Tergantung Sepi - Bab 1


BANGUNAN-BANGUNAN yang berceracak di kiri jalan meniti ruang penglihatan tanpa perasaan. Fikirannya kosong, sekosong dinding bangunan yang bercat kelabu cair yang dilihatnya sebentar tadi. Dia sekadar mengikut sahaja detak hati yang menuntunnya ke sini. Dia mencari sesuatu yang hilang. Dia menjejak sesuatu yang terbang melayang, yang entah ke mana dibawa pergi bersama kisah silam.
Helaan nafas dilepaskan kuat dari corong hidung. Sesak dadanya menampung kecamuk rasa yang bercampur-baur. Hati dan akal saling bertingkah memenangkan hujah. Kamu melakukan tindakan yang betul, ujar hati. Kamu memilih jalan yang salah, bangkang akal pula. Pertelingkahan itu membuatkannya keliru sendiri. Jalan mana yang harus dia lalui? Lorong mana yang mesti dia susuli? Persoalan yang sekejap-sekejap menyapa fikiran.
            “Seandainya minda anak masih berbelah bahagi antara yang betul dan yang salah, pejamkan saja mata zahir, nilailah dengan pandangan mata hati.” Ia sekadar mukaddimah kata untuk memancing reaksi penumpangnya itu.
Semenjak dari lapangan terbang tadi lagi dilihatnya gadis itu ralit memandang ke luar tingkap tatkala dia mengerling melalui cermin pandang belakang. Dia hanya memerhati dengan pandangan kosong. Tiada emosi yang terpancar dari sinar wajahnya. Ungkap kata apatah lagi. Tiada terzahir walau sepatah perkataan.
       Kata-kata lelaki lewat 50-an yang menyapa itu berhasil mengalih perhatiannya dari pemandangan luar. Dia mengalihkan perhatian dari jalanan. Matanya menikam pandangan lelaki dalam pantulan cermin itu. Senyuman nipis dari dua wajah saling bersapa untuk seketika, lantas berbahasa melalui tingkah.
            “Adakalanya hati juga tersilap mentafsir,” tuturnya lembut. Dia kembali memandang ke luar plastik lut sinar itu. Sepi mengisi ruang waktu barang seketika. “Sering saja kita kalah dengan permintaan hati,” tukasnya menoktahkan bicara. Dia kembali membawa pandangan melatari segenap penjuru lantai bumi yang dipenuhi konkrit yang berceracak.
            Lelaki separuh abad itu menarik senyuman lebar. Dalam sungguh tersiratnya maksud kata-kata itu. Gadis ini, diamnya rupa-rupanya menyimpan nilai bicara yang tinggi. Seperti kata orang dulu-dulu, diam-diam ubi berisi.
            Getaran bersama alunan melodi Asmara Terindah dendangan Kumpulan Ungu muncul dari celah beg tangan. Telefon bimbit berwarna putih itu dicapai. Sebaris kata nama yang tertera di skrin mengundang senyuman nipis. Tanpa menunggu lama, dia menyentuh simbol telefon berwarna hijau pada skrin.
            “Wa’alaikumussalam…” sambutnya dengan senyuman yang masih tidak lekang. “Lagi lima belas minit Liya sampailah. Abang kerja ke hari ini?” Kedengaran suara dari hujung sana talian kurang jelas menjawab pertanyaan.
            “Okey,” akhirinya sebelum menamatkan perbualan.              


USAI mengucapkan terima kasih kepada pemandu teksi yang menghantarnya, dia mengamati rumah banglo dua tingkat yang berdiri teguh di hadapannya sebelum menekan loceng di sebelah kanan pintu pagar yang tertutup rapat. Sebuah kereta Produa Myvi putih terparkir di dalam garaj menandakan tuannya tidak ke mana-mana.
Untuk kesekian kalinya, qalbunya terasa sebu tatkala terpandangkan kelibat seorang wanita yang baru saja muncul dari sebalik pintu. Wanita itu menjengahkan kepala sedikit untuk melihat gerangan tetamu yang tidak dijangka. Saat terpandangkan raut wajah mulus dengan bagasi di sisi itu dia berlari-lari kecil untuk membuka pintu pagar.
            “Liya!” Dia terjerit sedikit akibat terlalu terkejut. Dia tidak sedikit pun menduga akan kemunculan gadis itu di hadapan rumahnya sebagai tetamu istimewa pada hari ini. Tubuh kecil itu dipeluknya erat sekali untuk melenyapkan rindu yang bermukim sekian lama. “Liya ni, balik tak bagitahu…” Dia memuncungkan mulut berpura-pura merajuk setelah meleraikan pelukan. Ditamparnya perlahan lengan gadis sederhana tinggi itu tanda protes.
            Edith Adaliya tersenyum lebar. Dipeluk kakak iparnya kejap untuk sekali lagi. Masih belum puas melepas rindu yang berbuku. “Liya dah bagitahu Abanglah. Salahkan dia…” balasnya sambil tertawa. Tawa yang sekadar menutup gusar yang bermaharajalela. Dia memejamkan mata sejenak. Mencuri detik nafasnya barang seketika. Cuba memujuk raga sendiri.
            Pelukan dileraikan perlahan-lahan. “Dah, kita sambung peluk dekat dalam pula.” Sufi mengusik dengan tawa kecil. Dia membantu menarik bagasi memasuki rumah. “Mami dengan babah sihat?” Bagasi itu dibawa terus memasuki bilik tamu di tingkat bawah.
            “Babah, alhamdulillah sihat. Babah kirim salam rindu dekat Kak Sufi dengan abang.” Dia senyum. Terbayang pula wajah babah. Tapi mami… “Babah tanya bila nak balik sana?” Dia melabuhkan punggung di sisi katil.
            Babahlah yang selalu bersungut. Abang sibuk memanjang sampaikan tiada masa langsung hendak menjenguk mami babah sendiri. Kelakar pun ada. Babah mengeluh seolah-olah Malaysia-Ireland itu macam Pulau Pinang-Seberang Perai.
            Sufi turut sama tersenyum. Faham benar dengan sikap babah. Itu tidak lain rindukan anak tunggal lelaki dialah tu. Kalau diikutkan memang patut pun rasa rindu. Sudah dekat setahun juga tidak balik ke sana.
“Babah tu, kalau boleh nak abang berulang-alik pergi kerja Dublin-Kuala Lumpur. Kalau boleh…” Edith Adaliya menggelengkan kepala. “Tapi dia memang tak kisah abang kerja dekat sini.” Sebagaimana babah yang pulang ke tanah airnya setelah dua puluh tahun berhijrah. “Selagi abang dengan Kak Sufi tak lupa nak jenguk dia.” Dia menyambung bicara.
Sufi tersenyum kecil. Dia mengambil tempat di sebelah Edith Adaliya. Insya-Allah selagi akal ini waras, insan yang banyak berjasa itu tidak mungkin dilupakan. “Itulah. Akak tak kisah pun sebenarnya. Ikut abang awak tulah. Tapi abang cakap mami yang suruh abang kerja sini. Berbakti dekat bangsa sendiri.” Sengaja dibangkitkan nama panggilan itu untuk memancing riak Edith Adaliya.
Edith Adaliya terdiam seketika. “Dulu mama pernah cakap, nanti sampai masa, sirih akan pulang ke gagang.” Suatu ketika dahulu. Lama dulu. Sebelum segalanya berubah. Sebelum dia melihat mama dengan persepsi berbeza. “Tapi Liya rasa mama terlupa satu benda.” Saat ini dia mengukir senyum sedikit. Dia tersengih. “Kami half,” balasnya sekadar menjawab soalan dalam diam daripada Sufi.
Sufi tergelak sama. Namun hanya untuk seketika. “Liya tak pergi jumpa dia kan?” tebaknya dengan mata terus merenung Edith Adaliya. Mahu mencari makna dalam riak yang terukir.
Edith Adaliya hanya membisu. Membiarkan Sufi dengan andaian sendiri. Dia tidak mahu bercakap soal itu lagi. Untuk ingat pun dia tidak sudi.
“Liya rehat dululah,” putusnya seperti memahami bahasa bisu Edith Adaliya. “Nasib baik akak terlebih rajin pula dua tiga hari ni kemas bilik tamu. Kalau tak, tidurlah berteman habuk.” Dia bercanda untuk melenyapkan emosi yang terusik.
            “Akak memang selalu rajin sebab tulah abang sayang…” Edith Adaliya berkata meleret. Mengusik kakak iparnya.
            “Mahu tak sayang, isteri limited edition ni,” balas Sufi disusuli tawa.
            Tawa dua jasad menjadi satu. Padu bergabung menutup duka.


SESUDU sup daging yang masih berasap nipis dituangkan ke atas segenggam nasi. Itu sahaja. Lauk-pauk lain yang terhidang di atas meja langsung tidak mampu menggamit nafsu makannya. Tekaknya terasa payau sahaja hendak menelan. Kalau boleh dia tidak ingin menjamah apa-apa jenis makanan sekali pun tetapi mengenangkan Kak Sufi yang bersungguh-sungguh menyiapkan lauk-pauk ini, terasa bersalah pula mengecewakannya.
Dia berpura-pura tidak perasan akan kerlingan dari Luqman dan Sufi. Suapan diteruskan satu per satu tanpa hirau akan renungan dua pasang mata itu. Tahanlah, sedikit sahaja lagi. Pujuknya kepada diri sendiri.
            Luqman menyudu kangkung goreng dan sambal tumis ikan bilis ke dalam pinggan Edith Adaliya. Tersentak dengan tindakan tak terduga itu dia mengangkat wajah memandang Luqman. Abang tahu kan Liya tak suka sayur. Dia menghantar kata melalui pandangan.
            “Tak makan sayur. Banyak makan hatilah ni. Kurus sangat,” balas Luqman seakan mampu mentafsir suara tatapannya.
            Edith Adaliya tegelak kecil. Hambar. Terusik dengan bicara Luqman. Namun, dia tidak menafikan tidak juga mengiakan. Hanya diam. Diam seribu bahasa.
            “Tapi Liya suka sambal tumis tu. Kenapa tak makan?” sambung Luqman. Masih belum menyerah kalah dalam memancing reaksi adiknya itu. Sunyi terasa tanpa celoteh Edith Adaliya. Sepi yang mendera perasaan. Sepi yang merodok jiwa.
            Edith Adaliya menarik nafas dalam. “Aumm… sedapnya…” Dia menyuap sambal tumis ikan bilis ke mulut. Dengan bunyinya sekali. “Dah makan dah,” ujarnya dengan senyuman lebar. Sengaja hendak mencipta suasana yang lebih selesa. Direnung abang tunggalnya itu untuk beberapa ketika sebelum beralih kepada Sufi yang duduk bertentangan dengannya.

            Luqman turut sama tersenyum. Sufi juga. Senyum lebar namun hambar.



p/s: Dapat idea untuk nama tu lepas tengok cerita Despicable Me. Heh. Malas nak fikir waktu tu. Jadi saya main hentam sajalah. Kalau rasa nama tu macam menjengkelkan atau terlalu di kayangan sila luahkan. Saya akan cuba cari nama yang lain. Buat masa ni malas lagi nak fikir. Heh. :)

Tergantung Sepi - Prolog




“HARGANYA seringgit lapan puluh sen.” Bibirnya menghantar senyuman susulan ungkapan sebaris ayat pemberitahuan itu. Tiada reaksi yang dipamerkan oleh gadis yang sedang berdiri betul-betul di hadapannya. Sepasang mata coklat cair itu masih tunak memandangnya. Anak mata itu menikam pandangannya dalam sehingga hampir retak tembok yang memagari hati. Dia kaget. Keningnya dikerutkan sedikit dengan senyuman yang semakin mengendur.
            “Cik beli sebatang pen saja kan? Harganya seringgit lapan puluh sen,” beritahu satu suara lain untuk sekali lagi.
Dia berpaling memandang rakan di sebelahnya yang mengulang kembali ayat yang telah tiga kali disebut olehnya. Mungkin simpati sahabatnya itu tumpah buat dirinya tatkala melihatnya yang terkulat-kulat sedari tadi.


            Mindanya dapat menangkap gema suara yang berbeza. Dia tersentak. Bibirnya masih beku dari senyuman walau hanya secalit. Sekeping not merah yang sedari tadi digenggam sepantas kilat bertukar tangan. Matanya sudah beralih kepada tangan yang cekap menekan punat-punat pada mesin wang. Baki wang sebanyak lapan ringgit dua puluh sen yang dihulur cepat-cepat disambut sebelum dia dengan tergopoh-gapah membawa kaki menghampiri pintu tanpa sedikit pun berpaling. Dia menggigit bibir lalu jari telunjuk kanan dibawa ke dahi. Lantai dahi menjadi mangsa ketukan lagi. Segan!






p/s: Gambar tu pinjam. Suka sebab nampak unik. Entah. Kepada pemilik kaki itu;
You know who you are. If you happen to be here anyhow, i just would like to ask for your permission to use it here. heh. But then if you don't feel comfortable, just tell me. okay? 
No. I sincerely love the pic. 

Sekali Lagi


Saat ini saya tidak pasti masihkah ada yang mengikuti blog ini.
Kalau ada yang pernah singgah di sini suatu ketika dahulu, dalam tahun 2011 jika tidak silap saya, saya pernah menyiarkan e-novelyang berjudul Qalam Rindu. 
Namun andai ada yang mencari maaf awak tidak akan ketemu kerana saya sudah menyimpannya di dalam draft.
Bukan apa, apabila saya baca kembali saya terasa diri bagai keanak-anakan dan tidak matang.
Kisah yang terlalu kebudak-budakan.
Saya tidak rasa yang pembaca akan mendapat manfaat daripadanya.
Dek kerana itulah saya 'sembunyikan'.

Kini, saya cuba menulis dengan kisah yang lebih segar dan matang (harapnya).
Mungkin masih belum rezeki saya untuk menjadikannya salinan keras (baca: hard copy) di dalam bentuk buku.
Namun saya teringin hendak berkongsi di sini.
Andai masih ada yang sudi baca.

Jujur saya katakan. 
Tulisan saya kali ini lebih bersifat serius.
Gaya bahasa yang kurang santainya seperti dahulu.
Mungkin benar, zaman telah berubah sedangkan saya yang terlewat berpatah.

Apa pun, saya harap meski tidak banyak, sedikit anjakan paradigma yang signifikan dapat dinilai dari hasil tulisan itu nanti.


Tergantung Sepi


Beberapa minggu lalu, 
waktu pertama kali mendengar lagu Tergantung Sepi - Haqiem Rusli, 
terasa bagai kitab garis masa lalu terbuka lagi.

Tak pernah bersapa.
Sekadar bersua dan berbalas senyum.
Tiada maklumat peribadi.
Sekadar sebaris nama tanpa bin.
Entah siapa dia pada saya.

Kawan?
Tidak pernah walau sekali berbual.
Lebih daripada itu malahan jauh sekali.

Dan kini.
Waktu telah merangkak menjangkau tujuh tahun.
Terlalu lama tetapi terasa begitu sekejap.

Tidak pernah menanti.
Sekadar membiarkan hati terkunci tanpa dihuni.
Tiada yang mengetuk apatah lagi mencuba hendak membuka kunci.
Ya, mungkin ada.
Cuma tidak bersungguh.
Atau sekadar bermain cak-cak.
Hah!

Seakan baru tersedar,
detik yang merangkak turut menyeret usia bersama.

Saya pun tidak pernah memegang jadi tiada kata melepaskan yang layak mencelah.
Tergantung tanpa tali.
Jawapan yang terkunci bersama soalan yang terpenjara.
Payah. Rumit.

Saya tak harap dia kembali.
Kerana bukan dia yang melangkah pergi.


Awan


Cuba lihat awan di langit.
Tak pernah hilang.
Meski ditabir kelam malam.
Pekat hitam.
Ia tetap ada.
Tak terlihat dek pandangan mata.
Ia tidak pernah meminggir.

Memayungi bumi dari terik Mentari di waktu siang.
Memuntahkan air ke tanah tandus.

Ada waktu kita tak nampak.
Tercari-cari.
Tapi ia tetap ada mengatapi bumi
di pelosok yang tidak kita ketahui.

Bangkit



"Manusia tidak dilahirkan untuk meratapi nasib tetapi memperjuangkannya."

Setiap jatuh dan bangun, 
manusia tidak pernah tiada pilihan.
Pilihan samada untuk terus terduduk
atau
untuk cuba bangkit berdiri dengan berpaut pada dinding-dinding harapan.

Jangan berhenti pada titik yang sama terlalu lama
kerana pada akhirnya kita juga yang rugi.
Kita juga yang makan hati.

Bangunlah meski kita terpaksa berpegang pada tali yang hampir putus.
Tanpa cuba tidak akan ada jaya.
Aku tahu kau boleh. 
Sebagaimana kau pernah lakukannya satu masa dahulu.