih
To: Muhammad H. Zulkarnain
Kalau macam tu, apa kata awak e-melkan saja kisah yang awak nak saya tulis. Tentang apa, siapa, di mana dan sebagainya. Lagi menarik kalau gunakan latar yang sama. Senang untuk dibayangkan.
Dan bermula dari itu, e-mel demi e-mel antara Muhammad Hud dan Anemone Putih hanyalah berkisarkan soal ceritera di sebalik teguhnya seorang Muhammad Hud mempertahankan rasa. Padanya yang juga pernah terluka, ubatnya bukan pada manusia.


KISAH itu sudah pun menjadi buku. Kisah Muhammad Hud dan Hanim yang tidak kesampaian. Kisah dua darjat yang mana harta yang menjadi pilihan. Kisah tentang luka seorang Hud lantaran dikecewakan Hanim yang pernah berjanji hidup bersama hanya kerana dia miskin harta. Kisah tentang setianya Hud pada Hanim. Kisah seorang lagi Zainudin. Zainudin moden.
Kisah itu, kisah yang menagih air mata yang mencarik ego seorang lelaki. Kisah itu, tentang mereka. Namun kisah itu, kisah yang tidak lengkap. Kisah yang tanpa Munawwarah yang mencelah di tengah-tengah perjalanan.
From: Muhammad H. Zulkarnain
To: Anemone Putih
            Saya pergi kedai buku tadi. Epilog jadi best seller. Tahniah.:)
Hud menghantar mesej itu sambil duduk bersila di atas kerusi kayu di laman rumah. Dia memerhatikan anak-anak jiran kawasan perumahan yang sedang bermain bola di atas jalan. Petang hujung minggu yang aman tanpa kenderaan.
From: Anemone Putih
To: Muhammad H. Zulkarnain
Tahniah untuk awak sebenarnya. Terima kasih untuk kisah yang begitu indah untuk dinukilkan tetapi terlalu sakit untuk diimaginasikan. Tapi rasanya lagi sadis andai diselitkan nama Munawwarah yang pernah awak patahkan hatinya dahulu. Tapi, kisah awak kan. Hak awak. J
Hud sudah ternganga membaca balasan e-mel itu. Tiada pernah terduga yang sebaris nama itu bakal muncul di antara dia dan Anemone Putih. Mana dia tahu pasal Munawwarah?
From: Muhammad H. Zulkarnain
To: Anemone Putih
            Macam mana awak tahu pasal Munawwarah?
Sepi.
From: Muhammad H. Zulkarnain
To: Anemone Putih
            Awak kenal Munawwarah?
            Tiada balasan.
From: Muhammad H. Zulkarnain
To: Anemone Putih
            Awak… Munawwarah?
Orang di sebelah sana masih membisu dan mungkin akan terus bisu.
Hud capai naskhah Epilog di atas bantal di sebelahnya. Halaman paling belakang dibelek.
Cinta pada manusia itu seperti memancing. Kita letak umpan tapi belum pasti ikan akan makan. Ikan mungkin makan tetapi belum pasti kita berjaya angkatnya ke daratan. Belum pasti jadi milik kita.
Cinta pada Pencipta itu ibarat menadah hujan. Semakin besar bekas yang ditadah semakin banyak air yang memenuhi. Air yang bukan sekadar mendinginkan tetapi juga memberikan penghidupan. Tanpa air, manusia kehausan.

Terlalu banyak yang dia korbankan demi Hanim, namun yang dia dapat hanya luka yang tidak pernah sembuh. Dia menarik nafas dalam.  Mungkin sudah detiknya dia berhenti. Berhenti berharap pada sesuatu yang tak mungkin dia miliki. Dan mungkin, hadirnya Anemone Putih dengan izin Tuhan buat membuka pintu hatinya untuk mula menadah hujan.

Terpalit Khilaf


MENTARI memancar garang di atas kepala. Tiupan angin langsung tidak dapat ditebak arahnya. Kalish Saifullah mendongak memandang langit biru dilitupi awan nipis. Subhanallah… bibir menutur perlahan tanpa lontaran bunyi. Peluh yang merenek di pipi dilap menggunakan tuala kecil yang tergantung elok di tengkuk. Dadanya berombak perlahan. Lelah yang terbuku dipendam damai.
            Bata yang seterusnya dicapai lalu diletakkan di atas campuran simen dan pasir halus yang telah siap ditampal di atas deretan bata. Tugasnya diteruskan meski penat. Kerja-kerja disambung meski lelah kian memuncak.
            Satu perjuangan untuk meneruskan kelangsungan hidup. Berjuang demi diri, demi Ilahi.
            “Hidup ini indah bila adanya ujian… meski ujian itu payah…”
        Kata-kata Umi terngiang-ngiang di telinga. Satu mutiara kata yang dia sematkan kemas di dada. Menjadi kata azimat yang membakar semangat agar dia tidak rebah menyerah pada bisikan takdir yang menjengah. Benar hidup ini untuk perjuangan dan mati adalah pasti untuk kehidupan yang abadi.
            Titisan peluh di belikat yang membasahkan baju putih lusuhnya dapat dia rasai. Kendati kepalanya terasa berpinar-pinar tetap dia teruskan demi sesuap nasi juga mimpi yang sempat dia anyam.
            “Hidup bukan sekadar untuk ketawa tetapi lebih dari itu. Untuk kita pelajari apa itu syukur. Untuk kita hargai apa itu nikmat. Untuk kita renungi apa itu hikmah.” Kata-kata nasihat Lebai Imran pula mengetuk kotak ingatan.
            “Kehidupan ini untuk kita bersabar dengan kekurangan dan bersyukur dengan kelebihan…” ayat memujuk Abang Zafir pula berlagu di minda.
Dia tidak sempurna. Bukan seperti insan lain yang punya paras yang elok juga minda pintar yang mampu dibanggakan. Dia hanyalah seorang anak yang tidak didamba. Seorang cucu yang tidak diingini. Hidupnya ibarat melukut di tepi gantang. Hadirnya hanyalah bebanan. Keberadaannya hanyalah kesulitan.
            Merayu demi secebis kasih yang tertimbus oleh benci yang menggunung. Melutut demi sayang senipis benang yang terbenam di tasik prejudis. Sungguh menuntut tabah yang bukan sekelumit.



MASA terus berjeda. Kebisuan Ainin mengusutkan fikiran. Kalish Saifullah menghampiri uminya lantas duduk bersila berhadapan dengannya. Tangan Ainin dicapai lalu digenggam kemas mengharapkan simpati meskipun kasihnya sudah berbelah bahagi. Dia hanya meminta belas kalau pun umi tidak lagi mahu peduli rasa di hati, tidak lagi sudi menghulur kasih.
            “A… if… sa… yang umi…” Kalish Saifullah bertutur dengan penuh kepayahan. Butir bicaranya tidak jelas di pendengaran namun seorang umi pasti saja mengerti setiap lenggok kata seorang anak yang dijaga selama  hampir lima belas tahun.
            Ainin merenung anak teruna dihadapannya dengan pandangan redup. Lemah lumpuh semangatnya mengenangkan nasib yang mungkin menimpa anak ini kelak setelah dia pergi menyahut panggilan Ilahi. Bukan tidak peduli. Bukan tidak sudi menyayangi sebaliknya terlalu mengasihi.
Tangannya dibawa ke pipi Kalish Saifullah. “Umi pun sayang Saif…” Berat hati melepaskan namun apalah daya kudrat seorang manusia yang tidak akan pernah mampu melawan kehendak takdir. Tuntutan kehidupan…
Kalish Saifullah menggeleng-gelengkan kepala berkali-kali tanda dia memang tidak rela. Dia bukan sesiapa. Dia tidak terdaya. Tapi dia juga punya jiwa.
Bukan pintanya dilahirkan ke dunia sebagai insan tidak berdaya yang hanya menambah beban pada manusia. Tidak jua dia harap dilonggokkan harta seluas lautan demi meneruskan kehidupan. Tidak pernah sekali dia minta ditatang bagai putera raja. Dia hanya menagih secebis kasih pada yang sudi menghulurkan.
Nasib diri dia hanya mampu serah pada Ilahi.
Adakah mungkin nenek juga akan menerima dirinya seadanya sebagaimana umi menjaganya selama ini. Sudikah kiranya nenek menyuapinya sebagaimana yang umi lakukan lima belas tahun kebelakangan. Sudikah nenek menyisir rambutnya setiap pagi sebelum melangkah ke sekolah seperti yang umi lakukan sejak dia kecil?
Segenap penjuru minda dijentik dengan pelbagai persoalan yang dia sendiri tidak punya jawapannya.
Ainin berkalih memandang seorang ibu tua yang berada di kerusi bertentangan. Jelas seraut wajah itu tidak menggambarkan kegembiraan apatah lagi matanya tidak langsung mengambil ruang menatap wajah insan di hadapannya.
Hanya mata yang merenung jauh ke luar pintu yang berbicara dalam diam. Bicara antara dia dengan Tuhan.
“Mak Cik… dah tiba masanya saya serahkan tanggungjawab ni pada Mak Cik. Saya harap Mak Cik dapat terima dia seadanya.” Ada air hangat yang mengalir tatkala Ainin menuturkan kata-kata itu.
Berat. Perit. Sakit. Pedih.
Sungguh! Kasih yang disemai sekian lama telah bercambah menjadi satu ikatan batin yang terlalu kukuh untuk dileraikan terlalu erat untuk diuraikan. Terlalu sakit untuk dilepaskan.
Ainin menghadap Kalish Saifullah lantas mengenggam jari jemari remaja itu. Kalish mendongak merenung ke dalam anak mata Ainin. Pandangan yang penuh dengan pengharapan. Mengharapakan sekelumit simpati kalau pun sudah pudar kasih di hati. Sungguh! Hatinya meronta-ronta membantah. Dia tidak mahu berpisah dari uminya. Tidak rela.
“Saif… jaga diri baik-baik. Jangan nakal-nakal. Dengar cakap nenek ya. Ada masa umi datang melawat Saif…” Dalam sedu kata itu terluncur jua. Sepatah demi sepatah. Mudah dihadam maksudnya namun nilai sentimentalnya terlalu payah untuk dimengerti oleh insan sementah Kalish Saifullah. Sebaris kata yang membawa makna sesungguhnya dia bakal terpisah dengan uminya. Terpisah oleh jarak yang tidak mampu dia gapai.
Kalish Saifullah menggeleng laju. Pegangan tangan dikejapkan saat Ainin cuba meleraikannya. Air mata merembes keluar tidak dihiraukan.
“Saif… sayang umi kan? Dengar cakap umi ya…”
Masa seolah terhenti. Jarum jam seakan berhenti berdetik untuk seketika. Memberi ruang waktu buat mereka saling menyelami jauh ke dasar hati.
Dengan perlahan pegangan tangan dilonggarkan sedangkan matanya tidak lepas memandang paras seorang umi yang bakal meninggalkannya di tempat yang teramat asing buatnya.



 “SAIFULLAH…”
            “Aa…” Kalish Saifullah menyahut pelat. Air liur yang meleleh di pinggir bibir disapu menggunakan lengan. Dia berlari-lari anak menuju ke arah suara yang memanggil.
            “Kau pergi mana? Terhegeh-hegeh… Sini cepat. Ambil duit ni pergi beli telur empat biji. Sardine satu tin.” Nenek menghulurkan not berwarna merah kepala Kalish Saifullah.
            Kalish Saifullah menyambutnya dengan terketar-ketar. Lantas dia berjalan sambil bernyanyi-nyanyi kecil. Nyanyian yang hanya dia mengerti butir melodinya.
            Hampir sepuluh minit berjalan dia sudah pun tiba di kedai runcit bercat biru yang terletak bersebelahan dengan balai raya. Setelah membeli apa yang dipesan dia lantas berjalan girang menuju ke rumah namun tanpa disedari terdapat sebuah kereta yang memecut laju dari arah belakang sehingga menyebabkan dia terdorong ke tepi lalu terjatuh ke dalam semak sementara telur dan sardine yang berada di dalam plastik terjatuh di atas jalan tar dan digilis kenderaan tersebut.
            “Ya Allah… . Adik tak apa-apa ke?” seorang Pak Cik yang kebetulan melalui jalan tersebut dan berada di belakang kereta tadi berhenti lalu membantu Kalish Saifullah unutk berdiri.
            “Hish… jalan kampung pun bawa kereta macam pelesit. Macam mana boleh dapat lesen ni.” Pak Cik tadi masih memebebel semasa membantu Kalish untuk bangun.
            Pak Cik itu membelek-belek tubuh Kalish Saifullah untuk memeriksa andai ada kecederaan. “Eh, lutut adik berdarah ni… jom lah Pak Cik bawa pergi klinik. Takut ada cedera tempat lain lagi…”
            Kalish Saifullah yang kebingungan akibat terlalu terkejut sekadar menurut.



“ASSALAMU’ALAIKUM…
            “Wa’alaikumussalam… eh Lebai… datang ni ada hajat apa?” Nenek yang datang dari dapur menyahut.
            “Ni cucu kamu ni tadi hampir kena langgar dengan kereta. Nasib baik tak teruk sangat.”
            “Ya Allah… habis mana telur denga sardinnya?”
            “Isy… isy kamu ni. Cucu hampir kena langgar telur juga yang kau herankan.” Lebai Imran bernada marah. Hairan dengan sikap Nek Nab yang ganjil. Sepatutnya disoalkan akan keadaan cucunya namun lain pula jadinya.
            “Habis tu dah dia ni tercongok kat depan mata tu maknanya tak mati lagilah…” Nek Nab bersuara selamba sambil menjeling Kalish Saifullah.
            “Astaghfirullahal’adzim… apa kena dengan kamu ni Nab…” Lebai Imran membentak kasar sambil menggelengkan kepala beberapa kali.
            “Dia ni yang jalan terkinja-kinja dekat tepi jalan tu yang nak kena langgar tu. Lain kali menari terus dekat tengah jalan tu. Senang. Sekali langgar terus…” belum pun sempat Nek Nab meneruskan kata-kata Lebai Imran telah pun memotong laju.
            “Astaghfirullah Nab… bawak mengucap. Ni darah daging kau sendiri.”
            “Tak. Saya tak ada cucu cacat, Lebai…” Nek Nab bersuara keras membangkang.
            Lebai Imran menggeleng-gelengkan kepala beberapa kali sambil hatinya tidak putus beristighfar. “Nab… walau macam mana kau menafikan pun ikatan antara kau dengan dia takkan terputus. Sampai akhirat.” Dia malas hendak bertekak lalu menghamburkan kata yang mungkin mampu membuatkan Nek Nab berfikir. Itulah harapannya.
            Lebai Imran melepas nafas perlahan. “Dah lah Saifullah pergi naik mandi. Jangan lupa sapu ubat. Tak payah lah datang surau malam ni, rehat je…” pesan Lebai Imran sebelum berlalu untuk pulang.



TETAMU nenek sudah pun beransur pulang. Nenek membawa dulang yang berisi cawan ke dapur. Kalish Saifullah yang tadinya berada di dalam bilik keluar ke laman. Dia duduk di pangkin di bawah pohon sena yang berbunga mekar. Sekuntum sena jatuh mengenai kepalanya. Bunga kuning itu diambil dan ditatap sebelum dibawa ke hidung. Wangi! Bibir menguntum senyum.
Sedang itu, otaknya ligat berfikir akan perbualan antara nenek dengan Mak Cik tadi.
            “Aku ni teringin sangat nak ke Mekah tapi…” suara nenek yang syahdu memecah sunyi.
            “Insya-Allah Nab… kalau Dia jemput sampai la kau ke sana.” Mak Cik yang sebaya dengan nenek lembut memujuk.
            “Hurm… entah kan sempat entah tidak. Aku ni duit dalam tabung haji tu dulu separuh tapi masa arwah pergi aku ada keluarkan. Dah tinggal sesuku agaknya.” Suara nenek masih bernada sama. Penuh dengan rasa terkilan yang terbuku di hati.
            Niat di hati ingin pergi menunaikan haji bersama-sama dengan suami dengan anak tunggalnya namun apakan daya…
            Benarlah, redha itu bukan mudah. Terlalu payah. Sehingga kini meski sudah lebih lima belas tahu sejarah pedih itu berlalu namun lukanya masih meninggalkan kesan yang belum berkurangan walau sedikit. Masih basah dengan darah yang kembali mengalir.
            “Alah Nab… rezeki dari Allah kita tak tahu. Kalau dah Dia jemput jadi tetamu Dia rezeki tu akan datang dari sumber yang kita tak sangka macam aku ni ha. Bukannya berduit tapi dah ada orang nak tanggung. Kira macam aku cakap tadi lah. Banyakkan berdoa…”
            “Siapalah nak tanggung aku ni? Aku ni dah tak ada sesiapa lagi kat dunia ni. Ada cucu pun tak macam cucu orang lain…”
            “Nab… tak baik kau cakap macam tu. Seolah-olah mempertikai ketentuan Allah. Kekurangan dia memang kita nampak tapi kelebihan dia yang Allah tak tunjuk kita tak tahu. Cucu orang lain yang sempurna fizikal pun kalau perangai macam hantu nak buat apa. Dia tu baik. Suka tolong orang. Mana tahu, dia akan jadi tali untuk kau, atuk dia dan mak dia masuk syurga. Belajar untuk ikhlas terima kekurangan dia Nab…”
            “Saifullah… naik mandi kan nak ke surau pulak. Hisy… budak ni kalau tak disuruh tak buat.” Panggilan dari nenek mengejutkan Kalish Saifullah. Melayang pergi gambaran yang terlayar di kotak ingatan. Lantas dia meletakkan sena itu ke tanah lalu mendaki anak tangga memasuki rumah.



SUASANA di surau kian lengang. Jemaah kebanyakannya sudah beransur pulang ke rumah masing-masing setelah selesai menunaikan tuntutan agama. Kalish Saifullah berjalan perlahan menghampiri seorang lelaki muda yang sedang bersandar di salah satu tiang di dalam surau tersebut.
            “Abb… bang…” Kalish Saifullah memanggil perlahan sambil duduk di sebelah guru muda lepasan maktab itu.
            Zafri menjongketkan kening sambil tersenyum. “Ya Saif? Ada apa?” dia bertanya lantas menutup tafsir yang sedang dia tekuni sebentar tadi untuk memberi ruang bicara pada Kalish Saifullah.
            “Mme… kah… ap… pa?”
            “Mekah?” Zafri bertanya mohon kepastian.
            Kalish Saifullah mengangguk laju.
            Senyuman masih menghiasi bibir Zafri. “Mekah…” dia menyebut satu patah perkataan itu sambil merenung jauh mencuba mencipta ayat yang paling mudah untuk difahami.
            “Mekah tu… tempat suci. Orang pergi buat haji ataupun umrah dekat sana.” Zafri memberikan satu gambaran dengan bahasa yang mudah dimengerti.
            “Cc…can… tik?” Kalish Saifullah begitu teruja ingin mengetahui lebih lanjut tentang tempat yang namanya Mekah itu.
            Kenapa nenek teringin sangat untuk ke sana? Umi juga selalu sebut-sebut hendak membawanya ke Mekah.
            “Sangat cantik!” terlalu cantik untuk digambarkan dengan kata-kata. “Tak pe nanti Abang Zaf tunjukkan gambar Mekah dekat Saif. Esok jangan lupa datang rumah.”
            Kalish Saifullah sekadar tersenyum manis sambil mengangguk.
            “Abb… bang… dah… gi… Mme… kah?”
            Zafri tersenyum seraya mengangguk perlahan. “Alhamdulillah… dah pernah sampai sana. Pergi dengan ayah… Kenapa Saif Tanya? Saif… nak pergi Mekah?”
            “Nnak!” Kalish Saifullah bersuara agak kaut seraya mengangguk laju.
            Zafri menyentuh ubun-ubunnya sambil tersenyum. “Insya-Allah… Kalau Allah izin sampailah. Dah… jom kita mengaji sama-sama.” Zafri membuka kembali tafsri Al-Quran pada muka surat tadi.
            Zafri mengalunkan ayat-ayat suci Al-Quran Surah Al-Insyirah lalu meminta Kalish Saifullah mengikutnya ayat demi ayat untuk memastikan bacaannya betul dan kemudiannya dia membacakan tafsir ayat tersebut.
            “Jadi kita kena yakin dengan Allah. Setiap kesusahan pasti ada kemudahan. Kena banyakkan bersabar atas ujian dari Allah. Kalau orang tak suka kita ke tak apa. Jangan sedih. Allah kan ada. Doa banyak-banyak pada Allah supaya orang yang benci kita tu akan sayang kita satu hari nanti.” Zafri mengadaptasikan maksud ayat tersebut dengan situasi yang berlaku di sekeliling supaya lebih mudah untuk difahami oleh Kalish Saifullah yang masih mentah.
            “Zaf… tak nak balik lagi ke?” Soalan dari Lebai Imran mengejutkan mereka.
            Zafri dan Kalish Saifullah sama-sama berpaling ke arah Lebai Imran. “Kejap lagi ayah. Nak teman Saif mengaji kejap.”
            “Erm… ye lah. Nanti hantarkan dia balik rumah. Kesian jalan sorang-sorang.”
            “Insya-Allah ayah…”
           

MENTARI masih seterik tadi. Awan yang tadinya nipis mulai berkumpul menjadi gelap. Kepala kembali didongakkan ke langit biru. Peluh masih merenek jatuh melalui rengkung pipi.
            “A… If… nakk… umpa… u… mmii…”
            “Kau jangan nak mengada-ngada. Tak adanya dia nak datang sini tengok kau.”
            “Umm… mi… ssa… yang… A… if…”
“Kalau dia tu betul sayang kau dia tak  buang kau tau. Dia tak tinggalkan kau dekat sini. Menyusahkan betul.  Aku tak fahamlah kenapa dia tak hantar je kau ni dekat rumah kebajikan.” Mak Nab masih membebel panjang. Bertikam lidah dengan cucu tunggalnya.
Tersayatnya sekeping hati tidak dia hiraukan. Perasaan yang berbuku sekian lama sedikit-demi sedikit dia luahkan melalui kemarahan.
“Sebab kau…” Mak Nab menarik nafas dalam. Berombak dadanya menahan sebak yang menggunung. “Sofia mati…” air matanya kian menakung di empangan. “Suami aku…” ayatnya mati di situ. Sungguh perit menanggung luka yang sekian lama dipendam dalam. Namun kehadiran insan ini menggali kembali kisah silam yang berkali-kali dia cuba timbus tapi tetap gagal.
Terbayang jelas diingatan saat sebuah van jenazah menghampiri laman rumah tanpa diundang. Luluh jantungnya tatkala menatap sekujur jasad seorang anak tunggal yang ditatang bagai minyak yang penuh terdampar kaku di pembaringan berselimutkan kain kafan. Waktu itu… hanya Tuhan yang tahu betapa derita batinnya. Dan saat itu… seorang suami yang berkongsi hidup hampir suku abad terkulai jatuh menyembah bumi lalu pergi menyusuri si anak.
Peristiwa yang tidak sanggup untuk dikenang. Sejarah yang menghancur luluhkan sekeping hati. Mancantas tawa melorek hiba.
“Ayah kau ni tak guna. Dia musnahkan masa depan anak aku. Kau… aku benci kau!” Mak Nab teresak-esak menangis lalu berlari memasuki kamarnya.
Tidak tertanggung rasanya. Tidak terjinjing rasanya. Perit ini. Perit yang terlalu perit. Sakit yang terlalu sakit.
Sungguh tidak adilnya manusia… kesalahan yang dilakukan manusia yang mati jiwanya diletakkan ke pundaknya yang tidak tahu apa-apa. Dia yang serba kekurangan belum mengerti tentang kehilangan dan kesilapan demi kesilapan dibongkarkan lalu telunjuk diluruskan ke wajahnya. Menjurus ke mukanya dengan kata bahawa dia yang bersalah!
            “Saif… mari makan dulu…” teguran Pak Wahab menghilangkan ilusi di balik kabus realiti. Terpadam setiap patah bicara yang berdansa di minda.
            “A… if… pu… puasa…”
            “La… tak penat ke Saif… kamu ni Pak Cik tengok makin kurus.”
            Kalish Saifullah hanya tersenyum. Tidak mengiakan juga tidak menafikan. Tidak pasti.
Entah kenapa ada satu rasa yang bertandang di laman hati. Rasa yang bertamu dengan tiba-tiba. Tanpa undangan namun tetap memberi kesan yang mendalam. Meninggalkan jejak yang tak terhapuskan. Rindu. Sakit.
            Sakit rindu.



MAK CIK, kenapa biarkan Saif kerja.”
            “La… biarlah… aku ni pun bukannya orang kaya macam kamu. Duduk goyang kaki pun boleh makan.” Nek Nab menjawab malas sambil tangannya bekerja menyusun asam gelugur di atas dulang. Terik mentari mungkin membantu mengeringkan asam keping itu dengan cepat. Untung-untung boleh dijual buat menambah pendapatan.
            “Tapi dia budak lagi Mak Cik. Baru lima belas tahun. Sepatutnya umur macam ni dia duduk di sekolah, belajar.” Ainin membantah tegas dalam lembut. Cuba berkompromi dengan mengawal emosi dalam tutur kata agar tiada hati yang terguris. Tambahan pula, Nek Nab sudah seperti ibu sendiri.
            Nek Nab megeluh kecil. “Alah… kalau pergi sekolah pun bukannya boleh pandai.”
            “Mak Cik! Sampai hati Mak Cik cakap macam tu. Saya hantar dia ke sini dengan harapan ada orang yang akan jaga dia. Sayang dia. Kalau tahu macam ni…” Ainin mati kata. Dia buntu. Adakah percaturannya silap?
            “Kalau macam tu… kau ambik balik budak tu. Duduk sini pun menyusahkan aku je. Aku ni nak tanggung diri sendiri pun kais pagi makan pagi. Kau bawak pulak budak tu buat tambah  beban dan kau harap aku boleh tatang dia macam anak raja?” Nek Nab bersuara keras.
            “Kalau saya mampu jaga dia… saya takkan harap pada orang lain… Dia bukan beban. Tapi amanah…” kendur suara Ainin bernada sebak.
            “Aku Nampak Sofia dalam diri dia… aku tak boleh…” Mak Nab menangis lagi. Dalam sendu yang kian menjadi-jadi.
Luka yang hampir sembuh bagai disiram cuka. Pedihnya… peritnya tak akan pernah mampu diterjemahkan melalui kata-kata. Tiada bahasa yang mampu menggambarkan penderitaan jiwanya. Hidup bersulam sengsara yang tidak mampu dia kongsikan dengan sesiapa.
Pernahkah ada sesiapa memahami? Atau paling tidak cuba menyelami naluri seorang ibu yang kehilangan satu-satunya permata hatinya? Seorang isteri yang hilang tempat bergantung? Hilang teman begurau senda, hilang sahabat meluahkan rasa?
Mereka tidak faham dan tidak akan mampu untuk faham.
            “Mak Cik tak redha…”
            “Tak mudah!” Nek Nab memotong laju. Sesiapa sahaja yang berada di tempatnya pasti akan memahami situasinya. Pasti tidak akan mempersoal kenapa? “Sampai sekarang lelaki jahanam tu masih bebas. Anak aku tak dapat pembelaan.” Dia masih mencuba bersuara dalam sedu sedan yang berlagu pilu.
            “Mak Cik macam tak yakin yang adanya hari kebangkitan…” Ainin masih cuba memujuk.
Dendam bukan senjata tetapi racun. Dendam bukan menjadikan kita kuat tapi akan menambah kesakitan. Sesungguhnya kemaafan itulah yang menjadi penawar pada hati yang sakit oleh dendam tanpa penyudah.
            “Aku yakin…”
            “Kalau betul yakin, percaya pada Allah. Setiap kezaliman akan Dia balas dengan azab-Nya. Dia Maha Adil. Sekecil-kecil perbuatan dalam timbangannya. Serah pada Dia. Mak Cik kena belajar melepaskan. Terima kenyataan. Ini ketentuan Allah…” Ainin tahu hati Nek Nab lembut. Dia baik namun pengalaman hidup menjadikan dia seorang yang tegar. “Mak Cik, saya datang ni pun sebenarnya nak jenguk Saif. Saya minta maaf banyak-banyak pada Mak Cik sebab menyusahkan Mak Cik. Saya terlupa yang Mak Cik juga tidak berdaya. Tak apalah Mak Cik, saya akan bawa Saif balik.”
            “U… mmmiii…” Kalish Saifullah yang entah bila muncul datang menghampiri Ainin lalu memeluknya kejap.



KALISH SAIFULLAH menggeleng berkali-kali. Tidak rela dia berpisah dari uminya untuk kedua kalinya.
            Air mata semakin laju menitis. “Tak nak…”
            Tempat ini menakutkannya.
            “Tak boleh macam ni sayang. Umi tak mampu nak jaga Saif…”
            “A… if… ja… ga… di.. diri.. seniri…”
            “Saif ikut kakak ni ya. Umi nak cakap dengan Ibu ni kejap…”
            Kalish Saifullah dengan berat hati melangkah masuk ke dalam.
            “Puan… saya nampak puan dengan dia sangat rapat tapi kenapa sanggup tiggalkan dia di sini…”
            “Siapa cakap saya sanggup. Akak pernah berperang dengan perasaan sendiri?”
            Diam. Berfikir. Mencuba memahami.
            “Saya tak mampu nak jaga dia. Saya sakit. Tunggu masa saja. Saya tak sanggup biarkan dia tengok saya dalam keadaan tak berdaya. Entah esok, entah lusa saya akan pergi. Masa tu siapa yang akan jaga dia?”
            “Suami puan?”
            “Bukan semua orang jodohnya ada di dunia…”



SUDAH tiga bulan Kalish Saifullah berada di rumah kebajikan ini dan selama itu jugalah tidak pernah sekali dijeguk umi. Nenek juga jauh sekali ingin memunculkan diri. Kalish Saifullah duduk termenung di gazebo. Dia sangat rindukan umi. Nenek juga. Meskipun nenek jarang melayaninya dengan baik tapi tetap dia rasai kasih yang mengalir setiap kali nenek merenungnya dari jauh.
            Entah ke mana harus dibawa rindu yang sarat melatari jiwa menyesakkan ruang dada yang terasa sempit. Perasaan yang membusung dibiar sekian lama  mendiami hati yang kesepian sehingga sebu yang dia rasa kini kian membarah. Dia tahu, dia sedar akan hakikat yang harus dia terima sejak dulu. Kenyataan yang mana mungkin mampu dia sangkal meski dia menjerit memberitahu dunia kasih dan cinta yang tertumpah buat  insan-insan itu tidak pernah surut apatah lagi kering.
            “Saif rindu umi?”
            Kalish Saifullah mengangguk perlahan. Benar, umi yang dia rindu tapi sejak akhir-akhir ini rindunya juga terlakar buat seorang ibu yang tak pernah dia kenali. Entah kenapa rindu itu hadir. Terlalu rindu.
            “Nak jumpa umi?”
            Mengagguk lagi tapi kali ini anggukannya laju. Mungkin dengan bersua wajah dengan umi bakal membakar segenap rasa rindu lantas membiarkannya menjadi debu berterbangan.
            “Rindu nenek?” Ibu Fauziah masih bertanya.
            Juga mengangguk.
            “Kalau ibu bawa jumpa nenek nak tak?”
            Kalish Saifullah berpaling laju merenung anak mata ibu Fauziah meminta kepastian. Ibu Fauzian mengangguk.  Semerta “Nnak!” Kalish Saifullah bersuara girang.
            Ibu Fauziah tersenyum senang.
            “Kalau macam tu pergi masuk bilik siap-siap nanti kejap lagi kita pergi jumpa nenek.”
           

KAKI Kalish Saifullah melekat pada tanah di halaman sebuah rumah papan yang sunyi. Kakinya terpaku pada lantai bumi. Teragak-agak untuk mendaki tangga yang terletak elok. Fikirannya menerawang memikirkan penerimaan nenek akan kehadirannya yang tidak dialu-alukan.
            “Assalamu’alaikum…” Ibu fauziah memanggil.
            “Wa’alaikumussalam…” nenek yang baru muncul di balik pintu terpaku melihat Kalish Saifullah yang berdiri di depan tangga.
Bagaikan mimpi.
            Kaki tuanya dibawa melangkah menuruni tangga lantas spontan tubuh Kalish Saifullah dipeluk kejap bersama linangan air mata.
            Kasih yang terbias tak mampu dia nafi. Rindu yang menggunung tak mampu dia sangkal.
            Kalish Saifullah yang terkejut dengan apa yang berlaku dengan perlahan membalas pelukan nenek.
‘Betul kata Abang Zaf… Allah akan makbulkan doa semua orang.’

           
ZAFRI menjejaki Kalish Saifullah di tapak pembinaan. Sudah jenuh  ayahnya menasihati Kalish Saifullah supaya jangan bekerja sebaliknya pergi ke sekolah tetapi Kalish Saifullah tetap berdegil. Kehadiran Zafri hanya salah satu ikhtiar dengan harapan Kalish Saifullah akan lembut hati untuk menerima kata nasihatnya.
“A… if… Nnak… aga… nek…”
“Tapi Saif kena sekolah. Belajar rajin-rajin lepas tu boleh kerja yang bagus-bagus boleh jaga nenek.” Zafri masih tidak jemu memujuk. Demi masa depan kalish Saifullah.
Sayang rasanya andai usia muda dihabiskan dengan bekerja sedangkan dia masih perlu bersekolah. Menuntut ilmu Allah yang terlalu luas. Kalau pun dia tidak mampu menjejakkan kaki ke menara gading seperti insan lain namun sekurang-kurangnya dia punya bekalan ilmu. Ilmu dalam kemahiran. Yang nanti boleh dia gunakan pada masa akan datang.
Kalish Saifullah menggeleng laju.
“Nek… nnak… gi.. Mme… kah…” dia menjawab polos.
“Nanti kalau Saif dah kerja yang bagus-bagus bolehlah bawa nenek pergi Mekah.”
Diam mengisi ruang waktu. Lama begitu.
“Kerja ni penat Saif. Saif muda lagi…” belum pun sempat Zafir menghabiskan ayat dia dikejutkan dengan jeritan dari arah atas yang melaung namanya. Dia mendongak memandang ke atas. Sebongkah bata terjatuh dari tingkat enam betul-betul berada di atas kepalanya dan sejurus kemudian dia rasakan badannya ringan melayang.



MAJLIS tahlil hari yang ke tujuh semalam. Pemergiannya amat dirasai. Sungguh. Sunyi segenap ruang rumah. Sepi menemani setiap saat yang dilalui. Baru kini dia fahami erti pada kata; kita akan hanya menghargai sesuatu setelah kehilangannya.
Kehadiran Lebai Imran sekeluarga yang setiap hari menemani Nek Nab sedikit sebanyak merawat kesedihan.
“Siapa punya ni Lebai?” Nek Nab bertanya sambil menyambut huluran surat dari Lebai Imran.
            “Kau punya la Nab…”
            “Tapi duit aku rasanya tak sampai separuh pun macam mana pulak dapat panggilan ni.” Nek Nab mengerutkan kening berfikir. Kalau diikutkan memang lagi sepuluh tahun pun belum tentu cukup duit untuk dia kumpul.
            “Rezeki kita ni tak siapa tahu Nab…” Lebai Imran sekadar berkias.
            Zafri mengangguk mengiakan. Terhutang nyawa dengan Kalish Saifullah, seorang budak lelaki yang serba kekurangan di mata manusia namun mulia pada pandangan Allah. Apalah sangat balasan duit buat warisnya kalau hendak dibandingkan dengan pengorbanan yang dia lakukan.
            “A… if… nnak… kkum… pul… du… it… bbawa… nek… gi… Mme… kah…” ayat itu masih terngiang-ngiang di telinganya hingga kini. Namun apakan daya hajatnya tidak kesampaian. Apatah lagi hajatnya ingin mendoakan kesembuhan uminya semasa di Masjidil Haram nanti tidak sempat tertunai.
            Bibir mata basah digenangi air hangat. Kalaupun tidak mampu membuatkan insan itu gembira sekurang-kurangnya dia cuba melaksanakan impiannya yang tidak sempat dicapai.
“Dia jemput pada masa dan ketika yang sepatutnya. Tak cepat, tak lambat. Pada masa yang tepat, bila kita sudah siap. Tiba masa kalau Dia izin sampailah…” suara Lebai Imran kembali bergema menerbangkan segenap kata yang mengasak minda.


TAMAT




Sticky note;
Maaf itu indah sedang amarah itu barah…
Redha itu payah sedang hidup akan lebih mudah bila redha…


p/s: kesinambungan kisah mencari damai