butir keikhlasan

saat amarah mencucuk hati
istighfar berpuput menyentuh naluri
sayu mendayu mencantum kembali
retak di dinding hati
menjadi penawar hakiki
kiranya Ya Latif mengizini
terubat jua jiwa yang tersakiti
oleh bicara tajam menikam
oleh tingkah sumbang menyakitkan ...


mencuba memujuk diri
membelai jiwa yang terguris
merawat hati yang terhiris
melalui hakikat yang terbias
sesungguhnya manusia itu sifatnya tak sempurna
punya kekurangan yang tidak mungkin serupa
miliki kelebihan yang mungkin tidak sama
untuk kita terima seadanya dia
dengan seikhlasnya
bukan sekadar simpati semata
kerana simpati itu meletihkan di akhirnya
bukan juga bicara manis penyedap telinga
aku memaafi dia kerana kekurangannya
sedang jiwa membara kebencian
dan dendam tiada kesudahan


terusan belajar erti ikhlas dalam memberi
adapun keikhlasan
terlalu mahal harganya
terlalu halus seninya
tiada tara nilaiannya
seumpama semut hitam
di atas batu hitam legam
di malam kelam tidak berbintang
teramat payah untuk digenggam
terlalu sukar untuk dipertahankan
hingga dipertengahan kembara mencari ikhlas
mungkin juga ada yang tertewas
tunduk pada hebatnya godaan
rebah pada lemahya iman
sedang ikhlas itu di penghujungnya
mencambah kekuatan


kuat yang cukup kuat 
mencurah kemaafan buat setiap insan
meski dia terusan menyakiti
tetap aku punya sekeping hati
sarat santun insani
dilimpahi kolam kecintaan
buat saudara seakidah
hatta dia masih mengkhianati tanpa dia sedari
hingga mengalirkan air mata sepi
sayup di pelosok hati yang tercorot
kejam merobek hati yang sedia tersiat
tetap aku memaafinya
lillahita'ala...



kerana kelemahannya jua aku punya
itu fitrah manusia
titipan Pencipta
untuk aku juga dia dan mereka
sentiasa mengingati
hakikat diri milik Ilahi
dan segala yang ada tetap Dia yang punya
kurang padanya
lebihnya dia
pinjaman Tuhan yang Maha Memberi
fitrah kasih pada insan dicintai
dan hati terusan bermohon
moga Dia ilhamkan kekuatan
agar aku cukup kuat untuk terus bersabar
dan cukup sabar untuk terus bertahan
merantau di daerah gersang di pinggir hati
mencari secebis redha yang terselit
di celahan butiran pepasir keikhlasan
memaafkan

0 comments: