AMINAH mendengus keras. Geram dengan sikap abangnya yang degil. Sampai bila hendak setia sedangkan hati sendiri yang terluka? Dia memaut jari jemari untuk menghilangkan rasa amarah yang memuncak.
“Berapa
kali Along nak kena cakap perkara yang sama?” soal Hud mendatar. Dia letih.
Terlalu letih untuk mengulang ayat yang sama berkali-kali. Hati Along sudah
diberikan dengan rela kepada Hanim. Tak mungkin diminta kembali.
Aminah
mengangkat wajah menentang pandangan mata coklat cair di hadapannya. “Dan
berapa kali perlu Min ulang perkara yang serupa?” soalnya berani. Dia tidak
pernah setegas ini dengan Along. Dia sentiasa ingin menjaga hati Along. Dia
sayangkan Along. Terlalu sayang. Dia juga seperti Angah dan mak, mahu melihat
Along bahagia tetapi kali ini dia sudah tidak betah lagi menadah telingan
mendengar adu resah seorang ibu. Tidak sanggup!
“Dahlah
Min, Along penat dengan semua ini,” keluh Hud lemah. Cadangnya pulang ke
kampung mahu berjumpa dengan mak dan tenangkan jiwa tetapi semakin sesak pula
jadinya. Kalau tahu begini, dia sudah terbang ke India, destinasi percutian
yang belum sempat dia jejaki.
Sejak
peristiwa hampir lebih tujuh tahun yang lalu, dia mencuba menyibukkan diri
dengan kerja. Boleh dikatakan dia bercinta dengan kerja. Hanya sesekali dia
bercuti, itu pun untuk mengelilingi dunia. Mempelajari erti hidup yang sebenar
yang mungkin masih belum dia temui. Andai ditanya, sudahkah dia temui
pengganti, jawapannya ya – kerja.
“Min
pun penat Long…” rintih Aminah perlahan. Penat dengan keluh kesah emak yang
semakin menginjak usia yang tidak henti mengadu akan kerisauannya terhadap
Along. Mengadunya pula bukan sekadar mengadu tetapi diadun emosi. Dia sebagai
anak yang paling rapat dengan mak begitu terkesan dengan duka seorang ibu.
Angah pula pihak
berkecuali. Tidak mahu masuk campur urusan orang katanya. Alah Angah tu
bukannya apa, dia pun lebih kurang Along juga kisahnya. Kalau dia lagilah
sadis. Rasa yang dipendam tidak timbul-timbul. Orang suruh luahkan tak nak.
Sudahnya, selamat tinggal kasih… Dia tergeleng kecil. Apalah sudah jadi dengan
lelaki-lelaki di dalam rumah ini.
“Mak
bukan apa, mak cuma nak lihat anak-anak mak bahagia dengan hidup
masing-masing.” Kata-kata mak itu begitu mengusik sanubari.
“Mungkin,
Along bahagia dengan hidupnya sekarang mak. Dia bahagia dengan caranya
sendiri.”
“Achik
lihat ke dalam matanya. Adakah Achik nampak sinar kebahagiaan?”
Waktu
itu, terdiam dia seribu bahasa. Terpaksa diiyakan tanpa rela kerana itulah
kenyataannya. Dia hanya melihat mata yang kosong tanpa rasa. Kesibukan Along
hanya buat menimbus rasa duka di dalam jiwa agar tidak menyelinap menguasai
diri sehingga tidak mampu dikawal. Sekadar selingan. Sekadar ‘painkiller’ yang semakin sebati di dalam
diri yang tidak lagi mampu mengurangkan kesakitan apatah lagi merawat. Sebaliknya
hanyalah distraction dari realiti
yang terlalu pedih untuk ditanggung.
“Kalau
macam tu, berhenti.” Suara Along menyentak lamunan Aminah. “Berhenti paksa
Along buat apa yang Along tak nak.” Dia tidak pernah pinta rasa ini namun dia
tidak pernah harap ia dibawa pergi.
Lirih suara Hud begitu
mengusik jiwa wanitanya. “Min, mak dan Angah cuma nak yang terbaik untuk Along.
Sebab kami sayangkan Along. Kami nak tengok Along bahagia.” Sepasang mata di
hadapannya itu sekali lagi direnung dalam.
Hud
terkalah dengan renungan penuh harapan dari sang adik. Dia memejamkan mata
sejenak. Terpenjara dalam ulit rasa yang tidak mampu dia loloskan diri daripadanya.
Terbeban dengan pinta harap yang tidak mampu dia tunaikan dengan rela jiwa.
Hud membuka mata
merenung wajah adiknya. “Okey.” Dia menarik nafas dalam. Tidak semena-mena
pandangannya jatuh pada buku yang terdampar di hadapan Aminah. “Min cari dia
ni. Along takkan terima orang lain.” Dia mengangkat sebuah buku yang berada di hadapan
mereka itu. “Boleh?” Dia angkat kening, mencabar. Seakan diluar rasional di
meminta.
Aminah
merenung buku setebal hampir seinci di atas meja dapur itu. Dia menarik nafas
dalam. “Baik! Min akan cari.” Tegas dia bersuara. “Kalau jumpa, Along kena
tunaikan janji.”
FUAD
menepuk-nepuk pipi yang sengaja dicembungkan. Kakinya melunjur ke hadapan dengan badan
disandarkan pada sofa. Fokusnya tidak lagi pada filem The Maze Runner.
Mendengarkan kata-kata Aminah tadi seperti mendengar orang menyuruhnya mencari
mutiara di dasar Laut China Selatan.
“Nak
cari dekat mana Min?” soalnya kusut. Satu hal pula dia dengan Aminah terpaksa
menjadi penyiasat persendirian demi untuk mencari maklumat tentang seorang
penulis yang entah siapa.
Aminah
angkat bahu. “Tak tahu…” Dia sudah menayangkan wajah sememeh mohon simpati.
Sudah jenuh dia bertanya di sana sini dan sudah lenguh juga tangannya menggodek-godek
laman sesawang. Katakan apa lagi yang belum dia lewati; blogspot, tumblr,
instagram, twitter… Pendek kata hampir kesemua. Namun tetap tiada satu pun
pembayang yang dia perolehi.
Itulah siapa suruh
letak buku itu di atas meja tu. Elok saja terdampar di atas meja di hadapan
Along. Along pula bukannya tak tahu, penulis itu begitu perahsia. Dia juga yang
selalu berceloteh dengan Along tentang buku-buku yang dia suka termasuklah buku
tulisan penulis tersebut. Memang inilah yang dikata orang; Tak ada penyakit,
cari penyakit. Aduh!
“Macam
mana kalau…” Fuad tidak menghabiskan ayat. Dia renung sisi wajah Aminah sebelum
wanita itu turut berpaling memandangnya.
“Kalau
apa?” tanya Aminah ingin tahu. Keningnya sudah terangkat tinggi.
“Kalau…”
sambungnya beralun dengan mata yang tidak lepas dari wajah Aminah.
“Kalau
apa?” desak Aminah tidak sabar. Boleh pula dia buat saspens dalam keadaan
genting macam ni. Nak cari orang yang entah siapa dan di mana ni kalau tidak
kena gaya mahu makan tahun jadinya. Along pun bukannya muda remaja lagi. Sudah
tiga puluh tiga. Lagi tujuh tahun selamat ulang tahun ke empat puluhlah
jadinya.
“Kalau
Anemone ini seorang lelaki?” Fuad mengangkat kening dengan wajah yang cuba
dimaniskan tetapi tidak mampu.
Aminah
menelan liur, kesat. Wajahnya semakin keruh. Itu lagi satu masalah. Tak siapa
tahu jantina penulis itu. Masing-masing sekadar membuat andaian berdasarkan
gaya penulisannya saja. Ramai yang berpendapat bahawa dia seorang wanita dan
tidak kurang juga yang berfikiran sebaliknya. Ada juga yang menelah berdasarkan
namanya, Anemone Putih – sejenis bunga. Namun tidak mustahil juga seorang
penulis lelaki sengaja menggunakan nama itu untuk tidak dikenali dan tidak
mampu dijejaki.
Argh!
Kusut.
“Kalau
dia dah berpunya?”
Satu
lagi soalan mencelah di sebalik kusut fikiran Aminah. Aduh! Itu satu lagi
masalah. Macam mana kalau Anemone ini isteri orang?
“Min…”
panggil Fuad lembut. “Awak perasan tak?”
“Perasan
apa?” Lebat kerutan di kening Aminah. Semakin berdebar pula dia jadinya. Suaminya
ini suka sangat berikan spekulasi di luar jangkaan. Kreatif sangat buat kesimpulan.
“Along
sengaja cakap macam tu sebab dia tahu seakan mustahil untuk kita cari Anemone
ni,” luah Fuad mengikut logik.
“Dan
Min akan buktikan, tiada yang mustahil dengan izin Allah.” Aminah bersuara
tegas.
Fuad
sekadar tersenyum manis – kelat. Seperti seuncang Teh Boh Kaw yang dibancuh di
dalam secawan air dengan sesenduk gula.
Yalah,
tak ada yang mustahil. Sudah berminggu-minggu dia dan Aminah menjadi penyiasat
persendirian. Sudah diminta bantuan Pak Google, Mak Cik Facebook, Kak Twitter
dan sebagainya namun hampa. Yang ada pun akaun rasmi Facebook bernama Anemone
Putih, sekadar itu. Tiada detail maklumat peribadi. Akaun twitter dan Instagram
pula sekadar akaun peminat sahaja. Tiada yang rasmi.
Seriously, it nearly impossible.
BEEP.
BEEP.
Notifikasi
pada telefon bimbitnya menunjukkan ada e-mel yang baru masuk.
Anemone
Putih.
Dia
tunjuk pada Fuad dengan wajah cuak.
“Bukalah…” arah Fuad tidak sabar.
From: Anemone Putih
To: Nur Aminah Zulkarnain
Wassalam,
Cik Aminah. Pertama sekali saya memohon maaf atas kelewatan membalas e-mel cik.
Kedua, saya memohon maaf kerana tidak dapat memenuhi permintaan cik untuk
bertemu empat mata. Beginilah cik, apa kata, cik e-mel saya secara personal
mengenai perkara yang cik ingin tanyakan. Kalau saya mampu bantu Insya-Allah
saya akan cuba membantu.
Aminah
berkalih ke sisi menatap wajah lelaki di sebelahnya. Mereka berbalas pandang
buat seketika.
“Nak
cerita semua sekali ke?” soal Aminah.
Fuad
mengangguk perlahan. “Kecuali yang pasal Along hanya akan terima dia sebagai
pengganti.” Dia terhenti seketika. “Takut dia terus tak balas langsung saja
nanti.” Mahu terkejut menikus budak tu nanti. Kenal tidak apa tidak terus
hendak dijadikan galang ganti. Kalau dia sendiri pun mahu lari bersembunyi
terus tidak muncul-mucul walau sekadar buku.
Aminah
mengerutkan kening. “Habis tu nak cakap kita bercerita ini atas dasar apa?”
Takkan saja-saja nak bercerita. Macamlah tiada orang lain yang boleh
diceritakan masalah. Macam mencari orang yang salah pun iya juga. Sepatutnya
andai masalah sebegini wujud, kaunselor yang selayakkan dirujuki bukannya
penulis yang masih banyak lagi kerja yang perlu diberesi daripada memikirkan
soal masalah orang yang tiada kena mengena dengan hidupnya.
“Ingin
meminta pandangan ketiga?” Fuad mengutarakan pendapat dalam bentuk soalan.
“Atau pun untuk minta tolong dia nasihatkan dalam bahasa yang halus yang dapat
menyentuh hati Along sebagaimana kata-kata di dalam novelnya yang mampu
menyentuh hati awak tu.” Dia sudah tersenyum nakal, mengusik. Apa tidaknya, dua
hari dua malam juga Aminah berendam air mata dek terkesan dengan jalan cerita
di dalam novel itu, juga kata-katanya yang menyentuh qalbu.
“Elok
bagi saja Along baca novel tu,” ujar Aminah. “Biar rumah Along pun kehabisan
tisu juga.”
Fuad
sekadar tergelak.
AMINAH
merenung tubuh abangnya yang berselimut. Telapak tangan dibawa mendarat di dahi
Hud. Panas. Menurut kata emak, sudah masuk hari ketiga Along demam. Entah angin
apa yang mengusik abangnya sehingga antibodinya boleh menjadi selemah ini.
Menurut kata emak lagi, pada petang tiga hari sebelumnya, Along ada pergi ke
rumah Amin. Lama tidak menjenguk sawah katanya. Balik-balik saja terus demam,
selsema, batuk dan muntah-muntah sehingga lembik jadinya tubuh gagah perkasa
Along.
Aminah meninggalkan
abangnya dan berlalu ke dapur. Biarlah Along berehat. Kasihan Along. Dia ingat
hendak masakkan Along sup ayam. Dia capai bekas bawang lalu dibawa ke meja
makan. Dia duduk di situ. Tiga ulas bawang merah dikupas kulitnya diikuti
dengan dua ulas bawang putih sebelum dihiris nipis lalu diletakkan di dalam
mangkuk kecil. Seinci halia dibuang kulit pula dihiris nipis-nipis. Tangan
bekerja namun akalnya rancak juga bertugas. Cuba menelah apa sebenarnya yang
terjadi.
“Tahu tak kenapa Along
boleh demam sampai macam tu?” Fuad yang masuk dari pintu dapur terus duduk di
kerusi berhadapan dengan Aminah.
Aminah mengangkat wajah
dan memandang wajah Fuad dengan raut tanpa perasaan. “Tak tahan panaslah tu.
Along tu kalau ke rumah Amin musim-musim macam ni, galaklah dia memancing ikan
puyu.” Melepas gian hingga tidak kenal panas dan mendung. Orang memancing pada
waktu pagi atau petang baru teduh berawan. Ini tidak, waktu matahari ceracak di
atas kepala pun dibantainya juga. Haih, Along… Along…
“Bukanlah…” pintas
Fuad. Itu tidak lain hendak melalut tidak tentu pasallah tu. Along tu bukannya
budak kecil yang tidak tahu beza waktu yang sesuai untuk buat aktiviti
kegemarannya itu.
“Habis tu kenapa?” soal
Aminah ingin tahu. Angah terjatuh ke dalam tali air dekat depan rumah Amin ke?
“Dia terjumpa dengan
Hanim...”
“Dekat rumah Amin?”
soal Aminah terkejut. Kenapa nak kena terjumpa di saat-saat begini? Di kala dia
baru hendak carikan Along pengganti.
“…dan Firdaus…” sambung
Fuad tanpa menghiraukan pertanyaan Aminah. Wajahnya masih jua tunak merenung
wajah Aminah yang turut memandangnya.
“Hanim dengan Amin tu
sedara ke?” tanya Aminah lagi. Ini kemusykilan yang begitu besar. Sejak bila
pula Amin, sepupunya itu ada saudara mara bernama Hanim. Eh, kalau saudara mara
Amin, bukan ke bererti saudaranya juga? Argh! Pening.
“…bersama-sama anak
mereka…” tambah Fuad lagi seakan tidak langsung mendengar soalan Aminah.
Aminah sudah ternganga
dengan mata yang membulat. Cantiknya pemandangan…
“…sedang bermain
layang-layang sambil berkejar kejaran…”
Aminah menelan liur
kesat. Wajahnya sudah seperti tertelan biji durian yang hendak ditelan tersekat
hendak diluah tidak dapat. Along…
“…di tengah sawah yang
menghijau…”
Pisau di tangan diletak
terus di atas meja. Dipandang wajah Fuad dengan mata yang sudah berkaca. Dia
lihat Fuad geleng seperti mampu membaca hatinya. Dia menyesal. Sunguh-sungguh
menyesal dengan sikapnya. Menyesal kerana tidak cukup mencuba untuk memahami
derita jiwa Along.
Terimbau-imbau
perbualannya dengan Along empat hari lepas.
“Along cakap cari dia
bukan cari e-mel dia. Setakat e-mel, dalam novel yang dia tulis tu pun ada kan?
Dekat muka surat belakang sekali.”
“Min
dah cuba cari tapi dia ni misteri sangatlah. Entah dekat ceruk dunia mana dia
duduk.”
“Tak
jumpa tak payahlah. Nak susah-susah buat apa?” Waktu itu Hud membalas acuh tak
acuh.
“Betul
cakap Fuad,” luah Aminah dengan perasaan berbuku. “Along memang sengaja buat
permintaan yang Along sendiri tahu mustahil untuk Min tunaikan. Along bukan
saja kejam pada diri sendiri malah pada Min juga.” Dia bernada rajuk.
“Rupa-rupanya,
Firdaus tu sepupu belah mak Amin.”
Suara
Fuad mengembalikan Aminah ke dapur rumah kampung itu. “Sepupu Amin? Jadi…
sepupu Min jugalah?” soal Aminah keliru. Macam mana boleh tak kenal sepupu
sepapat sendiri ni?
“Bukanlah…”
bantah Fuad. “Sepupu belah mak dia. Min kan sepupu belah abah dia. Pelik kan,
selama ini tak pernah terjumpa pun.” Tidaklah pelik juga pun sebenarnya kerana
rumah mak dan Amin bukanlah dekat sangat. Adalah dalam satu jam perjalanan juga
kalau memandu kereta.
Kecilnya
alahai dunia…
“Kesian
Along…” Dia melepas nafas payah. “Menyesal pula Min paksa-paksa dia. Tak sangka
macam ini sekali terderanya perasaan Along.” Along bukan saja-saja hendak
merelakan jiwa dirobek hiba. Along bukan saja-saja ingin biarkan diri sendiri
terseksa tapi Along tak mampu. Belum mampu.
Dan
dia sebagai adik, tak cukup mencuba untuk memahami.
FROM: Anemone Putih
To:
Muhammad H. Zulkarnain
Salam, Muhammad H. Apa khabar?
Hud angkat kening.
Siapa pula ni? Pelik saja namanya tapi macam pernah nampak. Roti dicicah ke
dalam cawan yang berisi milo panas. Kepingan yang sudah lembik itu dimasukkan
ke dalam mulut dan dikunyah perlahan-lahan. Dahinya berkerut-kerut memikir.
Siapa yang tiba-tiba bertanya khabar ni?
Anemone Putih… Anemone
Putih… Anemone Putih…
Aminah Putih…
Eh, Min!
Jarinya
pantas menekan butang reply dan
menaip ayat balasan.
From:
Muhammad H. Zulkarnain
To:
Anemone Putih
Wassalam.
Alhamdulillah, masih hidup. Tak payahlah Cik Anemone susah-susah nak tolong
saya. Cik memang takkan mampu tolong pun.
Dia membaca kembali ayat-ayat yang
dihantar. Satu keluhan kecil dilepaskan. Kenapa kasar sangat ayat kau ni Hud?
Separuh lagi roti ditangan dimasukkan ke dalam mulut tanpa mencecah air.
From:
Anemone Putih
To:
Muhammad H. Zulkarnain
Awak sebenarnya bukan tak boleh lupa
tapi awak yang tak nak lupa. Bahagia itu pilihan. Bukan hak mana-mana manusia. Kalau
kita ada banyak benda yang menggembirakan untuk kita lakukan kenapa memilih momen
yang sedih?
Hud
menarik senyum sinis. Cakap senanglah. Macam Min juga. Tak habis-habis suruh
dia lupa. Yang menanggung seksanya dia. Yang menahan sakitnya dia. Sakit yang
bukan sakit fizikal. Sakit yang tiada mampu didiagnosis oleh mana-mana doktor.
Sakit yang tiada preskripsi yang tepat untuk diberi.
From:
Muhammad H. Zulkarnain
To:
Anemone Putih
Macamlah
awak pernah lalui apa yang saya lalui.
Balasnya bosan.
From:
Anemone Putih
To:
Muhammad H. Zulkarnain
Saya tak lalui tapi saya pernah rasai.
Kalau pun awak tak mampu lupa, belajar terima hakikat yang awak dengan dia tidak
ditakdirkan bersama atau paling tidak jangan pula awak yang menjadi penyebab
luka pada insan lain. Jangan pula awak yang melukakan hati keluarga awak dalam
tak sedar.
From:
Muhammad H. Zulkarnain
To:
Anemone Putih
Siapa
awak nak cakap saya telah lukakan hati kerluarga saya?
Hud
mendengus geram. Suka-suka hati dia saja membuat spekulasi.
From:
Anemone Putih
To:
Muhammad H. Zulkarnain
Terpulanglah pada awak. Awak sudah cukup
dewasa untuk memahami erti Qada’ dan Qadar. Pilihan di tangan awak. Setialah
Muhammad H. Setialah. Setialah sehingga awak terluka sekali lagi. Terluka
kerana hilang kesempatan untuk membahagiakan orang-orang yang masih ada bersama
awak terutama sekali mak awak.
From:
Muhammad H. Zulkarnain
To:
Anemone Putih
Kalau
saya memilih untuk tidak lagi setia, hanyalah jasad. Bukan hati dan jiwa.
Tiada
balasan. Hud tetap menanti. Akhirnya dia meletak telefon bimbit itu di sisi dan
matanya dipejamkan rapat menjemput lena.
From:
Anemone Putih
To:
Muhammad H. Zulkarnain
Ada
begitu banyak benda dalam dunia ini kita tak ada jawapan dan ada begitu banyak
benda dalam dunia ini kita tak mampu tentukan. Rasa itu anugerah. Indah andai
dipegang, sakit untuk dilepaskan. Namun untuk apa mempertahankan tangan yang
meronta mahu dilepaskan?
Hidup ini bukan hanya tentang kita.
Setelah sepuluh minit, baru peti
e-melnya punya tamu. Dibaca sepintas lalu sebelum menutup terus telefon
bimbitnya dan menyambung tidurnya yang terganggu.
HARI-HARINYA
tetap
sama. Tiada apa yang berubah. Dia pergi kerja – balik kerja – keluar kawasan –
pergi kerja. Aminah pun sudah tidak lagi membangkitkan isu-isu sensitif malahan
tiada langsung bertanyakan soal penulis itu. Entah, mungkin inilah yang
dinamakan hikmah. Hikmah demamnya tempoh hari. Sejak peristiwa itu, tiada sesiapa
pun lagi yang berani bertanya termasuklah mak dan abah. Biarlah, mungkin lebih
baik begini.
Berbicara soal penulis
pula, Anemone Putih itu pun seakan sudah hilang dibawa taufan sehingga ke
pergunungan sehingga tidak terjejak.
Hipokrit. Bukan tidak
terjejak, kau yang tidak pernah menjejaki!
Untuk apa?
Dia menyandarkan kepala
pada kerusi bas. Mahu pergi ke Pulau Pinang. Ada urusan kerja yang harus
diselesaikan. Malas hendak memandu sendiri. Kalau naik bas, boleh melihat
pemandangan dan yang paling utama bolehlah juga dibawa berehat barang seketika.
Kadangkala terkesan juga dengan kepenatan tapi dia buntu jalan. Dia tidak boleh
duduk diam. Dia jadi terkenang-kenang.
Dia
mencapai telefon bimbitnya apabila terfikirkan sesuatu.
From:
Muhammad H. Zulkarnain
To:
Anemone Putih
Boleh
jumpa? Ada benda nak bincang.
Dia
menunggu reaksi balas. Seminit, dua minit, tiga minit... Dia melepaskan keluhan
berat. Lamanya… Amboi… kau ingat dia tak ada kerja lain selain dari memeriksa
peti e-mel saja? Baru saja dia hendak memasukkan telefon Samsung itu ke dalam
kocek seluar, ada bunyi menghantar impulse ke otak. Dia buka notifikasi itu.
From: Anemone Putih
To:
Muhammad H. Zulkarnain
Maaf, saya terpaksa menolak.
Eh?
Dia mengerutkan kening. Sibuk sangat ke sampai menolak terus tanpa bertanya
bila dan dimana?
From:
Muhammad H. Zulkarnain
To:
Anemone Putih
Sebab?
Dia pun bukannya lapang selalu tapi
memang betul ada perkara yang mahu dibincangkan. Penting. Okey, penting bagi
pihaknya tapi kalau diikutkan ada manfaat juga di pihak sebelah sana.
From:
Anemone Putih
To:
Muhammad H. Zulkarnain
Saya perlu adil terhadap semua
pembaca. Saya memilih untuk tidak dikenali. Saya minta maaf.
Hud
angkat kening tinggi. Aku tak baca pun buku kau! Okey, pembaca e-mel? Dia
menjulingkan mata ke siling dengan gelengan kecil tatkala mendengar suara minda.
Itu pun nak kira ke…
Dia
lantas menutup telefon, memasukkannya ke dalam poket seluar lalu menjemput lena
hadir menjelma.
SELESAI
bermesyuarat dengan klien di pejabat mereka, Hud terus pulang ke hotel.
Badannya dihempaskan ke katil sambil memeriksa telefon. Ada beberapa mesej
whatsapp dan e-mel yang masuk. Matanya lebih tertarik untuk melihat satu e-mel
yang baru masuk. Peti masuk dibuka.
From:
Anemone Putih
To:
Muhammad H. Zulkarnain
Hujung minggu ni pesta buku di
PWTC. Saya ada di sana pada hari Ahad. Dari pagi sampai petang. Pusing booth
dan Insya-Allah akan singgah di booth yang jual buku-buku tulisan saya. Mungkin
boleh berjumpa di sana. Kalau ada rezeki kita akan terjumpa tapi kalau tak,
mungkin kita hanya ditakdirkan untuk saling mengenali bukan bertemu.
Orang di pesta buku tu
beribu kot. Dahlah dia tu bukannya dinding duduk statik saja. Siap cakap lagi
akan pusing booth lain juga jadi
macam mana nak tahu yang mana satu? Perkataan terjumpa tu yang tak beragak tu.
Hud mengeluh panjang lebar di dalam hati.
Tak kisahlah. Bukannya
aku nak sangat pun jumpa dia.
Namun, hujung minggu
itu, entah apa yang telah membawanya ke ruangan penuh sesak dengan umat manusia
itu. Nasib baik juga dia datang dengan menaiki LRT kalau tidak mahu pening
pusing mencari tempat parkir dengan manusia seramai itu.
Hud tercegat di penjuru
booth. Mana dia ni? Yang mana satu?
Sudah tiga jam dia duduk melangut di tepi rak buku itu. Sudah berpuluh kali
juga orang tersilap ingatkan dia tukang jaga booth.
Kau
nak main-mainkan aku ke?
Matanya
terperasan akan kelibat seorang perempuan yang sedang berdiri di hadapan rak
buku sambil memlilih buku. Macam kenal. Macam mana tak kenal, sejak dari mula
dia sampai lagi gadis itu dilihatnya memilih buku bagai tidak sudah. Rambang
mata agaknya. Tidak tahu hendak dibeli yang mana satu kerana harga yang
ditawarkan begitu murah bak kata orang harga runtuh.
Eh,
tapi ni betul macam kenal. “Muna?” tegurnya. “Munawwarah?” Dahinya berkerut
sedikit. Macam ya tapi macam bukan. Munawwarah yang dia kenal bukan macam ni.
Munawwarah yang dia kenal tidak bertudung dan terlalu jarang berbaju kurung
apatah lagi berjubah. Dia tercengang terasa seperti melihat anak kucing memakai
kasut. Eh? Apa yang kau merepek ni Hud?
Gadis
itu berpaling. Matanya membulat. Macam kenal tapi takkanlah…
“Hud?” Seperti soalan
pula dia menyebut nama sendiri. “Saya Hudlah. Takkan kawan sekelas pun tak
kenal.” Orang lain yang dinanti, orang lain pula yang dia temui.
Munawwarah
tersenyum nipis. Memang kenal. “Err… buat apa dekat sini?”
“Tunggu
seseorang,”
“Ohh..
.” Dia angguk. Macam dapat agak siapa yang ditunggu. Hanimlah tu, siapa lagi.
Buah hati pengarang jantungnya.
“Seorang?”
Dia
angguk. Wajahnya ditahan agar tidak bertukar riak. Kenapa mesti terjumpa di
sini? Kenapa? Nanti sekejap lagi mesti orang yang ditunggu akan muncul. Tak
kuat rasanya hendak bertemu mata dengan gadis itu setelah bertahun dia berjuang
membuang rasa.
Kenapa mesti jumpa dia?
Kenapa setelah bertahun dan kenapa setelah dia sudah buang nama lelaki itu dari
hidupnya? Sungguh. Dia telah buang segalanya tentang lelaki yang telah
melukakan hatinya itu. Tiada yang tersimpan walau sebaris nama. Dan kini,
wajahnya kembali menghias layar mata. Segalanya tentang masa lalu harus diusir
pergi sebelum ia kembali menghantui.
“Saya
minta diri dulu.” Dia berlalu tanpa menunggu leabih lama. Biarlah, mungkin
bukan rezekinya hendak bertemu dengan Muhammad H. Walau pun sejak pagi dia
menanti tanpa pergi ke mana-mana. Meski didesak keinginan untuk melihat-lihat
buku di booth lain, dia tahan diri
kerana hendak menunggu Muhammad H tapi untuk kali ini; Maaf Muhammad H, aku tak
kuat. Sebab aku juga punya cerita.
Hud
sekadar memandang gadis itu yang telah berlalu demi menunggu orang yang masih
belum memunculkan diri.
Setelah hampir melepasi waktu Asar,
dia berlalu pulang dengan hampa. Ini memang betul dia dipermainkan atau takdir
yang tidak mengizinkan? Habis masanya dibuang begitu saja semata-mata untuk
mencari sesuatu yang tak pasti.
From:
Muhammad H. Zulkarnain
To:
Anemone Putih
Awak
datang ke tak tadi?Kenapa tak jumpa pun?
From:
Anemone Putih
To:
Muhammad H. Zulkarnain
Saya datang. Tak ada jodoh mungkin.
Nak bincang pasal apa?
Ayat-ayat
itu begitu mudah dicerna namun terlalu sukar diterima. Itu saja? Tak ada jodoh?
Dia ramas rambut menahan geram.
From:
Muhammad H. Zulkarnain
To:
Anemone Putih
Nak
minta tolong awak tuliskan kisah saya. Untuk saya jadikan kenangan.
Supaya awak boleh terus setia? Mahu
saja ditaip begitu tetapi dia tidak ingin menimbulkan perbalahan yang
berlanjutan. Hormatkan saja permintaannya.
From:
Anemone Putih
To:
Muhammad H. Zulkarnain
Kalau macam tu, apa kata awak e-melkan
saja kisah yang awak nak saya tulis. Tentang apa, siapa, di mana dan
sebagainya. Lagi menarik kalau gunakan latar yang sama. Senang untuk
dibayangkan.
Dan
bermula dari itu, e-mel demi e-mel antara Muhammad Hud dan Anemone Putih
hanyalah berkisarkan soal ceritera di sebalik teguhnya seorang Muhammad Hud
mempertahankan rasa. Padanya yang juga pernah terluka, ubatnya bukan pada
manusia.
KISAH
itu sudah pun menjadi buku. Kisah Muhammad Hud dan Hanim yang tidak kesampaian.
Kisah dua darjat yang mana harta yang menjadi pilihan. Kisah tentang luka
seorang Hud lantaran dikecewakan Hanim yang pernah berjanji hidup bersama hanya
kerana dia miskin harta. Kisah tentang setianya Hud pada Hanim. Kisah seorang
lagi Zainudin. Zainudin moden.
Kisah
itu, kisah yang menagih air mata yang mencarik ego seorang lelaki. Kisah itu,
tentang mereka. Namun kisah itu, kisah yang tidak lengkap. Kisah yang tanpa
Munawwarah yang mencelah di tengah-tengah perjalanan.
From:
Muhammad H. Zulkarnain
To:
Anemone Putih
Saya
pergi kedai buku tadi. Epilog jadi best seller. Tahniah.:)
Hud
menghantar mesej itu sambil duduk bersila di atas kerusi kayu di laman rumah.
Dia memerhatikan anak-anak jiran kawasan perumahan yang sedang bermain bola di
atas jalan. Petang hujung minggu yang aman tanpa kenderaan.
From:
Anemone Putih
To:
Muhammad H. Zulkarnain
Tahniah untuk awak sebenarnya.
Terima kasih untuk kisah yang begitu indah untuk dinukilkan tetapi terlalu
sakit untuk diimaginasikan. Tapi rasanya lagi sadis andai diselitkan nama Munawwarah
yang pernah awak patahkan hatinya dahulu. Tapi, kisah awak kan. Hak awak. J
Hud
sudah ternganga membaca balasan e-mel itu. Tiada pernah terduga yang sebaris
nama itu bakal muncul di antara dia dan Anemone Putih. Mana dia tahu pasal
Munawwarah?
From:
Muhammad H. Zulkarnain
To:
Anemone Putih
Macam
mana awak tahu pasal Munawwarah?
Sepi.
From:
Muhammad H. Zulkarnain
To:
Anemone Putih
Awak
kenal Munawwarah?
Tiada
balasan.
From:
Muhammad H. Zulkarnain
To:
Anemone Putih
Awak…
Munawwarah?
Orang di sebelah sana masih
membisu dan mungkin akan terus bisu.
Hud
capai naskhah Epilog di atas bantal di sebelahnya. Halaman paling belakang
dibelek.
Cinta pada manusia itu seperti
memancing. Kita letak umpan tapi belum pasti ikan akan makan. Ikan mungkin
makan tetapi belum pasti kita berjaya angkatnya ke daratan. Belum pasti jadi
milik kita.
Cinta pada Pencipta itu ibarat
menadah hujan. Semakin besar bekas yang ditadah semakin banyak air yang memenuhi.
Air yang bukan sekadar mendinginkan tetapi juga memberikan penghidupan. Tanpa
air, manusia kehausan.
Terlalu banyak yang dia
korbankan demi Hanim, namun yang dia dapat hanya luka yang tidak pernah sembuh.
Dia menarik nafas dalam. Mungkin sudah
detiknya dia berhenti. Berhenti berharap pada sesuatu yang tak mungkin dia
miliki. Dan mungkin, hadirnya Anemone Putih dengan izin Tuhan buat membuka
pintu hatinya untuk mula menadah hujan.
0 comments:
Post a Comment