Showing posts with label syifa' hati- kisah diri. Show all posts
Showing posts with label syifa' hati- kisah diri. Show all posts

Awan


Cuba lihat awan di langit.
Tak pernah hilang.
Meski ditabir kelam malam.
Pekat hitam.
Ia tetap ada.
Tak terlihat dek pandangan mata.
Ia tidak pernah meminggir.

Memayungi bumi dari terik Mentari di waktu siang.
Memuntahkan air ke tanah tandus.

Ada waktu kita tak nampak.
Tercari-cari.
Tapi ia tetap ada mengatapi bumi
di pelosok yang tidak kita ketahui.

Bangkit



"Manusia tidak dilahirkan untuk meratapi nasib tetapi memperjuangkannya."

Setiap jatuh dan bangun, 
manusia tidak pernah tiada pilihan.
Pilihan samada untuk terus terduduk
atau
untuk cuba bangkit berdiri dengan berpaut pada dinding-dinding harapan.

Jangan berhenti pada titik yang sama terlalu lama
kerana pada akhirnya kita juga yang rugi.
Kita juga yang makan hati.

Bangunlah meski kita terpaksa berpegang pada tali yang hampir putus.
Tanpa cuba tidak akan ada jaya.
Aku tahu kau boleh. 
Sebagaimana kau pernah lakukannya satu masa dahulu.




kembali

Rabu, 29 Januari 2014.
dia meninggalkan di saat insan sekeliling masih belum bersedia untuk ditinggalkan.
dia seorang abang. 
abang yang terlalu concern tentang adik-adiknya.
abang yang tidak mungkin akan ada yang kedua.
meski kami berlainan nasab namun dia sudah seperti anak yang terlalu akrab buat ayah dan bonda.
yang meninggalkan seribu satu kenangan dalam hidup kami sekeluarga.
yang ada di saat suka dan duka.
tempat meluah rasa mencurah hiba.
tempat bergelak ketawa berkongsi tangis dan tawa.
kehilangan yang begitu meninggalkan kesan.
kesan yang mendalam buat kami.
kami yang mengenalinya.
yang berada di sekelilingnya.
dia baik.
kata kakak dan abang.
dia sangat baik.
kata mak dan ayah.
orang baik Allah kasih. 
kata saudara mara.
dan saya mengakuinya.
dia baik.
baik yang macam mana hanya kami dan Dia saja yang tahu.
dan demi sesungguhnya Dia sebaik-baik saksi.
sedih yang terlalu sedih.
kembalinya kepada Pencipta tanpa petanda.
majlis kakak sunyi tanpa kehadirannya yang selalu menceriakan suasana.
Allahu...
sampai saat ini masih terbayangkan dia.
terasa seperti dia ada, baik-baik saja di rumahnya.
dan menjalankan rutin hariannya di kedai.
hakikatnya dia sudah kembali kepada Pemiliknya.
mak cakap selalu teringatkan dia. 
senyumannya...
kakak dan saudara juga sama...
saya tahan je air mata.
mestilah ingat. 
baru dua minggu sebelum kejadian dia ajak saya keje dengan dia.
dan baru sehari sebelum tu dia datang rumah hantar barang.
ajak abang lepak.
dan baru pagi tu dia gurau-gelak dengan sepupu.
dan sepatutnya... petang tu dia datang rumah...
tapi tak sempat...
Allah...
masa mula-mula dapat berita tu rasa memang tak percaya.
cuba pujuk diri nak menafikan.
meminta kepastian meski kenyataan di depan mata.
emosi meronta-ronta menafikan.
saya perlu berhenti di sini.
dah tak mampu nak tahan air mata dari menitis.
mohon sedekahkan Al-Fatihah buat arwah.
semoga dia ditempatkan dalam kalangan orang yang beriman.
dia anak angkat mak ayah merangkap abang angkat saya.

indeed

tadi lepas solat isya' buka tafsir.
random.
Dia tunjuk.
Allahurabbi...
Dia ajar macam mana nak jadi baik...
seorang yang baik itu merupakan seorang yang sabar...
yang suka akan kebaikan.
menolak kejahatan dengan kebaikan.
Allah...
jauh sangat lagi. tersangat.
dan yang paling penting.
baik itu tidak akan pernah terzahir hanya sekadar melalui appearance.
indeed.
ianya hadir dari dalam yang hanya akan appear bagi sesiapa yang bukan hipokrit.
yup.
kita mungkin boleh mengaburi mata manusia dengan pakaian tapi kita takkan pernah mampu menghijab keperibadian.
Ya Latif...
pinjamkan aku sekeping hati yang cukup kuat tatkala aku merelakan diri ini diperkotak-katik sesuka hati

saudaraku yang kasihku tertumpah kerana Dia...
hidup ini tidak semudah yang kita harapkan
yang kita sangka mampu kita lontarkan kesukaran ke pundak insan lain
tatkala kamu merasa sakitnya tidakkah terfikir olehmu insan itu juga bakal melalui pahit maungnya
kamu kejam terhadap aku yang pada zahirnya lemah
membiarkan diri terus dianiaya
menyatakan rela pada sesuatu yang tidak 
aku mengalah bukan kerana aku kalah
sekadar mengharap dengan penuh yakin.
dengan memujuk raga sendiri.
bahawa aku akan sentiasa ada Dia tempat bergantung harap.

Ya Rahman...
izinkan aku menangis untuk kesakitan ini.
bukan tidak redha tapi aku buntu waktu.
tidak lagi mampu bertahan dengan keperitan ini justeru itu aku fikir kanvas ini mampu bersuara mewakili aku
berbicara bisu melalui abjad
memuntahkan rasa agar beban ini berkurangan

Baru semalam kembali ke sini hati sudah mula merindui 
Rindu akan suasananya yang tenang
Rindu akan insan-insan tersayang

Nenek sudah menginjak usia emas lama dulu. 
Sudah semakin lemah. 
Dan setiap kali saya atau adik atau kakak ingin kembali ke tempat penghijrahan kami, dia akan bersedih hati. Hampir menitis air mata melihatkan keadaannya. 
Ayat sama yang diulang bersama mata yang berkaca-kaca setiap kali kaki ingin melangkah meninggalkan kampung halaman… dia akan ditinggalkan sendirian tanpa teman…
Oh nenek…
Jasadmu semakin dimamah usia. Kudratmu yang masih tersisa sedikit cuma. Namun kasih dan sayangmu tidak pernah usai.

Ibu ayah juga sama
Semakin hari  kudrat semakin merosot dihambat waktu 
namun kasih dan sayang yang terbias tidak pernah berkurangan. 
saya dapat lihat itu. 
dapat rasa. 
sungguh. 
kasih seorang ayah yang terlalu kasih.
hingga terkadang buatkan kami rimas.
rasa terkongkong.
hidup seakan diatur.
tapi...
bila saya renungi...
bermuhasabah. 
Allahurabbi...
takkan mungkin ada orang yang akan sayang saya sebagaimana dia.
mungkin tidak juga meski separuh saya.
kasih ibu membawa ke syurga kasih ayah takkan pernah pudar selamanya.
dan dalam kasih itulah saya lihat harapan.
harapan yang dibawa bersama masa.
dan harapan itulah yang cuba saya tunaikan.
dengan menafikan keinginan yang terpendam.
biarlah. moga dengan mencuba membahagiakan mereka saya akan rasai bahagia juga.
impian saya andai Dia izin, andai masih punya kesempatan lambat laun akan terlaksana juga
tidak terlalu cepat tidak juga terlambat tetapi pada ketika yang tepat
bilamana saya sudah siap.
dan Dia Yang Maha Mengetahui lebih tahu.

tidak terlontar hujah kasih yang tersisip
kerana sabdanya terlalu indah 
momennya teramat sepadan
bersatu mendakap waktu
berharap detik tidak pamit terburu-buru
kerana masih belum hilang hausnya
menghirup kasih seorang ayah
meneguk cinta seorang ibu



sticky note:
Dan Tuhanmu telah memerintahkan agar kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedua-duanya sampai usia lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sesekali jangan engkau mengatakan kepada keduanya perkataan 'ah' dan janganlah engkau membentak mereka, dan ucapkanlah kepada keduanya perkataan yang baik. Dan rendahkanlah dirimu terhadap keduanya dengan penuh kasih sayang dan ucapkanlah : Wahai Tuhanku, sayangilah keduanya sebagaimana mereka berdua telah mendidik daku pada waktu kecil.
[Al-Israa': 23-24]

cahaya

jurnal dibelek-belek sambil belakang tangan menuam dahi. suam. heh inikah yang dinamakan demam peperiksaan? fuh! 
'tak faham...' hati merengek lemah...
mata dikedip-kedip berkali-kali. memandang kosong nota-nota yang bertaburan yang sedang melambai-lambai. 
nafas ditarik dalam lalu dilepaskan perlahan. ada keluhan kecil yang sebati bersama helaan nafas yang terhembus.
tangan mencapai earphone yang sedia dicucuk pada handset lalu dicucuk ke telinga. jari-jemari dibawa menekan papan kekunci. 
FM radio. perkataan yang tertera itu lantas ditekan.
 Lagu Kasih Padamu yang menjadi halwa telinga terasa begitu mengusik qalbu. syahdu. 
lebih kurang empat minit berselang alunan muzik instrumental yang mendamaikan pula menyambut pendengaran.
 seketika, "Menuntut ilmu adalah wajib bagi setiap muslim. Hadis riwayat Ibnu Majah."
Fuh! Peluh  kecik yang merenik di dahi dilap dengan belakang tangan.
instrument kembali beralun lembut menghias ruangan pendengaran.
tangan kanan lantas mencapai kembali nota-nota yang dipandang sepi.




sticky note:
"Bila kamu tidak tahan lelahnya belajar, maka kamu akan menanggung peritnya kebodohan."
[Imam Syafie]

pena dan kertas

“Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam tidak sekali-kali mencela makanan. Jika Baginda menyukainya Baginda memakannya, dan jika Baginda tidak menyukainya Baginda akan meninggalkannya (tidak memakannya)”
(Hadits riwayat al-Bukhari)


“Aku tidak pernah sekali-kali melihat Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam mencela makanan. Sesungguhnya apabila Baginda menyukainya, Baginda memakannya dan apabila Baginda tidak menyukainya Baginda diam.”
(Hadits riwayat Muslim)



tapi saya ni pun kadang-kadang terlepas juga la perkataan yang tak berapa nak merdu didengar masa makan...
tawar la, masin la
biasalah... budak baru belajar...
tapi... 
untuk proses pengajaran dan pembelajaran demi mempertingkatkan kualiti dalam masakan memang bagus bab-bab kritik kutuk yang membina ni
kot kalau dekat rumah la kan mak ajar masak kari kepala ikan. bila masak dia pun rasa.
"huih! kau ni dah angaukan anak bujang siapa ni sampai tertumpah treler garam ni?"
jangan pula cakap...
"mak... ikut sunnah, kalau tak suka jangan makan, diam je..."
ha kot kalau agak-agak nak rasa kena hempuk dengan lesung batu cubalah bereksperimentasi. :P



bersyukur dengan setiap rezeki yang Dia hadiahkan
itu yang susah sebenarnya.
tapi kena buat.
mesti.




sebagaimana kita mencela mentari yang garang memancar mencairkan makeup
sehinggalah Dia hadirkan ujian lantas kita belajar erti rindu...
rindu pada sang mentari yang tidak pernah dihargai...
sebagaimana kita memarahi hujan yang membasahkan laptop
sehinggalah Dia hadiahkan ujian untuk kita sehingga terlalu kepingin menyentuh butiran air itu



sticky note:
sabar dengan syukur itu umpama pena dengan kertas.
saling memerlu untuk saling melengkapi.

aku pengemis

aku pengemis di jalanan
menyusur laluan bertarkan ujian
tanpa kepastian
menerka setiap langkahan
tanpa pasti
arah ketemu destinasi
kabur oleh ilusi
sebuah fantasi mimpi
duniawi


lelah jiwa mendamba sinar cahaya
luluh hati merakam dusta dunia
teraba dalam terang suasana
tenggelam dalam pesona fatamorgana
terkapai-kapai di muara dosa


diri kian terpenjara dipagari
khilaf semalam menghantui
membayangi setiap derap kaki
mengekori di setiap hela nafas
menyesakkan ruang dada
membusung pada rongga hati
perit


aku hanya seorang pengemis
meminta-minta tanpa malu
merayu-rayu tanpa silu
mengharap dalam diam
mendamba dalam senyap
merintih penuh harap
pada Rabb


aku ini pengemis
mengemis dan terus mengemis
tidak lusuh oleh masa
tidak kalah oleh maki
meski berkali-kali
tersungkur di lantai bumi
aku tetap teguh di sini
menagih kasih Ilahi....




sticky note:
sungguh perubahan itu perlu
untuk hidup yang punya arah tuju


" Jika aku di sini menanti, ku harap kau di sana menjaga, bila aku di sini berdoa ku harap kau di sana setia.."

Fuh!
Jiwang... tak boleh blah...
:P

perhatian...
ini BUKAN ayat saya ya. 
pinjam cuma


erk apa motif letak ayat tu dekat sini?
heh nak kena ada motif jugak ke?
ok lah...
sebabnya...
entah ayat ni macam ada something...
wrong?
tak ada lah wrong sangat...

tapi...

kalau saya twist sikit aci tak?
:P
(senyum jahat)


"Jika aku di sini menanti, ku harap kau di sana menunggu, bila aku di sini berdoa, ku harap kau di sana bahagia..."


haha lagi lah tak boleh blah...
siap highlight...
;)
ampun...
apa nak jadi dengan budak ni...
parah....
betul parah...


haha...
impak banyak sangat tests dan assignments yang tak terlayan la ni...
layan diri sendiri la sudahnya...
merapu meraban dekat sini bukan ada orang kisah pun kan...



ok pointnya di sini...
jaga hati 
jaga diri 
jaga iman 
jaga takwa
jaga cinta (cinta Ilahi)
ini yang paling penting...
bertuah tau orang yang dapat cinta yang sebenarnya bukan limited edition sebab Dia kan Maha Kaya jadi cinta-Nya juga begitu tapi bukan semua orang layak memiliki cinta-Nya Yang Satu...


still seeking... 
again and again...
till the end...




sticky note:
-Hati yang terikat dengan Dia akan Dia simpulkan dengan sekeping hati yang juga tertaut dengan-Nya-
(ok ayat ni mahal! :P)








aliran air...



Secebis intipati seminar dengan Ustaz Pahrol Mohd Juoi pada 20 April 2013


Rasa tidak berilmu adalah rasa orang yang berilmu.
Ilmu umpama aliran air. 
Aliran air hanya akan bertakung di kawasan yang rendah. 
Sama juga dengan ilmu.
jadi kena tawadduk ketika menuntut ilmu.
humble.

Nilai Umat Islam

1. Nilai manusia dengan Allah 
-adalah taqwa.
taqwa yang dimaksudkan adalah berhati-hati/ mencegah agar tidak melanggar hukum Allah.
seolah-oalh berjalan di atas jalan yang penuh duri.
taqwa itu adalah kawalan bukan sekatan.


kejahatan itu nikmat tapi apabila dilakukan akan menjadi penyesalan.


2. Nilai manusia dengan manusia 
-adalah akhlak.
akhlak adalah kebaikan yang dilaksanakan dengan mudah tanpa memikirkan apa-apa.
(sudat sebati)
contohnya bila bersedekah; bila kita terus bagi sedekah tanpa berfikir dua kali atau berkali-kali, juga tanpa mengambil kira siapa dia, berapa nilainya itulah akhlak.
akhlak yang sempurna merupakan satu rahmat Allah yang tidak ternilai.


3. Itqan (memperelokkan)
-dengan peranan dan tanggungjawab
contohnya melalui pekerjaan, sebagai pelajar
belajar itu satu ibadah dan tanggungjawab agama.
jadi malas itu satu dosa!
huh!
kalau nak berjaya tiru kelakuan orang yang berjaya


-Ramai orang bijak di luar Islam melihat keindahan Islam masuk ke dalamnya tapi ramai orang-orang bodoh di dalam Islam keluar daripadanya-


di akhir bicara dia cakap.........



dalam hidup ni kita perlukan sedikit sahaja hiburan 
sebab
kita sudah ada hiburan;
solat, Al-Quran, zikir, selawat...
itulah hiburan kita
hati kita ni sudah terisi dengan semua tu
hiburan yang melalaikan hanyalah painkiller
tidak merawat tidak juga menyembuhkan
"jangan sampai kita menyukai ajakan solat itu lebih dari solat itu sendiri."




p/s : setakat ini saja sempat dikongsikan. ada yang bila baca balik dekat buku catatan fikir banyak-banyak kali apa yang aku tulis ni? heh biasalah shok sendiri...
di harap cik yam kalau terbaca dan kalau ada silap, cacat cela di mana-mana atau ada info yang saya terlepas pandang mohon dikongsi. Heh nak mengabadikan di sini sebab takut diari saya tu hilang ke atau saya yang sengaja hilangkan ke kan... esok-esok boleh baca balik reminder untuk diri sendiri.




healer


jumpa ini
Dia yang tunjuk
dan...
it heals...
Subhanallah...
Alhamdulillah...



sticky note:

bicara di sebalik tirai nurani


Tuhan...
aku longlai...
jasad seakan tidak bertulang
keringat menyerah pada keperitan
tidak mampu untuk terus menjengah
indah di sebalik resah
tabah di sebalik kesah
diri kian lemah diratah penat
jiwa kian lemas dihambat lelah


Tuhan...
aku tidak bisa kebah 
oleh dugaan yang berisih
lantas hanyut oleh pedih 
juga kecewa yang menghuni
memenjara diri


aku masih bertatih
di lantai pasrah
kendati berkali-kali rebah
tidak akan pernah sesekali aku menyerah
tapi tika ini...
pelbagai soalan menyucuk minda
ke mana harus ku bawa diri 
mencari erti
mencari pasti


hingga kini 
jawapannya sukar dimengerti
apatah lagi diteladani
mungkin terhijab oleh duniawi
hingga kabur menutupi
gumpalan hati


Tuhan...
izinkan aku singgah istirahat 
dari letih dan penat
di bawah teduhan 
rimbun kasih-Mu
dan nanti 
kalau pun bukan hari ini
mungkin esok aku akan reseptif
tiap cobaan yang Kau beri
lantaran terdidik oleh kias
pada ketika ku menumpang singgah


jari jemari terusan menari
mengikut rentak irama senandung
yang lembut beralun
mentafsir kata yang terselindung
di tabir monolog
bicara tanpa suara
yang terus berkata-kata
berhujah dalam diam
berbicara dalam bisu
dan bicara ini...
nun dari pelosok hati
sayup di sebalik tirai nurani



untaian


Ku lakarkan sebuah puisi cinta
bait-bait kata rahsia
yang terpendam tak terungkap
kejap tersimpan tak tersingkap
terus kemas menjerut
menyentap setiap urat nadi
menggencat detap jantung
membuak melimpah tak ternafi
meski terus cuba disembunyi
kasih misteri

rindu yang bertanda di lantai hati
menggamit resah menghimpit sanubari
ku luah hanya dalam ilusi
pada kanvas tanpa bunyi
bicara bisu di laman hati
kian membarah menjadi sepi
mengisi ruang tangis
melenyap tawa tergilis

ku rindu dia seorang srikandi
bidadari dunia
di hati seorang aku
yang terhutang nyawa dengannya
meski dia tidak sempurna
namun tidak akan pernah luntur
kasih buatnya
kerna sabda kasihnya setia

momen indah menemani hening
menyapa senyum
melambai memoir kembali bertapak
bermastautin di gurun hati
membuai mengusik naluri
memenjara diri dalam asyikin
dipeluk syahdu 
untaian
ikatan batin yang istimewa
tanpa nyata namun dapat dirasa



p/s: sebuah dedikasi teristimewa buat seorang bonda yang tercinta...


sticky note;
-untaian kasih kita tidak akan pernah terputus meski dicantas masa-

ops... alamak kenapa rasa macam mata masuk habuk ni...
aigoo...
;(


pesan buat rindu

menyusun helaian rindu yang semakin bertimbun
untuk disampul dan disimpan 
di celahan kekuatan dan ketabahan
tekad dan percaya adanya Dia
yang sentiasa sudi menyambut kerinduan
yang kian sarat menyesakkan ruang pernafasan
yang kian membusut di kamar hati


pergilah bayu membawa rindu 
terbang bersamamu
moga-moga nanti dikau ketemu
destinasi yang teralamat di sampulnya
dan berpesan pada sang rindu
agar kembali kepadaku
untukku dakap erat saat kehausan
kasih dan sayang
sebagai penghibur gundah gulana
sebagai peneman saat kecewa


rindu...
pada bayu semilir desa yang permai
rindu...
pada kicau burung yang galak bernyanyi riang
rindu...
pada desir angin yang menyapa pepohonan
rindu....
pada mereka insan tersayang



duhai rindu-meredap
tersenyumlah dikau dipimpin sang bayu
jangan lupa pulang ke pangkuan
menemani hati yang kesepian
tatkala syahdu kembali bertamu



butir keikhlasan

saat amarah mencucuk hati
istighfar berpuput menyentuh naluri
sayu mendayu mencantum kembali
retak di dinding hati
menjadi penawar hakiki
kiranya Ya Latif mengizini
terubat jua jiwa yang tersakiti
oleh bicara tajam menikam
oleh tingkah sumbang menyakitkan ...


mencuba memujuk diri
membelai jiwa yang terguris
merawat hati yang terhiris
melalui hakikat yang terbias
sesungguhnya manusia itu sifatnya tak sempurna
punya kekurangan yang tidak mungkin serupa
miliki kelebihan yang mungkin tidak sama
untuk kita terima seadanya dia
dengan seikhlasnya
bukan sekadar simpati semata
kerana simpati itu meletihkan di akhirnya
bukan juga bicara manis penyedap telinga
aku memaafi dia kerana kekurangannya
sedang jiwa membara kebencian
dan dendam tiada kesudahan


terusan belajar erti ikhlas dalam memberi
adapun keikhlasan
terlalu mahal harganya
terlalu halus seninya
tiada tara nilaiannya
seumpama semut hitam
di atas batu hitam legam
di malam kelam tidak berbintang
teramat payah untuk digenggam
terlalu sukar untuk dipertahankan
hingga dipertengahan kembara mencari ikhlas
mungkin juga ada yang tertewas
tunduk pada hebatnya godaan
rebah pada lemahya iman
sedang ikhlas itu di penghujungnya
mencambah kekuatan


kuat yang cukup kuat 
mencurah kemaafan buat setiap insan
meski dia terusan menyakiti
tetap aku punya sekeping hati
sarat santun insani
dilimpahi kolam kecintaan
buat saudara seakidah
hatta dia masih mengkhianati tanpa dia sedari
hingga mengalirkan air mata sepi
sayup di pelosok hati yang tercorot
kejam merobek hati yang sedia tersiat
tetap aku memaafinya
lillahita'ala...



kerana kelemahannya jua aku punya
itu fitrah manusia
titipan Pencipta
untuk aku juga dia dan mereka
sentiasa mengingati
hakikat diri milik Ilahi
dan segala yang ada tetap Dia yang punya
kurang padanya
lebihnya dia
pinjaman Tuhan yang Maha Memberi
fitrah kasih pada insan dicintai
dan hati terusan bermohon
moga Dia ilhamkan kekuatan
agar aku cukup kuat untuk terus bersabar
dan cukup sabar untuk terus bertahan
merantau di daerah gersang di pinggir hati
mencari secebis redha yang terselit
di celahan butiran pepasir keikhlasan
memaafkan

tinta hati

Andai saja waktu dulu bisa ku ulang
Terlalu banyak impian yang ingin ku genggam
Ingin sekali aku gali dan mencari
Kerah seluruh keringat dan kudrat
Meski berulang kali tertimbus kembali
Namun tidak akan pernah punah harapan yang tersemat
Tidak akan sekali-kali rebah menyerah
Terduduk pasrah
Pada takdir yang menjengah

Tapi...
Itu hanya ilusi pada bicara andainya...
Sedang hakikatnya aku ini bukan sesiapa
Hanya seorang manusia yang tak punya apa
Juga tidak berdaya
Sekadarnya mampu berdoa juga berusaha
Moga-moga hari esok lebih bermakna
Lebih bersinar
Dengan hadirnya iman di dada
Yang bisa ku bawa
Ku genggam kemas
Ku dakap erat
Lantas ku persembahkan pada-Nya

Tapi aku manusia
Lemah dan hina
Sering terleka dengan nikmat dunia
Apakah Dia sudi menerima
Insan sepertiku?
Yang cintanya buat dunia kian mekar
Sedang rindunya buat Pencipta semakin pudar
Sering tersedar
Namun tidak cukup kuat menghindar
Pada bisikan hasutan rayuan
Yang membawa terbang ke awanan khayalan
Mengimpi syurga idaman
Sedang hati jauh dari Tuhan

Dan mentari mega terus bersinar
Menyinari bumi yang kian uzur
Sehingga tiba detik dan waktu yang tak berundur
Ia tetap di situ
Akur dengan janjinya pada Penguasa Alam
Tunduk pada perintah Pemilik kehidupan

menjejak rajuk cinta

Lantaran hati ditebak rasa terpencil
kosong bagai kehilangan
tatkala iman sehalus hama
kian goyah ditampar leka
kian mamai diselimut alpa
bagai ada belati menusuk 
bagai ada jarum mencucuk
pada dinding hati yang merekah
dan berdarah

serasa dosa sentiasa mengekori
setiap derap langkah kaki
sedang iman semakin hari
semakin menyepi
luak dikorek nafsu duniawi
yang rakusnya menyeleweng
menarik-narik jiwa
yang penasaran seakan rela
setapak demi setapak mendekat
menjenguk di balik tirai maksiat
dan mampir pada pintunya
dan pada ketika itu serasa tersedar
dihambat kesalan

rupanya masih tersisa
zarah-zarah kecil iman
yang tersorok pada penjuru ihsan
lantas memaksa hati
kejap pada titik noktah tidak berganjak
mengenggam takwa yang hampir keciciran
mendakap iman yang hampir terbuang
meronta-ronta ingin kembali
pada diri
mencari diri
yang kejapan hilang 
mengekpresi kekosongan

adakala benar mungkin
kata pujangga
mencinta itu mudah
setia itu payah
hingga menjerumus diri dalam jurang kelalaian
pada cinta dunia tak berharga
yang indahnya pada mata yang buta
hingga tidak mampu melihat 
dusta di balik kepalsuan indahnya
pada telinga yang pekak
hingga tidak mampu mendengar
rancak kebohongan di sebalik penipuan nikmatnya

aku ingin kembali
pada jiwa yang terisi
oleh ilham Pemberi
setiap juzuk cinta yang sebati
olahan tasbih
yang membasah di ulas bibir
setiap abjad rindu yang menggebu
oleh lakaran tahmid
yang indah terlukis di kanvas hati
setiap naskhah kasih yang memekar
oleh lafaz taubat di ruang naluri
dalam setiap sujud
melayar bahtera menyusur samudera
menjejak rajuk cinta.



dah lama tak update.
1st sebab laptop demam. dua minggu lebih jugalah. masuk wad sehari.
lepas tu tuan punya laptop pulak deman
dan sekarang
alhamdulillah... laptop dah sihat sepenuhnya. alhamdulillah... ada hikmahnya
tuan punya laptop juga sudah semakin sihat alhamdulillah...
dan akan sihat sepenuhnya insya-Allah...
walaupun rasa liat yang amat nak menghabiskan ubat2 terutama sekali antibiotik yang mak ai... besar betul. dapat rasa dekat kerongkong ni dia lalu masa telan.
tapi lepas kuatkan diri belek-belek buku microbe nak cari idea untuk biostatistik, tapp...
ternampak terlalu banyak gambar-gambar yang mengerikan.
Allah... banyak betul penyakit dalam dunia ni. 
itu baru satu buku dan satu subjek tak masuk lagi buku-buku lain yang penyakitnya disebabkan oleh benda lain macam parasite, viruses... dan lain2....
ini Allah uji demam sikit pun dah lemah tak bermaya.
tuan punya laptop, awak kena kuat tau.
tough bukan sikit tapi banyak-banyak.
paling penting kena banyakkan bersyukur.
jangan liat nak habiskan antibiotik.
ada sebab kenapa Dia uji mungkin sebab Dia tak nak awak leka sangat.
terlebih gelak agaknya ni...
banyakkan senyum... kurangkan tawa...



p/s: trillion thanx untuk kawan2 yang banyak membantu, even mereka tidak membaca ini... ^^



sticky note:
“Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Ia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada; dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa!"  
(Surah Hud, 11: 52).


insya-Allah... 
minta Dia tambahkan kekuatan di samping kekuatan yang sedia ada 
dan
minta Dia pinjamkan kekuatan andai diri tidak cukup kuat untuk terus bertahan

-nak jadi kuat... bergantunglah pada Yang Terkuat...-