Fatihah
masih termenung menikmati segar udara di bawah gazebo yang terletak di hadapan
blok R6 sementara menunggu kehadiran insan yang akan mejemputnya hari ini. Jam
tangan dikerling sekilas. Sudah hampir dua jam dia menunggu namun usah kata
batang hidung, bayangnya pun masih belum kelihatan. Fatihah mengeluh untuk
kesekian kalinya. Huh... inilah janji Melayu. Kata pukul empat, sekarang dah
dekat pukul enam masih tak jugak sampai. Keluh kesah hatinya berbicara.
Suasana di sekitar kolej kediaman kian
lengang dari sehari ke sehari memandangkan ada antara pelajar yang sudah pun
menamatkan kertas ujian terakhirnya sejak seminggu yang lalu. Fatihah sendiri
sudah tiga hari kertas ujiannya yang terakhir untuk semester lima selamat
dijawab. Entah terasa berat hatinya untuk menjejak banglo mewah itu lagi.
Serasa seakan tempat itu bukanlah untuknya. Jauh benar bezanya kehidupan mereka
dengan yang dia lalui selama ini.
“Kak Tihah, balik hari ni jugak ke?
Tunggu siapa?” Fatihah tersentak disapa seorang gadis manis berbaju kurung.
Fatihah lantas berpaling ke arah
gerangan yang bertanya sambil tersenyum. “A’a balik petang ni. Erm... tengah
tunggu sepupu...” Fatihah menjawab tenang biarpun hatinya kegusaran.
“Ok lah... Sha balik dulu...” gadis
itu meminta diri dan berlalu menuju ke arah sebuah kereta Waja berwarna silver.
Fatihah sekadar mengangguk sambil tersenyum. Gusar
hatinya memikirkan kalau-kalau ada sesuatu yang buruk menimpa sepupunya itu. Dia
sebenarnya sedang menanti kedatangan abang sepupunya yang tidak pernah dia
temui sejak pertama kali dia menjejakkan kaki di rumah itu kerana ketika itu
sepupunya itu berada di Sabah atas urusan kerja sehinggalah Fatihah kembali ke
asrama. Bagaimana agaknya rupa dia? Macam mana aku nak cam? Suara hatinya
berbisik lagi.
Telefon bimbitnya tiba-tiba berdering dan tertera
nombor yang cukup asing. Dengan perasaan yang curiga Fatihah menjawab panggilan
itu.
“Hello... aku dah sampai ni kau kat mana?”
kedengaran suara garau seorang lelaki. Fatihah mengagak itulah abang sepupunya.
“Erm... Tihah ada dekat bawah blok ni,” Fatihah
bersuara sambil matanya melilau mencari kelibat Luthfi, sepupunya. Seketika dia
terlihat seseorang sedang berdiri di sebelah sebuat kereta sambil berbual di
telefon. Erm... itu kot. “Ok. Tihah dah nampak abang...” Fatihah sekadar meneka
dan terus meluru ke arah lelaki itu setelah mematikan talian.
Fatihah berdiri betul-betul di depan lelaki itu.
Erm... kacak jugak sepupu aku ni. Hati
nakalnya berbisik. “Assalamualaikum, abang...” Fatihah terus menyapa sambil
tersenyum manis.
Lelaki itu menjongketkan kening dengan wajah blur. “Kita kenal ke?” lelaki itu terus
bertanya sambil telefon di telinga sudah pun melurut jatuh ke tanah. Terkejut
yang amat. Alahai... sejak bila pulak aku ada adik perempuan ni...
“Ini Fatihah lah bang sep...” belum sempat Fatihah
menghabiskan ayatnya seorang lelaki berkemeja biru sudah pun memegang lengannya
dari belakang. Fatihah yang kebingungan terus berpaling.
“Maaf encik dia tersilap abang...” lelaki itu terus
mengheret Fatihah mengikutinya menuju ke arah sebuah kereta yang terletak
berdekatan dengan gazebo yang Fatihah duduk tadi. Fatihah pun hairan macam mana
dia boleh tak perasan dan suspect orang yang salah. Buat malu saja.
“Tak pe. Sweet adik...” aku sempat menangkap
kata-kata terakhir lelaki yang aku sangkakan abang Luthfi tadi. Huh... gatai
no...
“Tahulah lelaki tu handsome tak kan sepupu depan
mata pun tak nampak. Menonong je jalan...” sempat lagi Luthfi memerli. Fatihah
hanya tersenyum kelat.
........................................
Fatihah leka menonton drama Merlin di kaca
televisyen. Rumah ini sentiasa sunyi di malam hari. Mana tidaknya, bapa
saudaranya yang dia panggil papa masih belum pulang dari kerja dan selalunya
hanya akan pulang bila jam sudah menunjuk pukul satu pagi. Luthfi pula, sama
saja tapi bezanya dia akan pulang ke rumah terlebih dahulu sebelum keluar
kembali setelah membersihkan diri. Liyana, adik bongsunya pula lebih kurang
juga tapi yang peliknya dia masih belajar di kolej jadi tak siapa tahu ke mana
dia menghilang. Keluar pagi, balik pun pagi, awal pagi.
Entahlah, kalau difikir-fikirkan makanan yang ada
dekat dapur itu kalau Fatihah tiada di rumah hanyalah untuk mak, pembatu rumah.
Sudah lebih dua puluh lima tahun mak berbakti di rumah ini. Mak tak punya anak.
Suaminya pula sudah lama meninggal dunia jadi katanya mungkin sampai akhir
hayatnya dia akan terus di sini.
Fatihah meneguk air nescafe perlahan. “Hai...”
sapaan mesra seseorang mengejutkan Fatihah yang sedang leka melihat Athur yang
kacak bergaya. Huh mamat jual karpet ke malam-malam ni. Fatihah membetulkan
tudungnya yang agak herot kerana berbaring tadi.
Dia tersenyum manis. “Ini mesti Fatihah kan?” Dia
sudah pun melabuhkan punggungnya di kerusi bersebelahan.
Fatihah membalas senyumannya. “A’a dan awak ni...
Luqman, betul?” Fatihah sekadar menduga. Tak kan orang jual kain pulak. Nak
kata perompak, memang tak lah. Muka suci je...
“Dah lama jejak tanah air?” Fatihah sekadar
berbahasa apabila mendapati yang Luqman kelihatannya lebih ramah untuk dibuat
teman bicara. Menurut kata mak, Luqman mengambil jurusan undang-undang. Bakal lawyer la kiranya. Jangan loyar buruk
sudah...
Dia mengangguk mengiakan. “Adalah dekat seminggu.
Awak baru sampai semalam kan. Macam mana exam?”
“Alhamdulillah... ok la tapi... tengok lah macam
mana,” Fatihah menjongketkan bahu. Tak tahu nak komen. Mulut memang lah boleh
kata macam-macam tapi hasilnya nanti tak tahu. Usaha sudah, doa pun sudah yang
tinggal tawakal sajalah.
“Mesti best
kan duduk oversea. Erm tak pergi
bercuti ke? Kawan-kawan saya yang
belajar dekat oversea semua sibuk
melancong. Katanya nak keliling dunia.” Fatihah makin rancak berceloteh. Sudah
lama dia tidak bersembang mesra dengan seseorang. Kalau dulu arwah nenek yang
setia melayan ceritanya namun kini dia sendirian dan itulah yang membawa dia ke
sini. Ke rumah agam yang indah namun terselit cerita yang tersendiri.
Luqman tersenyum nipis. “Dah lebih dua tahun saya
tak balik. Cuti sem yang sebelum ni saya memang pergi melancong pun...” dia
berhenti sebelum menyambung. “Awak teringin nak pergi melancong ke?” dia
bertanya sambil menjongketkan kening.
“Kalau nak pun bukannya ada orang yang nak bawa...”
Fatihah bersuara seakan mengeluh atau lebih tepat mengadu.
“Awak kahwin lah dengan pilot, confirm dapat
melancong tiap-tiap tahun...” Luqman sempat bergurau.
Erk! “Masalahnya tak ada pilot yang nak mengurat saya...” Fatihah bersuara geram. Huh kalau
dah lawyer tu loyar jugak.
“Erm... awak bagi tahu saya satu tempat yang awak
teringin sangat nak pergi, nanti kalau ada rezeki saya bawa awak ke sana...”
Luqman mengangkat-angkat keningnya.
Comel la pulak sepupu aku ni. Tapi boleh percaya ke?
Dia nak bawak aku? Haha apasal rasa kelakar pulak ni. Hati Fatihah masih rancak
berbicara.
“Betul ni?” Fatihah sekadar menduga.
Luqman masih tersenyum. “Insya-Allah... tapi satu je
lah...”
“Erm... tapi kalau nak ke sana saya kena pergi
dengan husband saya...” Fatihah
memberi jawapan yang berkias.
Huh... nak pergi honeymoon
ke apa budak ni. Siap nak bawak husband
bagai. Kalau dia sorang tu boleh lah aku nak sponsor tapi kalau nak bawak hubby...
erk tak hendak la aku buat sakit jantung saja. Luqman mengerling ke arah
Fatihah yang tersenyum simpul. Hai tengah ingat pak we ke apa pulak dia ni.
Tengah berangan la tu...
“Macam mana boleh tak?” Fatihah bertanya inginkan
kepastian. Erm... macam dah confirm
jawapan dia tapi saja inginkan kepastian.
Luqman menggaru-garu kepala yang tak gatal. “Erm...
maaflah bajet ciput boleh bawa awak sorang je tapi boleh kot kalau...” Luqman
tersenyum penuh muslihat.
Fatihah mengerutkan kening. “Kalau...?” dia bertanya
curiga.
“Kalau saya yang jadi husband awak...” Luqman bersuara selamba.
Fatihah sempat terbatuk kecil. Kecil tapak tangan...
court tenis saya tadahkan... suara
hati Fatihah sempat berseloroh. “Awak? Erk... tak nak lah kahwin sepupu, tak
berkembang zuriat...”
Huah... Fatihah pura-pura menguap. “Tak pe lah saya
masuk tidur dulu. Selamat malam...” Fatihah berlalu ke biliknya yang berada di
tingkat bawah. Budak lawyer ni kalau makin dilayan makin banyak pulak loyarnya.
Baik dia blah cepat.
.........................................
“Hai Yana... tak keluar ke hari ni?” Fatihah yang
sedang menonton televisyen di ruang tamu menegur mesra Liyana yang baru datang
dari dapur. Dia sempat mengerling jam di dinding. Sudah pukul 12.00 tengah
hari. Selalunya sebelum jam menganjak ke pukul sepuluh dia sudah tak nampak
batang hidung.
“Eh, Kak Tihah... keluar... lambat sikit,” Liyana
menjawab sambil tersenyum dan melabuhkan punggung di sofa bersebelahan.
Fatihah merenung Liyana sejenak. “Akak percaya yang
Yana boleh jadi diri kan...” Dia tersenyum.
“Ya... akak janganlah risau. Biasanya kalau Yana
balik lambat tu Yana buat group discussion atau study group. Don’t worry ok.” Liyana menjawab tenang
walau pun dalam hati seakan menyumpah. Huh kalau dah menumpang tu buat lah cara
menumpang. Jangan nak sibuk hal orang. Duduk sini tak sampai sebulan dah naik
tocang. Papa pun tak pernah ambil kisah yang kau nak peduli apa hal. Apa pun
dia tetap memaniskan wajah dalam keterpaksaan.
Nak tak nak Fatihah terpaksa iyakan walaupun alasan
yang diberikan langsung tak berasas. Group
discussion apakah sampai pukul 3,4
pagi? Entahlah, hendak dinasihat lebih-lebih dia hanya menumpang lagipun Liyana
ni jenis yang dominan dan manja. Susah nak ditegur. Apatah lagi papanya terlalu
sibuk dengan perniagaan sampai anak-anak terabai.
“Ok lah kak, Yana nak bersiap.”
“Ok... take care...” Fatihah tersenyum sambil
matanya menghantar Liyana sampai kelibatnya menghilang di sebalik pintu. Huh...
untuk kesekian kalinya dia mengeluh.
Kalau tak disebabkan papa yang berkeras meminta dia
untuk tinggal di sini sudah pasti dia akan terus tinggal di kampung walaupun
sendirian tanpa nenek. Nenek baru sebulan lebih meninggalkan dunia. Mak...
sudah lama kembali pada Pencipta. Ayah? Entah. Dia sendiri tak tahu siapa
ayahnya. Anak tak sah taraf... mana ada ayah. Kata orang... dah kalau tak ada
ayah macam mana dia boleh lahir? Huh...
“Hai Sis... papa tak balik lagi?” Fatihah tersentak
dengan teguran yang tiba-tiba. Dia mengerling ke sofa sebelah.
Fatihah tersenyum. “Hai... tak. Katanya tiga minggu
dekat Indon lepas tu nak ke Dubai pulak. Ni apasal muram je ni?” Fatihah
menjongketkan kening melihat kekeruhan di wajah Luqman.
“Saya risau
tengok Afi... susahlah. Orang tegur dia marah balik...” jelas kedengaran
kerisauan yang bersarang di jiwanya.
“Dia mabuk lagi ke semalam?”
“A’a... ada masalah la tu.”
Fatihah memandang tepat wajah Luqman. “Saya rasa...
awak patut lebih risaukan Yana...”
Luqman berpaling ke arah Fatihah. “Kenapa dengan
dia?” dia bernada risau.
“Awak tak perasan ke yang dia selalu balik awal
pagi...”
Huh... Luqman mengeluh perlahan. “Dia tu susahlah
degil... manja... tak boleh nak tegur. Kalau tegur lebih-lebih kan terus tak
balik pulak. Lagi haru...” dia mengomel. Memang betul pun. Dia bukannya tak
pernah nasihat baik-baik tapi tak diendahnya. Kalau berkasarkan ada lah yang
nak merajuk bagai. Huh...
“Awak kan abang... kenalah tengok-tengokkan dia tu...”
Luqman merenung anak mata Fatihah. “Sis... boleh tak
janji dengan saya yang awak akan tolong saya...” dia bersuara mengharap.
Fatihah hanyut dengan renungan itu untuk seketika
sebelum kembali ke alam nyata. Ya Allah... “Insya-Allah kita sama-sama...” dia
membuang pandang ke arah lain.
“Kalau saya dah tak ada, Sis tolong jaga keluarga
kita ya...” Luqman bersuara sambil menunduk.
...............................................
Fatihah asyik menyiram pokok bunga yang mekar di
taman di hadapan rumah. Cantik. Bungaan yang pelbagai warna menyerikan taman
mini di laman ini. Memang tangannya menyiram bunga namun akalnya sedang
melayang entah ke mana.
“Awak ni tua dari saya kan. Erm... kiranya saya kena
panggil akak lah ni.” Luqman memecah kesepian semasa mereka sama-sama keluar
berjoging petang semalam.
Fatihah pantas memalingkan wajah memandangnya. “Eh,
bukan kita ni sebaya ke. Awak lahir tahun 1989 kan?” Fatihah bertanya inginkan
kepastian. Setahunya papa cakap Luqman ni sebaya dengan dia.
“Tak. Arwah mama cakap awak tujuh hari lagi tua dari
saya...” Luqman bersuara selamba.
Huh... Fatihah mengeluh mendengar ucapannya. Kalau
dah laywer to loyar jugak. Suka hati kau lah Luqman. Tapi memang betul pun
Fatihah dilahirkan tujuh hari lebih awal daripada Luqman dan tempat lahirnya...
di dalam tandas sekolah. Mengenangkan itu Fatihah kembali mengeluh.
“Mengeluh sakan nampak. Tak mengaku tua la tu...”
Luqman bersuara mengejek.
“Eh. Hello...
awak tu yang perasan muda.” Fatihah bersuara geram. Paku dulang paku serpih
mengata orang dia yang lebih... ha kan dah terkeluar peribahasa.
Haha... Luqman ketawa riang. Sangat manis pada pandangan
mata Fatihah. Dia ralit melihat Luqman tertawa. Entah kenapa hati seakan
tertawan. Tak! Tak boleh. Kami sepupu. Kami dah macam adik-beradik. Luqman
sendiri yang cakap. Kami seperti adik-beradik. Fatihah cepat-cepat menyangkal
apa yang ada di fikirannya.
“Ok... apa kata kalau saya panggil Sis Fatihah...
Tak lah saya rasa muda sangat nanti...” Luqman bersuara selamba lalu terus
berlari meninggalkan Fatihah yang masih bengang. Huh ada hati nak mengaku muda.
Aku ni kalau cakap tingkatan dua pun orang percaya tau. Hati kecilnya mengeluh.
Tanpa Fatihah sedari senyuman terukir mekar di bibir.
“Amboi... sampai ke ISS dah ke?” Fatihah tersentak.
Aik... rasanya masa scene tu tak ada la pulak dialog yang macam ni dalam skrip.
Hai bila masa pulak ubah skrip ni.
“Woit...”
Huh... Tiba-tiba Luthfi muncul di depan mata.
Fatihah terkejut dan tanpa dia sedari air terpancut ke arah Luthfi.
“Woit... basah baju aku!” Luthfi bercekak pinggang.
Fatihah sekadar tersengeh. “Sorry, kau tu hah datang
macam pelesit.” Fatihah seakan mengomel.
Ha budak ni lagi sorang. Aku panggil abang dia marah
sebab katanya dia sebaya dengan aku. Haish memang padanlah dua-dua perasan muda
atau... tak mengaku tua. Mereka dilahirkan pada tahun yang sama tetapi bulan
yang berbeza. Luthfi dilahirkan pada 1 Januari 1989 manakala Fatihah dilahirkan
pada 21 Disember 1989 dan Luqman pada 28 Disember 1989.
Di sekolah, Luthfi didaftarkan setahun lagi awal
jadi kalau Fatihah dan Luqman darjah satu dia darjah dua. Itu sebabnya semua
orang ingatkan dia tua setahun dari Luqman tapi rasanya kalau dihitung memang
dekat 365 hari jugak la cuma dia saja yang tak boleh terima kenyataan yang diri
tu tua.
“Amboi mengata orang... yang kau ni tengah
berangankan siapa sampai aku yang macho ni berdiri kat sebelah boleh kau wat
dek je...”
“Ingatkan adik kau lah...Ops...” Gulp... Fatihah
menelan liur. Alamak macam mana boleh terkantoi ni. Harap-harap dia tak dengar.
“Adik aku... Luqman? La... kau suka Luqman ke?
Apasal tak cakap awal-awal boleh aku masuk line. Aku pun memang suka kau jadi
adik ipar aku...” harapan tinggal harapan. Luthfi mendengar dengan sangat
jelas.
“Eh, mana ada. Aku tengah fikir mana Liyana pergi
tak balik-balik lagi. Isy kau ni, kita ni dah macam adik-beradik lah...”
Fatihah cuba menghilangkan debar di dada.
“Macam...” Luthfi bersuara sinis. Tapi bukan...
masih sempat menyambug di dalam hati. “Yana tak balik sejak bila?” dia
bertanya. Risau juga kalau jadi apa-apa dekat adik perempuan dia yang sorang
tu. Tak lekat di rumah. Dah dilarang tapi tetap degil. Ikut perangai siapa
entah.
“Err... pagi tadi...” Fatihah tergagap-gagap.
Alahai...
Luthfi merenung Fatihah tajam. “La... bukan memang
selalunya dia pergi pagi balik malam ke...” Dia mengerutkan kening. Alah kau
jangan nak bohong aku lah Fatihah. Aku boleh nampak lah macam mana kau gelabah
bila Luqman tu pandang kau.
Timbul niat nakal di hati Luthfi. Dia merebut getah
paip dari tangan Fatihah dan memancut air ke arah Fatihah. Apa lagi berkejaranlah
mereka mengelilingi laman sementara ada mata yang memerhati di balik langsir
tingkap biliknya sambil tersenyum hambar.
...............................................
Luthfi sedang leka memberikan makanan kepada
ikan-ikan di dalam kolam. Luqman pula sekadar memerhati sambil menghirup teh
yang dihidangkan oleh mak sekejap tadi. Kuih karipap pula disuapkan ke mulut.
Wah bestnya...
“Dah lama kan kita tak borak-borak macam ni,” Luthfi
memecahkan kesepian yang bertamu.
“Kau tu yang sombong sangat...” Luqman bersuara
selamba sambil mengunyah sisa karipap di dalam mulut.
“Alah aku saja nak tengok sejauh mana kesabaran kau
dalam memujuk aku.” Luthfi tersenyum kecil.
“Ek eleh tak ada maknanya aku nak pujuk kau lah.
Buang karan je... tapi aku curious
macam mana kau boleh lembut hati tiba-tiba ni...” Luqman bertanya kehairanan
kerana setahunya Luthfi ni seorang yang berhati batu.
“Fatihah...” Luthfi menjawab sepatah.
“Fatihah?”
“Kau tau bila aku cerita dekat dia macam mana kita
boleh gaduh dengan selamba badaknya dia cakap... Kenapa lah bodoh sangat korang
ni...” Luthfi memulakan cerita.
Luqman melopong mendengar kenyataan dari Luthfi. “Hah?
Dia cakap macam tu? Dahsyat jugak mulut adik kau tu...” Dia
menggeleng-gelengkan kepala seakan tidak percaya.
“Kenapa lah bodoh sangat korang ni...” Fatihah
bersuara sambil mengeluh.
“Woit... cakap siang pandang-pandang, cakap malam
dengar-dengar la...” Luthfi kurang senang dengan kenyataan Fatihah yang terlalu
berterus terang. Aku dikatanya bodoh... hampeh punya sepupu. Kalau bodoh boleh
ke jadi graduan universiti. Huh...
“Cakap petang?” Fatihah masih dengan usikan nakal.
“Tengok, orang cakap bodoh marah tapi nak cakap cerdik tak. Yang pergi gaduh
bagai nak rak sebab perempuan tak guna tu apasal. Tau tak kalau gaduh sampai
tak cakap tiga hari pun dah berdosa tau yang kau dengan dia ni dah berapa tahun
tak cakap?” dia bersuara tegas.
“Amboi... ni sesedap rasa je cakap perempuan tu tak
guna ni apa kes?” memang dahsyat la bahasa minah ni.
Perempuan tak guna kata Luthfi... couple dengan
Luqman dan pada masa yang sama bercinta dengan Luthfi. Satu hari terkantoi dan
meletuslah perang dingin antara adik-beradik seibu sebapa...
“La kau jugak cakap tadi... Perempuan tak guna tu
dah bodohkan aku... ingat tak? Ha... jadi kesimpulannya, kau yang bagi jolokan
tak guna tu pada perempuan tu dan bodoh tu pada diri kau...” Fatihah sempat
menjelirkan lidah selepas menuturkan kata-kata itu. Luthfi hanya memandang
sambil menggaru-garukan kepala.
“Woit... sempat lagi kau berangan ya. Ingatkan budak
tu la ni...” Luqman bersuara sambil mengibas-ngibaskan tangannya di depan wajah
Luthfi. “Kau ni... ada hati dengan dia ke?” dia bertanya serius.
“Wo... aku dah ada awek la wei. Dia tu macam adik
aku je...” Luthfi berbicara jujur.
Macam... tapi bukan... hati Luqman masih sempat
berbisik. “Awek kau tu perempuan spisis macam dulu jugak ke?” Luqman masih
menunggu reaksi Luthfi namun hampa. “Kau ni bila nak berubah? Buang masa, buang
duit...”
“Luq... tolong jangan mulakan...” Luthfi terganggu
dengan apa yang bakal dikatakan oleh adiknya. Dia jadi rimas. Entahlah. Sudah
terlalu lama dia hidup dengan dunianya yang ‘indah’. Dia hanyut oleh keindahan
dunia dan itu membuatkan dia bahagia. Bahagia... pada tafsiran sekeping hati yang
kekosongan.
...........................................
“Tihah...” Luthfi bersuara lembut semasa mereka
sama-sama menonton televisyen. Fatihah yang duduk di sofa yang agak jauh
darinya berpaling sambil menjongketkan kening. “Thanks...” ucap Luthfi sepatah.
Fatihah menghadiahkan senyuman. “Tapi kau janji nak
berubahkan...” dia mengingatkan akan janji Luthfi semasa dia merayu meminta
Fatihah membantunya mengayat seorang awek cun.
Gadis tu satu tempat kerja dengan Luthfi dan baru
saja mula kerja sebulan. Satu yang merungsingkan Luthfi bagaimana dia ingin
memiliki seorang gadis cantik, bijak dan bertudung labuh! Sedangkan dia seorang
yang... hampeh... solat pun tidak...
“I’ll try...” dia bersuara lemah.
Fatihah sekadar mengeluh. Cuba... ok lah daripada
tak buat langsung. “Arak tu best
sangat ke?” dia bertanya tiba-tiba. Sengaja ingin memancing reaksi.
Luthfi mengerutkan kening. Hai... mengidam ke apa. “Apasal?
Teringin? Tak payahlah. Kau budak baik...” Luthfi bersuara mendatar.
Huh cakap kat orang tak payah minum... yang kau
pergi teguk macam tak pekena air setahun tu apasal. Hati kecil Fatihah
merungut. Nak ubah orang perlukan kesabaran yang sangat tinggi. Tak sanggup
lagi dia melihat saudaranya, darah dagingnya terus hanyut. Entah. Tak tahu
siapa yang patut dipersalahkan. Luthfi sudah cukup dewasa untuk menilai antara
putih dan hitam, yang baik dan buruk.
“Daripada aku minum air yang dah sah-sah haram tu
baik aku minum jus anggur. Dah kau ni pun. Boleh mati ke kalau tak minum air
setan tu? Asal ada masalah je minum. Bajet masalah boleh settle. Itu bukan
selesaikan masalah tapi lari dari masalah...” Fatihah bersuara tegas. Geram pun
ada. Sudah berbuih agaknya mulut si Luqman tu bagi nasihat yang habis lembut
tapi sudahnya dia jugak yang kena tengking. Jangan sibuk boleh tak! Huh...
“Dah kau emo sangat ni kenapa?” Luthfi bertanya
selamba.
“Perempuan yang baik untuk lelaki yang baik. Alia tu
budak baik.” Fatihah sekadar mengingatkan akan janji Allah. Dia yakin dengan
janji itu. Tapi satu hakikat yang tak boleh disangkal, baik pada mata manusia
bukan bererti baik pada pandangan Allah...
Satu yang kau tak pernah tahu, orang yang telah
membuka mata aku untuk menilai diri dan melihat dengan mata hati untuk berubah
namanya bukan Alia tetapi Fatihah Binti Abdullah... Luthfi sekadar berbisik di
dasar hati.
Namun Fatihah kurang bersetuju kerana Luthfi ingin berubah
disebabkan ingin memiliki seorang gadis yang berjaya mengetuk pintu hatinya.
Tapi siapa kita ingin menilai hati orang. Mungkin ini cara Allah memberikan dia
hidayah. Alhamdulillah... “Satu je aku nak pesan... berubahlah kerana Allah
k...” Fatihah mengingatkan.
“Kenapa kau ambil berat sangat pasal aku?” Luthfi
bertanya sambil merenung wajah Fatihah dalam.
“Aku sayangkan saudara seagama aku...” Fatihah
menarik nafas dalam. “Ha mulai hari ni kau belajar minum jus kalau ada masalah.
Lagi best. Sekarang kau cakap je nak jus apa aku buatkan. Jus oren, apple,
anggur, mempelam, nenas, tembikai... semua ada...” Fatihah tersenyum sambil
menjongketkan kening.
“Aku nak... jus...” Luthfi seakan sedang berfikir.
“Jua apa?” Fatihah bertanya. Hait jangan mintak jus
durian sudah...
“Jus... jus mate 5?”
“Ok...” Fatihah bangun dari kerusi dan berjalan
menuju ke dapur. Belum pun kakinya menjejak dapur... “Eh...” dia seakan
terfikirkan sesuatu. Kakinya berhenti melangkah. “Woit...” dia berpaling namun
Luthfi sudah tidak kelihatan. Yang kedengaran hanyalah ketawa sumbangnya dari
dalam bilik.
................................................
Fatihah berjalan menuju ke dapur
apabila terasa dahaga. Runag tamu kelihatan kosong. Hai rumah macam tak
berpenghuni. “Assalamualaikum mak.... Luq...” Fatihah menegur setelah melihat
mereka berdua sedang rancak berborak di meja makan.
“Ok lah mak... Luq nak keluar ambil
angin kejap...” Luqman lantas mengangkat punggung dan berlalu ke laman.
Fatihah sekadar memerhati. Hatinya
pilu. Entah kenapa Luqman seakan ingin lari darinya. Dia sendiri tak pasti
apakah kesilapannya. Bertambah pilu bila hatinya mula terselit rasa yang tak
pernah dia alami terhadap lelaki itu. Ahh... tak boleh!
Luqman duduk bertinggung di atas
buaian yang tersedia. Dia merenung langit yang cerah dihiasi bintang yang
berkerlipan menemani bulan penuh.
“Kenapa sejak akhir-akhir ni saya tengok awak macam
nak lari dari saya?” suara Fatihah mematikan anganan di fikiran Luqman. Haish
minah ni ikut aku ke hapa.
“Mana ada...”
“Sejak dua tiga hari ni awak mengelak dari saya.
Semalam orang ajak makan kata dah kenyang tapi yang bangun pukul tiga pagi
makan nasi tu apa?”
Luqman berpaling melihat wajah serius Fatihah. Huh
macam mana dia tahu ni?
Fatihah mengeluh perlahan. “Awak cakap kita macam
adik-beradik tapi kenapa nak jauhkan diri?” Fatihah masih cuba memancing reaksi
Luqman. Sudah dua tiga hari mereka tak bertegur sapa. Entah naik pening Fatihah
memikirkannya. Nak kata gaduh rasanya tak ada pulak.
“Tapi hakikatnya kita bukan adik-beradik...”
kata-kata Luqman seakan menyentak emosi Fatihah. Hari tu dia jugak yang
beria-ia mengaku yang kami ni macam adik beradik tapi sekarang macam nak
larikan diri pulak.
“Betul kan apa yang saya pernah cakap. Saya ni tak
layak nak berkawan dengan sesiapa. Tengoklah awak pun dah benci sangat dengan
saya agaknya.” Fatihah bersuara sayu, sesayu perasaannya kala ini. Silapnya dia
kerana mula merasai sesuatu...
“Bukan macam tu... awak tak faham...” Luqman
mengeluh. Tak ada sebab untuk saya benci awak Fatihah. Awak baik. Baik sangat.
“Saya sedar siapa saya... Terlahirnya saya ke dunia
ini kerana satu kesilapan...”
“Tapi kesilapan itu bukan datangnya daripada awak...”
Luqman membetulkan tanggapan Fatihah. Selalu saja gadis ini mengatakan
sedemikian. Lahir disebabkan satu kesilapan.
“Tapi saya yang menanggung dan akan terus menanggung
akibat dari kesilapan tu...” Fatihah menekan nada suaranya. Memang mak dan ayah
yang entah siapa yang bersalah sehingga terlahirnya dia ke dunia tapi dia yang
menerima hinaan dan kejian. Adilkah? Hatinya merintih.
Awak terlupa sesutau Fatihah... Terlahirnya awak ke
dunia ini atas kehendak Pencipta kita dan kesilapan itu adalah penyebabnya.
Awak tak salah. Awak mangsa keadaan. Mangsa pada kerakusan manusia dengan
keindahan dan keseronokan duniawi... Luqman mengalihkan pandangannya ke dada
langit.
“Saya buat semua ni bukan sebab tu. Saya cuba
jauhkan diri dari awak sebab... Saya cuma...”
“Mungkin awak
lebih senang kalau saya tak ada kat sini...” Fatihah berlalu meninggalkan
Luqman.
Luqman meraup wajah. Fatihah...
...........................................
“Saya minta maaf...”
“Saya faham... terima kasih...”
“Maaf ya. Assalamualaikum...”
“Waalaikumussalam...” Fatihah mematikan talian
lantas mengeluh berat. Macam mana aku nak bagi tahu dia? Ya Allah...
Tergambar di benaknya saat pertemuan pertama kalinya
dengan gadis itu, gadis yang bernama Alia.
“Assalamualaikum... awak ni Alia kan?” Fatihah
tersenyum manis memandang gadis berbaju kurung ungu di depannya. Manis! Bisik
hatinya.
Gadis itu mengerutkan kening. “Waalaikumussalam...
Ya... maaf mungkin saya terlepas pandang, kita kenal ke?” Dia turut mengukir
senyum segaris.
“Sebenarnya awak tak kenal saya tapi saya kenal
awak. Erm... saya Fatihah, adik sepupu Luthfi.” Fatihah menghulurkan tangan.
Huluran tangannya bersambut disusuli senyuman yang sedikit hambar di bibir
gadis yang bernama Alia.
“Saya tahu, awak susah nak terima dia kan, tapi saya
minta tolong sangat dengan awak. Tolonglah bagi dia peluang.” Fatihah bersuara
merayu. Dia tahu ini salah sebab hati memang tak boleh dipaksa tapi
sekurang-kurangnya dia nak lihat perubahan pada diri Luthfi dan perubahan itu
semakin kelihatan walaupun sekelumit cuma.
“Saya impikan seorang suami yang boleh membimbing
saya dan anak-anak saya. Khalifah pada keluarga saya...”
“Maksud awak dia tak layak untuk jadi khalifah pada
keluarga awak?” Fatihah pantas memotong.
“Bukan itu maksud saya. Tapi kalau awak sendiri,
mesti awak nak lelaki yang boleh memimpin awak ke syurga kan?” gadis yang
bernama Alia itu menutur lembut. Tenang sekali.
“Saya faham tapi pernah tak awak terfikir, siapa pula
yang akan memimpin lelaki seperti dia untuk kembali ke pangkal jalan kalau
bukan perempuan seperti awak, sebaik awak? Awak rasa dia layak untuk siapa?
Awak rasa perempuan kelab malam yang selalu dia jumpa tu boleh ke tolong niat
baik dia untuk berubah? Alia... dia perlukan seseorang untuk menunjukkan dia
jalan ke syurga...”
“Tapi kenapa saya?” keluhan kecil dilepaskan.
“Setiap soalan pasti ada jawapan dan jawapannya ada
pada Dia. Saya tak paksa. Awak tanyalah Dia, Dia lebih tahu...” Fatihah terdiam
seketika. “Setidak-tidaknya, awak tolong bantu dia, boleh?” Fatihah meraih
tangan Alia dan menggenggam lembut mengharap pengertian.
........................................
Usai bersolat Subuh Fatihah melipat telekung dan
menyidainya. Dia menyisir rambut ikalnya sambil menatap seraut wajah yang
kelihatan pucat. Ya Allah... kenapa aku ada di sini? Bunyi pintu dibuka
mengejutkan dia. Siapa baru balik Subuh ni? Luqman baru balik dari surau kut...
Persoalan yang terbit di dasar hati tak berjawab.
“Fatihah!” kedengaran nyaring suara yang memanggil
namanya. Tersentak dia. Fatihah mencapai tudung sebelum keluar dari bilik.
“Ya Allah... kenapa ni Afi?” Fatihah mendekati
Luthfi yang tersadai di sofa dengan keadaan yang tak terurus. Fatihah menekup
hidung apabila terbau sesuatu yang kurang menyenangkan. Bau ini... Ya Allah...
Luthfi apa kau dah buat ni? Kau kata nak berubah...
Luthfi berdiri berhadapan dengan Fatihah dan
merenungnya tajam. Dia kelihatan terhuyung –hayang. “Kenapa kau tipu aku? Kau
cakap dia terima aku tapi kau tahu tak dia dah bertunang tadi! Kau sengaja kan
nak mainkan perasaan aku. Manusia jenis apa kau ni hah? Kau sanggup kan tengok
aku kecewa, sakit hati. Sekarang puas hati kau? Puas?” Luthfi bersuara keras
sehingga bergema suaranya di segenap ruang banglo itu. Dia kembali terduduk di
sofa kerana keadaannya yang tak stabil.
Fatihah terkaku. Matanya merenung Luthfi tak
berkelip. Dia menarik nafas dalam. “Aku buat semua ni sebab aku sayang kau. Aku
sayang kau macam abang kandung aku. Aku nak kau berubah. Tapi... kalau kau tak
boleh nak sayang diri kau sendiri pun tak guna jugak!” Fatihah terus berlalu
memasuki biliknya.
Luthfi meraup wajahnya beberapa kali. “Aku dah dapat
jawapannya Fatihah...” dia bersuara perlahan. Matanya tertacap pada seseorang
yang berdiri berhampiran tangga yang sejak tadi memerhatikan apa yang telah
terjadi.
Luthfi berjalan mendaki tangga menuju ke biliknya.
Dia membersihkan diri dan membentangkan sejadah sebelum bersujud menyembah Yang
Esa. Aku dah berubah Fatihah...
...............................................
Fatihah bersiap untuk keluar. Setelah bersarapan ala
kadar dia terus meluru ke pintu depan. Belum pun sempat dia memulas tombol
pintu seseorang telah terlebih dahulu menghadang laluannya. Fatihah
menjongketkan kening. Tindakan reflex.
“Sis... nak pergi mana?”
“Keluar...”
“Alah... janganlah keluar dari rumah ni sis. Ok,
saya minta maaf. Saya janji tak jauhkan diri lagi. Saya janji yang saya akan
makan sama-sama, jogging sama-sama macam dulu. Saya janji saya...” belum pun
sempat Luqman menyuarakan janji seterusnya Fatihah dengan pantas memotong.
“Yang awak ni pagi-pagi buat angkat
sumpah ni apasal?”
“Sis... kita kan adik-beradik... sampai hati sis nak
tinggalkan adik sis yang kacak ni. Sis janji nak jaga family ni sama-sama tapi
kenapa nak tinggalkan rumah ni pulak?” Luqman buat muka sememeh. Huh bajet
comel apa.
Fatihah mengerutkan kening. “Awak ni dah buang
tabiat agaknya. Saya kata nak keluar. Bukannya nak lari dari rumah. Huh...” dia
mengeluh kuat. Hampeh betul la mamat ni.
“Owh... ek?” Luqman tersengih sambil menggaru kepala
yang tak gatal.
“Kalau saya nak pindah mestilah saya bagitahu papa
dulu.” Kalau datangnya berjemput, takkan lah pulangnya tanpa pamitan pulak.
Luqman kembali tersenyum. “Erm... so sis nak pergi
mana ni?” dia menjongketkan kening sebelah.
“Nak beli buku...”
“Jom lah kita pergi sama-sama...” Dia mencapai kunci
kereta.
“Awak kan tak sihat.”
“Mana tau?”
“Mak...”
“Sayang jugak sis dekat saya ya...”
“Adik kan...”
Sesampainya di kedai buku, Fatihah membelek beberapa
buah buku yang menarik perhatiannya. ‘La Tahzan’. Buku berwarna kuning itu
dicapai. Dia membelek helaian demi helaian. Sebuah buku penyejuk hati. Dia
tersenyum sendiri. Setelah mengambil beberapa buah buku yang menarik minatnya
dia membayar di kaunter sebelum berlalu. Luqman juga membeli sebuah buku yang
entah apa tajuknya.
Mereka berjalan beriringan di kaki lima menuju ke
arah sebuah restoran yang terletak di antara deretan kedai.
“Nah... untuk awak.” Fatihah menghulurkan salah
sebuah buku yang dia beli tadi. Memang dia berniat untuk memberikannya kepada
Luqman dan selebihnya untuk dirinya dan juga Luthfi. Sebuah buku lagi adalah
untuk Liyana. Itu pun kalau Liyana sudi terima.
Luqman menyambut buku di tangan Fatihah dan melihat
judulnya. “La Tahzan...” dia tersenyum.
“Bacalah bila rasa sedih, rasa lemah disapa
ujian...” Fatihah bersuara lembut. Dia juga sering membaca buku itu bila terasa
kekuatan jiwa semakin luntur.
Sedang mereka berjalan dan leka berborak seorang
lelaki yang datang dari arah belakang telah meragut beg tangan Fatihah. Fatihah
menjerit akibat terkejut. Luqman yang menyedari itu telah berlari mengejar
peragut tadi. Fatihah turut sama megejar sambil menjerit meminta tolong namun
suasana di sekitar agak lengang.
Sesampainya mereka di sebuah lorong kecil di antara
bangunan, Luqman berjaya merentap baju peragut itu dari belakang. Peragut itu
jatuh terduduk namun dia cepat-cepat berdiri dan bergelut dengan Luqman. Buku
yang ada di tangan Luqman tercampak jatuh. Dia semakin berang. Adegan tumbuh
menumbuk berterusan sehinggalah Luqman terjatuh dan perutnya dipijak. Fatihah
menjerit dan cuba membantu. Namun apalah sangat kudrat seorang wanita. Dia juga
jatuh terlentang ditolak kasar.
Peragut itu mengeluarkan sebilah pisau dari
koceknya. Dia menghayun pisau itu untuk menikam Luqman namun Fatihah yang
terlebih dahulu menyedari dan dapat membaca apa yang bermain di fikiran peragut
itu terus menerpa ke arah si peragut dan zapp... darah memancut keluar. Fatihah
jatuh ke tanah. Luqman yang terkejut dengan apa yang berlaku sepantas kilat
terus memangku Fatihah.
“Ya Allah! Fatihah...”
................................................
Luqman berteleku di pusara. Air matanya menitis
perlahan. Saudara mara yang lain sudah lama berlalu. Kini tinggal dia dan
Luthfi sahaja yang masih setia merenung pusara yang dipenuhi kelopak bunga dan
masih basah dengan siraman air.
“Kenapa mesti menangis hanya kerana seorang hamba
kembali kepada Penciptanya? Sebab sayang? Kalau sayang sedekahkan doa... bukan
air mata...” seakan terdengar bisikan lembut di telinganya.
“Kenapa di buat macam tu? Kenapa dia tak biar je Luq
yang kena tikam?” Luqman mempersoal seolah-oalah berbicara dengan diri sendiri.
Sepatutnya awak biarkan saja dia tikam saya Fatihah
sebab hidup saya dah tak lama. Saya sakit.. Saya ada liver cirrhosis sebab tu
lah saya nak Luthfi, satu-satunya abang saya tinggalkan air setan tu. Saya tak
nak dia terima nasib yang sama macam saya. Kalau awak nak tahu, dulu saya jauh
lebih teruk dari Luthfi tapi disebabkan penyakit tu saya mula sedar. Saya
silap...
Fatihah... sepatutnya saya yang pergi dulu bukan
awak....
“Kalau kau kat tempat dia kau akan buat benda yang sama?”
Luthfi menyoal pabila soalan adiknya yang menyapa telinga serasa seakan tidak
memerlukan orang lain untuk menjawabnya termasuk Fatihah sendiri.
Pasti! Hati kecil Luqman bersuara
yakin.
Luthfi merenung Luqman. “Kenapa?”
Luthfi kembali bertanya seolah-olah mendengar bicara hati Luqman.
Sebab... aku sayang dia... hati
Luqman kembali menjerit.
Luthfi tersenyum hambar. “Kau memang
dah ada jawapannya bro...” dia menepuk-nepuk bahu Luqman. Dia berjalan
meninggalkan kawasan perkuburan.
“Sebagaimana kau dapat jawapan pagi
tu?” Luqman pula membalas dengan soalan. Langkah kaki Luthfi terhenti serta
merta. Dia sekadar tersenyum nipis. Sayangnya dia pada aku hanya sebagai seorang
abang....
.....................................
Tinta
hati Luqman...
Fatihah...
saya pernah cakap kita macam adik-beradik tapi kenapa ya saya jauhkan diri dari
awak? Sebab hakikatnya kita bukan adik-beradik. Satu kenyataan yang saya
suarakan hanya sekadar bicara penafian pada rasa yang kian menjengah jiwa. Saya
cuba cipta jurang anatra kita sebab saya sedang berjuang mempertahankan iman
yang senipis kulit bawang. Saya sedang berusaha memelihara hati saya juga awak dari
dikotori anganan impinan yang hanya mimpi. Saya tak mampu untuk merealisasikan
impian itu sebagai kenyataan kerana saya sendiri tidak pasti berapa detik lagi
yang masih tersisa usia saya di dunia. Saya takut untuk suarakan naluri rasa
yang kian lama membuai hati yang ketandusan. Bagaimana mungkin saya terus
mendekati awak sedangkan semakin lama hati ini semakin terseksa dan sakitnya
yang tak terperi saya rasai.
Fatihah...
pertama kali saya tatap wajah awak saya nampak satu sinar kekuatan untuk saya
teruskan perjuangan melawan penyakit yang saya deritai tapi pada masa yang sama
akal waras seakan berbisik mendesak saya supaya memejamkan mata dari sinaran
itu kerana takut ada hati yang akan terluka, ada jiwa yang akan terseksa
tatkala tiba masa yang telah Dia janjikan buat hamba-Nya ini. Takut meluahkan
rasa yang mungkin bercambah menjadi benih harapan sedang saya sendiri tahu yang
saya tak mampu... tak mampu menukarkannya menjadi kenyataan. Seandainya saya mampu
menjadikan awak halal buat saya pasti saya akan lakukan tapi saya tak mampu... Biarlah
rasa ini terus utuh terpendam, terus damai menjadi sebuah kasih rahsia...
Luqman berdiri tegak dan mengangkat takbiratulihram
untuk menunaikan solat sunat taubat dalam munajat pada-Nya di pagi yang dingin
mencengkam sukma. Alhamdulillah... rezeki dan jemputan dari-Nya... tahun ini
dia dapat menunaikan haji. Agak terkilan kerana tak dapat tunaikan janji pada
Fatihah untuk membawanya ke tempat impiannya, di sini. Ya... Di tanah suci ini
adalah tempat yang ingin Fatihah jejaki tapi... Allah lebih menyayangi dirinya...
Dalam sujudnya yang terakhir air matanya mengalir
perlahan di tubir mata... sakit yang dia rasai bagai tak tertanggung oleh jasad
yang kian lemah. Seluruh jiwa dan raga seakan pasrah lantas hatinya bermadah
syahdu....
“Ya Allah... andai sudah tiba waktu dan ketika yang
telah Kau janjikan... Andai telah tiba detik dan saat yang telah kau tentukan
untukku kembali kepada-Mu... aku redha Ya Allah... Aku bersaksi bahawa tiada
Tuhan yang berhak disembah melainkan Allah dan aku bersaksi bahawa nabi
Muhammad itu pesuruh Allah...”
Kelopak matanya kian terpejam rapat sedang air
hangat masih mengalir di tubir mata membasahi alis...
*p/s:
Actions speak louder than
words
happy reading...thanx ya:-)