Pujangga Aku

Pujangga Aku 

Entah bila titik mula
Seingatnya tersedar sudah terjalin kita
Yang tertaut erat bagai ada tali yang mengikat
Walau tanpa ucap ana uhibbuki fillah
Namun jiwa-jiwa ini tidak pernah lelah
berkongsi perit yang mencelah
Aku bukan si manis bemulut manis
Aku tahu kamu juga sama
Mungkin kerana serupa
Kita tidak terbeban dengan kehendak pujangga puji dan puja
Tidak terdesak dengan lisan
Aku sayang padamu sahabat!
Kerana hati-hati kita  sudah mengerti
Itu lebih hakiki
fikirku

Aku diam
Lama
Kamu juga sama
Aku tahu kamu mengerti
diamku bukan bererti tidak peduli
diamku bukan bererti tidak ingat lagi
Aku tahu kau juga tahu
Ada hadiah yang dikirim tanpa alamat
Hadiah yang tetap sampai kepada tuan
walau di mana pun keberadaan
Kerana perantaranya adalah Tuhan
Walau terpisah beribu batu
tidak akan pernah dihijab jarak
namun aku harap kita akan berjiran satu saat nanti
Ya jiran yang saling bersapa penuh mesra
Kalau pun tempatnya bukan dunia 

Untuk kali ini aku ingin bermanis mulut
Walau seakan kekok
Sungguh aku rindu
Rindu hendak bersapa senyum dengan kalian
Sahabat
Semoga kalian dalam jagaan-Nya,
Di bawah lembayung kasih sayang-Nya
Sentiasa
Walau di mana pun jua
Aku masih peluk harap
moga-moga jodoh kita masih panjang untuk bertentang mata
meskipun bukan di kedai-kedai impian kita.
yang hanya kita yang tahu.
Hah! 
manisnya menganyam mimpi


Tulisan ini mewakili aku
yang kamu sendiri tahu
lebih akrab dengan abjad berbanding lafaz
bicara bisu ini buat kamu, kamu dan kamu
meski aku tahu mungkin kamu tidak tahu wujudnya ia
tapi harap kamu tahu siapa dirimu.




.................................................................................................................
hadiah istimewa:

Nabi Musa berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, ampunkanlah bagiku dan bagi saudaraku, dan masukkanlah kami ke dalam rahmatMu, kerana Engkaulah sahaja Yang Maha Mengasihani dari segala yang lain mengasihani".

[Surah Al-A'raf:151]

0 comments: