LALANG
semakin meninggi melatari bumi. Sudah mencapai jendela sisi yang hampir rabak. Tumbuh
meliar tidak terjaga oleh kudrat manusia yang terbatas. Jasad uzur dimamah usia
bersandar lesu pada dinding dangau sambil menghirup secangkir kopi pekat
perlahan-lahan. Rutin yang sukar dihakis. Tabiat yang payah dikikis.
Hari-harinya
berlalu suram membawa harapan. Harapan yang tidak kunjung datang memaknai
kenyataan. Untuk berharap itu bukanlah salah. Tiada berdosa tetapi mudaratnya
tetap merebak andai tidak dirawat. Meski katanya orang harapan itu seharusnya
tiada terbatas. Namun kalau sudah menyeksa diri, menjerut hati sekian zaman
masihkah tegar dicambah dan dibaja.
Detik
masa terus menapak pergi meninggalkan waktu yang berlalu tiada terjejak lagi. Seperti
juga pondok usang tidak bercat itu. Letaknya sudah semakin tergugat dihambat
uzur. Tidak lagi seteguh dulu. Tidak mampu menjanjikan kesetiaan pada tuannya
untuk terus tegak bertahan menongkat tanah. Ia juga tahu lelah. Penat menampung
jerih badai dengan usia yang sudah lebih seabad. Seabad lebih bertahan dari
menyembah bumi tatkala dirempuh angin yang menyerang tanpa amaran. Menanggung
gigil dek hujan musim tengkujuh yang berkunjung saban tahun. Cekal menadah bahang
yang menggigit tatkala kemarau bertandang berbulan-bulan. Bertahan, demi bakti
pada tuan, dengan izin Tuhan.
Lelaki yang kian lemah
dimamah usia itu pula masih lagi setia menanti berteman sepi. Menunggu hari
berganti, minggu bertukar, tahun menyusul mengganti bulan dengan penuh
pengharapan yang tidak pernah pudar. Penantian yang semakin mampir ke
penghujung. Penghujung usia. Tanpa tahu realitinya bagaimana.
Ubi kayu di dalam mangkuk
dipandang sepi. Tiada selera hendak dijamah. Lebihan Air Kopi O di dalam cawan
yang masih berasap nipis disisipkan ke celah bibir. Sekadar membasahkan tekak.
Tanpa menikmati pahitnya seperti selalu.
Matanya menala pandang ke
tengah sawah yang baru lepas dituai beberapa hari lepas. Memerhati burung
bangau yang mula bertandang, bergerak perlahan mencari ikan. Kanta mata beralih
pula ke sudut lain. Dua orang remaja lelaki sedang menyauk ikan. Tanpa sedar
ada senyum tawar yang terukir. Terkenangkan zaman sebelum meningkat dewasa.
Zaman tanpa hirau hiruk pikuk dunia dengan masalah tanpa sudah. Tanpa peduli caci
maki manusia dengan persepsi tanpa batas.
Budak lelaki berdua itu
seakan terperasan diperhatikan. Saling bertatapan menghantar pesan melalui
renungan. Bersapa dari jauh, dalam bisu. Lama begitu. Membiarkan dimensi
mengambil alih ruang waktu bertemu.
MATANYA
merenung segenap rumah tidak bercat di hadapan mata. Tiang serinya kelihatan
lesu seakan tidak utuh lagi menampung atap. Atapnya pula seperti tidak sabar
lagi untuk mengaku kalah, tunduk menyembah bumi. Dindingnya yang berlubang di
sana sini seperti petanda bahawa teratak itu sudah tidak betah untuk terus berdiri.
Tidak terdaya untuk terus berbakti.
“Kuat
lagi ni.” Tangan yang penuh kedut dengan urat-urat kasar timbul itu menggoncang
perlahan tiang seri sambil mendongak memandang bumbung beranda.
Suara garau itu menarik
wajah anak muda di sebelahnya untuk berpaling ke sisi. Ada kerutan sedikit di dahi.
Dia merenung lelaki tua di sebelah penuh hairan. Kalau rumah yang hampir reput
ini yang dikatakan masih kuat agaknya rumah yang bagaimana yang boleh dikatakan
sudah tidak kuat?, fikirnya.
“Ini sahajalah rumah yang
ada di kampung ni. Itu pun kalau anak tidak sangsi dengan upayanya untuk terus menampung
musafir macam anak ni,” tambah lelaki lebih separuh dekat itu lagi. Dia
berpaling ke sisi merenung segenap paras anak muda di sebelahnya memancing
reaksi.
Tersentak anak muda itu
dengan ungkap kata warga emas di sebelah. Dia menelan liur kesat. Ah! Pak cik ni
seakan tahu apa yang dibicarakan di dalam hati.
“Adam. Pak Ali boleh panggil
saya Adam,” ujar Adam dengan senyuman nipis. Tidak pasti reaksi yang bagaimana
yang harus diberikan.
Pak cik ni rabunkah? Tidak
nampak yang rumah ini hanya menunggu masa untuk menjejak tanah! Paling tidak,
usai pak cik berpaling ke belakang hendak pulang ke rumah, ia sudah tumbang
menyentuh tanah! Hah! Tidak mungkin pula dia hendak berkata sedemikian sebagai
jawapan. Aduh, kusut pula fikirannya.
Pak Ali membalas senyum
sambil mengangguk. “Dekat pekan mungkin ada rumah lain. Jauh sikitlah dari
kampung ni. Itu pun kalau masih ada yang kosong,” terangnya lagi apabila
dilihat pemuda ini seakan masih berkira-kira. Kalau sudah tidak berminat untuk
apa dipaksa-paksa. Lagipun, dia sekadar hendak menolong bukannya ingin mencari
untung.
Pak Ali melangkah masuk ke
dalam rumah perlahan-lahan sambil diikuti oleh Adam. Ada senyuman kecil yang
terukir tatkala dia melihat ruang kecil di dalam rumah itu. Satu sudut kecil
ruang tamu tanpa apa-apa perabot. Hanya terdapat sebuah radio yang tampak usang
di satu penjuru. Dia melangkah pula ke bahagian dapur. Kecil saja. Mungkin tiga
orang dewasa sudah pun mampu menyesakkan ruang. Setelah itu, dia melangkah pula
menghampiri bilik tunggal berhampiran dapur. Ada sehamparan tilam dan gulungan
tikar di satu sudut.
Adam menarik nafas dalam. “Bolehlah
rumah ni.” Dia mengangguk seakan-akan cuba meyakinkan diri sendiri. Tiada
salahnya mengambil peluang ini. Peluang untuk dia belajar bersyukur lebih lagi.
“Err… sewanya berapa Pak Ali?”
tanyanya teragak-agak.
Pak Ali menggeleng. “Pak Ali
bukan tuan dia. Nak meletak harga tak layak rasanya. Duduk sajalah. Moga
menjadi amal jariah buat arwah,” tukasnya tenang. Kalau pun arwah masih ada,
pasti tiada nilaian mata wang yang dia hargakan. Dia tahu itu kerana kenangan
yang pondok ini punya jauh lebih mahal dari harta dunia.
“Sewa untuk bulan ini.
Dermakan dekat surau,” cadang Adam sambil menghulurkan dua keping not berwarna
hijau kepada Pak Ali.
Pak Ali merenung Adam
meminta kepastian. Anggukan daripada anak muda itu bersama senyum manis mencuri
ruang hatinya. Senyuman berbalas dan huluran bersambut.
KICAU
burung bernyanyi riang sambil menari-nari di ruang udara. Menghibur alam dengan
melodinya sendiri. Desir angin yang mengusik daun pula mencipta musik latar
yang mendamaikan. Adam mendongak memandang langit biru sambil memeluk lutut.
Matanya menyoroti tingkah burung yang menarik perhatian. Tangan kanan di bawa
menekup mulut. Batuk-batuk kecil kembali menyerang sejak dua hari lalu. Mungkin
kerana cuaca yang tidak menentu sejak seminggu sudah.
“Untung
kan jadi burung. Bebas terbang ke mana saja. Tak perlu fikirkan apa-apa masalah
macam kita ni.” Adam memecah sepi yang bermukim sejak setengah jam yang lalu. Matanya
kembali memandang ke tengah sawah.
“Apa
Adam rasa yang manusia ini tidak bebas? Burung-burung itu tiada mendepani
masalah?” soal Pak Ali berkias. Dia membetulkan sila yang sedikit lenguh.
Dipaut-paut jari jemari kaki yang mula diserang kebas.
Adam
terdiam. Dia menarik senyum meleret. Inilah yang membuatkan dia kagum dengan
bicara orang yang jauh lebih berusia. Setiap patah kata terselindung maksud
yang mendalam. Penuh makna.
“Tuhan
letakkan martabat manusia di tempat yang mulia. Lebih mulia dari makhluk lain,”
sambung Pak Ali lanjut. Masih dengan siratan maksud yang tak tersingkap tanpa
difikiri dan didalami maknawinya.
Adam
senyum lagi. Betul. Akuinya di dalam hati. Allah anugerahkan manusia nikmat
yang tidak Dia anugerahkan kepada makhluk lain. Akal fikiran. Namun, nikmat itu
pun manusia kadang terlupa untuk bersyukur apatah lagi nikmat-nikmat lain.
“Manusia,
terlalu cepat dibuai dunia. Lupa pada Yang Empunya. Suka berharap pada yang
tiada, terlupa dengan nikmat di hadapan mata.” Ada keluhan di hujung katanya.
Seperti mengimbau khilaf sendiri.
“Nikmat
sihat yang tak selalu kita endah.” Adam melengkapkan hujahan Pak Ali. Ada emosi
pada nadanya. Emosi yang terganggu. Terdera oleh kelatnya hakikat. Dia menarik
nafas dalam. Dapat dirasakan udara yang memasuki rongga pernafasan. Seketika, dia
menghembuskan nafas perlahan. Tingkah yang diulang beberapa kali. Cuba
menghambat rasa itu pergi. Batuk-batuk kecil sesekali bertandang memeritkan
ruang tekak. Demi sesungguhnya, perit di tekak tidak tertanding jerih di jiwa
yang menanggung beban tanpa nyata.
“Siapa yang abah cari dekat
kampung tu?” tanya Adam dari corong telefon.
Bumm! Bunyi itu tiba-tiba
menyambut pertanyaannya. Dia terdiam dan terkaku. Sepi mengambil alih ruang
waktu. Detik masa seakan terhenti pada titik sama. Lama begitu.
“Abah...”
Tanpa sedar esak kecil mula bertamu. Kenangan itu kembali menghantui.
Menghantar rasa berbisa ke relung hati. Sakit dipanah rindu. Rindu yang semakin
bernanah.
“Adam…”
Teguran Pak Ali menyentak sila.
Sisa air hangat di pipi dikesat
perlahan. Dia menarik senyum hambar sambil mengetap bibir menahan rasa.
“Jauhnya
termenung,” usiknya dengan tawa kecil.
Adam turut sama tertawa.
Senang dengan sikap ramah Pak Ali.
“Adam, boleh tolong pak cik
carikan Zahid?” Persoalan itu tiba-tiba mencuri ruang perbualan. Suasana sepi
mengisi ruang waktu untuk seketika.
“Arwah belum habis lunaskan
hutang untuk tebus tanah ini. Pak Cik ini hanya mampu membayar sepuluh ringgit
sebulan itu pun kadangkala tertunggak juga. Entah sempat terlunas entahkan
tidak,” tambah Pak Ali lagi. Sedar diri sudah menginjak usia tersisa yang mungkin
tidak sampai sesuku.
“Bagaimana
hendak dicari orang yang sudah tiada,” keluh Adam perlahan saja. Terlalu
perlahan untuk ditelah insan seusia Pak Ali. Pak Ali menjongketkan kening
bertanya.
Adam
menggeleng perlahan bersama senyum hambar. “Insya-Allah, Pak Akob pasti akan
jumpa anak dia balik. Allah dah aturkan cuma mungkin tempatnya bukan dunia.”
Pak Ali mengangguk
mengiakan. Mengenangkan sahabat yang sudah pergi menghadap Ilahi memang
mustahil pertemuannya di dunia.
“Cikgu
Adam…” Pak Ali senyum semasa menyebut panggilan itu. “Didiklah umat manusia dengan ilmu
pengetahuan. Insya-Allah akan jadi bekalan di akhirat kelak. Syaratnya kena
ikhlaslah. Kerana Allah semata-mata, bukan yang lain-lain.” Dia terdiam
seketika sebelum menyambung bicara. “Jaga amanah Allah baik-baik. Jangan jual
dengan apa-apa harga sekali pun. Apa pun kerja, bekerjalah untuk beramal kerana
ilmu yang paling bermanfaat adalah yang diamalkan. Macam Pak Cik ni sekolah pun
sampai darjah tiga saja. Tanam padi sajalah yang Pak cik tahu.” Pak Ali sempat
berseloroh di hujung kata. Adam tergelak mendengar seloroh Pak Ali
“Apa sebenarnya yang Adam
cari di sini?” soal Pak Ali tiba-tiba. Seakan mampu membaca kotak fikirannya.
Seakan mampu ditebak jiwa mudanya.
“Ketenangan.”
Sepatah sahaja jawapan yang terluncur dari mulut Adam. “Cari erti hidup.” Dia membesar
di tengah-tengah bandaraya yang punya seribu satu cerita. Cerita yang tersorok
di celah-celah kehidupan warganya, di sebalik konkrit-konkrit kemajuan kotanya.
Dia menjejak kampung, mencari tenang yang tiada dia jumpa di kota.
“Ilmu kehidupan itu tiada dipelajari
dalam mana-mana darjah atau tingkatan. Tiada dalam buku tulisan manusia. Dapat
dari pengalaman pabila Dia membuka hijab pandangan mata hati dan sanubari.
Terlakar indah dalam kitab suci yang layak diteladani oleh segenap kasta
masyarakat. Itu pun kalau manusia kisah untuk mencari.” Berkerut seribu dahi
Adam mendengar kenyataan Pak Ali. Akalnya ligat mencari makna yang tersirat di
sebalik kata-kata tersebut.
AKOB
berlari-lari anak mendaki tangga. Lari dari panas Matahari yang membahang. Di
perut rumah, emak sedang menghayun buaian anak kecil yang sedang terlena
didodoi puji puja buat Pencipta. Emak meninggalkan seketika cucunya lalu
manghampiri Akob apabila menyedari anaknya itu sudah pulang. Dia berdiri tegak
di hadapan Akob. Kepalanya terpaksa didongakkan sedikit untuk memandang segenap
penjuru raut wajah anak tunggalnya itu.
Uncang
di tangan kanan Akob melorot ke lantai menjamah kaki. Dia menikam anak mata
hitam pekat milik wanita di hadapannya. “Akob dah dapat duit untuk pembedahan
Zahid mak,” beritahu Akob teruja. Matanya bercahaya.
“Akob…
kalau polis datang tangkap, Akob akan masuk penjara tahu.” Emak memegang
kedua-dua belah bahu Akob. Mata yang sejak tadi menikam mata Akob mula berair.
“Dipenjarakan
seumur hidup sekali pun Akob sanggup. Demi Mak dan Zahid,” balas Akob perlahan
tapi penuh kejujuran.
Wanita
tua itu mencerun tajam memandang anaknya. “Apa kau sanggup menderhaka pada
Tuhan hanya kerana sayang pada manusia seperti aku ni? Apa yang aku punya
Akob?” bentaknya keras.
Akob
mengetap bibir. Terkesan dengan ucap kata wanita itu. “Akob buntu.” Dia
menunduk memandang lantai. “Tak sanggup rasanya kehilangan Zahid sebagaimana
Akob kehilangan ibunya dulu.” Matanya tutut sama menakung air.
“Kau
mungkin lupa, niat tak akan pernah menghalalkan cara, Akob. Duit yang kau
longgokkan ni duit haram! Sanggup kau guna duit haram untuk pembedahan anak
kandung kau sendiri?” Emak menyambung tegas.
“Jadi
Mak tolonglah bagi tahu Akob apa lagi yang Akob mampu lakukan?” Akob bertanya
lirih. Dia hanya seorang petani yang menanam padi pun di tanah yang disewa.
Sewa yang terkadang langsai kadang bertambah. Namun majoritinya, bertangguh
sekian musim. Apatah lagi duit simpanan. Langsung dia tiada sedangkan wang
belanja sehari-hari pun harus dicatu. Mujur saja dia menanam padi sendiri
paling tidak dapat merasa makan nasi berlaukkan garam.
“Gadai
rumah ni. Tanah ni.” Emak menyumbang solusi mudah pada kata namun payah pada
tindakan.
Akob
mengangkat wajah. Merenung segenap wajah tua itu. Lama. “Tak Mak! Selagi Akob
hidup Akob tak akan gadai tanah ni. Akob sanggup lakukan apa saja tapi tidak
mungkin menggadai satu-satunya tanah pusaka peninggalan arwah atuk ni.” Bantah
Akob tegas. Kecewa dengan emaknya yang begitu mudah menyerah kalah.
Jiwa
tegar emak terusik jua. Dia menahan rasa. Menahan air mata dari luruh. “Kau
lebih sayangkan tanah sekangkang kera dengan rumah yang dah nak roboh ni lebih
dari Tuhan kau ke Akob?” soalnya tegas.
Apa Akob ingat mudah baginya
untuk merelakan tanah dan rumah pusaka ini tergadai? Ini adalah satu-satunya
harta peninggalan arwah ayahnya yang membanting tulang empat kerat. Tapi untuk
menggadai maruah dan martabat diri dengan mencuri tidak sama sekali. Hilang
seluruh hartanya sekali pun dia sanggup.
Akob
kembali menunduk. Akur dengan kata-kata ibunya. “Di mana lagi kita nak tinggal
Mak kalau kita gadaikan tanah ni?” Dia merasakan dirinya gagal sebagai seorang
anak. Tidak mampu mempertahankan milik ibunya. Tidak mampu memberikan kehidupan
yang baik untuk zuriatnya.
Siren
kedengaran semakin mampir ke laman rumah. Akob dan ibunya saling berpandangan.
Kemudian pandangan beralih pula pada bungkusan di kaki. Dadanya Akob berombak
kencang. Bercampur baur. Takut dan resah, kesal dan risau.
“Bumi
Allah ni luas nak…” Akhirnya kata-kata keramat itu yang Emak ucapkan.
“Pak
Ali…” panggilan Adam mamatikan lamunan. Air mata yang tersisa di peluput dilap
rakus. “Apa yang jadi lepas tu?” soalnya lanjut.
“Mak
Ipah gadaikan tanah ini kepada Tok Kus lepas Pak Akob dipenjarakan.” Pak Ali
terdiam seketika. Merenung alam. Dia menarik nafas dalam, cuba memenjara rasa.
“Bila keluar dari penjara Pak Akob tebus balik tanah ni tapi Mak Ipah dengan
Zahid dah tak ada kat sini. Apa yang Pak Ali tahu, Zahid diberikan pada orang.”
Ada sebak yang tersisip pada akhir katanya.
Adam
menelan liur kesat. Dadanya berombak menahan sebak sebu. “Pak Akob tak pernah
cari mereka?” Getar suaranya menyerbu bicara.
Pak
Ali melepaskan keluhan berat. “Dia habiskan hayat dia dengan menanti dan
berharap.” Akhiri Pak Ali. Sebaknya tidak mampu dibendung.
“SUDAH
ketemu apa yang dicari?” Anggukan Adam memberi jawapan ringkas. “Tapi nampak
Adam macam masih tenggelam dalam soalan membukit.” Pak Ali bertanya lanjut.
“Bukan
soalan yang membukit tapi jawapan yang menghimpit.” Dia mencari asal usulnya,
susur galur nasabnya. Sudah dia ketemu namun kenapa masih ada sesal yang
menerpa?
“Itu
kerana kamu tidak ketemu jawapan yang kamu hendak.” Adam senyum menyambut
kata-kata Pak Ali yang umpama mampu membaca gejolak jiwanya.
“Pak
Ali, terima kasih banyak-banyak atas segala jasa Pak Ali selama saya berada di
sini. Tidak terbayar rasanya.” Beg sudah pun dimasukkan ke dalam bonet teksi. Adam
berdiri berhadapan dengan Pak Ali.
“Tak
mengapa. Bayaran untuk jasa dan bakti itu bukan hak manusia,” balas Pak Ali
bermadah.
“Maafkan
saya andai ada terkasar bahasa, atau terlanjur tingkah laku. Bertuah rasanya
dapat berkenalan dengan Pak Ali yang kaya dengan ilmu kehidupan ni.” Sebulan
setengah mengenali Pak Ali, terlalu banyak rasanya yang dia pelajari tentang
hidup. Hiduplah selagi bernafas. Salah satu pesanan Pak Ali yang sentiasa melekat
di ingatan.
“Subnahallah.
Tak layak rasanya mendapat pujian sedemikian rupa. Pak Ali ni sekolah pun tidak
habis Adam,” balas Pak Ali merendah diri. Dia menepuk mesra bahu Adam.
“Ilmu
kehidupan tidak dipelajari dalam mana-mana darjah.” Adam berhujah lancar. “Itu
yang Pak Ali pesan dekat anak murid Pak Ali ini.” Senyuman tersungging di wajah.
“Wah,
kalau macam ni, kamu akan lulus cemerlang Adam,” usik Pak Ali. Adam tergelak
menyambut kata-kata Pak Ali. “Senang-senang datanglah lagi. Rumah ini akan
setia menunggu dan tak akan keberatan untuk menyambut tamu,” tambahnya lagi.
“Insya-Allah.”
Adam tersenyum dan bersalaman dengan Pak Ali sebelum membawa tubuh kurus itu ke
dalam dakapan erat. “Saya balik dulu Pak Ali,” tuturnya perlahan di kuping
telinga Pak Ali. Sebak sebu semakin kejap memeluk hati.
“Adam ,” panggil Pak Ali perlahan. “Carilah
jawapan dalam sujudmu. Sujud yang padanya ada ketenangan dan kerehatan.” Pak
Ali berbisik ringkas sebelum meleraikan pelukan. Membiarkan Adam bolos ke dalam
perut teksi.
Teksi mula bergerak mengarah
haluan. Adam merenung ke luar tingkap.
Melihat hijau alam yang bakal ditinggalkan. Pokok-pokok yang menjulang tinggi
menghias bumi dan daunnya yang meliuk-lentok disapa angin. Bukit yang kebiruan jauh
sesayup mata memandang.
Dia tidak akan menoleh ke
belakang lagi. Cukuplah jawapan yang dicari selama ini memenjaranya dalam
jeriji masa silam. Dia ingin keluar dari belenggu kisah lalu yang memburu. Dia
tidak akan terus mengejar jawapan kepada soalan demi soalan yang semakin
memenuhi ruang tafsiran kerana ada tugas lain yang belum langsai yang mendesak
perhatian. Cukuplah kenyataan di hadapan mata yang menjadi jawapan. Cukup
setakat itu. Biarlah rumah usang di pinggir bendang itu terus begitu. Bertahan
selagi terdaya. Rebah andai sudah tidak kebah menahan duga. Walau tanpa
bertuan, tanpa berwaris.
...........................................
Belajar untuk matang dalam penulisan.
Andai ada yang sudi singgah. Andai ada yang sudi baca,
Mohon curi sedetik waktu, tinggalkan pesan tulus ikhlas dari hati.
Saya tidak impikan apa-apa melainkan kritik yang ikhlas buat saya.
Dalam apa jua cara. Apa jua susunan abjad yang bercantum membentuk kata.
Asal saja saya tahu,
Ia tulus dari jiwa.
Belajar untuk matang dalam penulisan.
Andai ada yang sudi singgah. Andai ada yang sudi baca,
Mohon curi sedetik waktu, tinggalkan pesan tulus ikhlas dari hati.
Saya tidak impikan apa-apa melainkan kritik yang ikhlas buat saya.
Dalam apa jua cara. Apa jua susunan abjad yang bercantum membentuk kata.
Asal saja saya tahu,
Ia tulus dari jiwa.
0 comments:
Post a Comment